Monday, May 02, 2005

Pekerja Asing

Sejak kebelakangan ini pejabat sering menerima permohonan bagi perakuan kemahiran pekerja asing untuk mengyambung bekerja 5 tahun lagi di negara kita. Bilangan yang dipohon oleh setiap majikan ini agak besar dan membimbangkan. Sedangkan dalam masa yang sama isu pengangguran di kalangan graduan menjadi topik utama. Mengapa perkara ini boleh terjadi?

Situasi tenaga buruh negara pada masa ini menggambarkan pekerja asing menjadi sebahagian tonggak tenaga kerja terutama sebagai tenaga kerja bukan mahir. Salah satu sebab timbulnya keperluan dan pergantungan kepada pekerja asing adalah kerana penawaran gaji yang dikira rendah oleh pekerja tempatan.

Tidak dapat dinafikan bahawa pertumbuhan ekonomi yang pesat telah mewujudkan permintaan tinggi untuk gunatenaga yang tidak dapat dipenuhi oleh bekalan gunatenaga setempat. Kekosongan itu diisi oleh pekerja asing, yang seterusnya juga menimbulkan masalah sosio-ekonomi. Ini jelas dapat dilihat dari segi hubungan dalam masyarakat yang tidak menghormati budaya setempat, timbulnya penyakit-penyakit baru yang telahpun hapus di Malaysia sebelum ini, dan tekanan kepada kemudahan prasarana sosial negara, misalnya kemudahan pendidikan, kesihatan, atau perumahan.

Ahli-ahli ekonomi industri telah mendapati bahawa faktor produktiviti menyeluruh (yang pada dasarnya mengukur kemajuan dari segi teknologi) telah terabai di dalam sektor perkilangan. Mengapa ini boleh berlaku? Kebanjiran pekerja-pekerja asing tidak mahir mewujudkan hanya sedikit insentif kepada para pengilang untuk melabur di dalam latihan, penyelidikan & pembangunan (R&D) dan penggunaan automasi secara lebih meluas. Beberapa langkah yang telah diambil oleh kerajaan bagi mengawal kemasukan pekerja asing adalah satu langkah yang baik. Pengambilan pekerja asing seharusnya dibenarkan hanya bagi jawatan profesional atau yang memerlukan kemahiran. Untuk jawatan operator pengeluaran atau jawatan yang tidak memerlukan kemahiran, pekerja tempatan haruslah digunakan atau dilatih. Untuk itu tahap gaji yang sesuai harus difikirkan.

No comments: