Monday, May 23, 2005

Mudahnya membuat tafsiran

Kita telah meletakkan sepenuh tumpuan untuk melakukan yang terbaik, tetapi orang mentafsirkannya berbeza. Hakikatnya kita tidak akan jumpa orang yang sama seperti kita dalam kehidupan kita ini. Manusia tidak pernah sama meskipun sepasang kembar, tetap ada bezanya. Apa lagi dengan seseorang yang hanya berkongsi minat yang serupa dengan kita, banyak lagi perbezaannya kalau kita lihat. Yang kita sangkakan sama pun berbeza, lebih-lebih lagi yang memang berbeza dengan kita.
Berurusan dengan orang yang tak sama dengan kita, kadang-kadang suka kadang-kadang duka. Walaupun selalunya lebih banyak suka daripada derita, tapi yang derita itu suhunya kadang-kadang teramat tinggi hingga kita rasa tidak tertanggung lagi. Itulah kehidupan. Dari satu sudut kita akan melihat kehidupan itu amat mencabar kerana kita terpaksa hidup bersama mereka yang amat berbeza. Kita berniat baik disangka jahat. Kita iklas disangka ambil kesempatan. Kita lunak disangka lemah, kita berlembut di kata tak tegas, kita kerap memberi di kata menunjuk. Itulah manusia, mudahnya membuat penafsiran.
Tapi ketahuilah di situ uniknya kita, disitulah kita dapat memperlihatkan kehebatan kita. Bayangkan tanpa mereka yang memperkecilkan kita, tanpa mereka yang memandang rendah pada keupayaan kita, tanpa mereka yang menyusahkan kia, kita tak pernah berpeluang untuk menunjukan semua kehebatan kita. Manusia memang perlukan cabaran untuk lebih bersemangat. Tanpa cabaran, tanpa ujian manusia akan lemah, malas, lembik dan lembab. Kalau kita mahu berfikir secara positif kita akan mendapat semua kebaikan yang tersembunyi di sebalik semua masalah yang kita hadapi. Sebaliknya kalau kita lebih selesa berfikiran negative kita akan melihat semua keburukan di sekeliling kita. Jika kita ditimpa misibah, ingat orang lain juga begitu. Cuma bezanya pada jenis, masa atau siapa yang menyebabkannya berlaku. Begitu juga, jika kita gembira, orang lain juga begitu. Dan setiap kegembiraan ada masanya akan tenggelam oleh ujian. Kalau ada orang yang boleh bertenang dengan ujian yang mendatang, jadikanlah oaring itu diri kita sendiri.

No comments: