Sunday, November 11, 2012

Akhirnya Kinabalu Kami Tawan

Tanggal 8 November 2012 merupakan tarikh bersejarah kami 13 orang kumpulan SkillsMalaysia berkesempatan untuk mendaki Gunung Kinabalu. Ekspedesi ini di ketuai oleh En Mohamad bin Yaccob, Pengarah SLDN. Peserta terdiri daripada 9 lelaki dan 4 wanita. Ketika tiba di Taman Kinabalu sehari sebelum pendakian, rata-rata peserta meluahkan rasa bimbang, mampu atau tidak sampai ke puncak, lebih-lebih lagi kami hanya melakukan persiapan kecergasan ala kadar di samping keadaan cuaca ketika itu yang sering hujan.Satu lagi cabaran terpaksa kami hadapi adalah melawan suhu sejuk di kawasan ini.
Pemandangan Gunung Kinabalu dari jauh ini menguatkan semangat kami untuk mendaki. Ketika menginap di Kinabalu Park Resort di kawasan kaki gunung lagi, kesejukan kawasan tanah tinggi sudah pun menyapa. Tanpa sempat melakukan persiapan kecergasan untuk kali terakhir, hari pertama di sini dihabiskan dengan berehat semalaman di resort.
Sebahagian peserta sebelum memulakan pendakian. Biarpun hati gusar, pelbagai sarapan enak yang disajikan restoran di resort ini tetap dinikmati secukupnya. Selesai taklimat mengenai laluan pendakian oleh ketua jurupandu, peserta ekspedisi memulakan pendakian melalui laluan Pondok Timpohon. Sepanjang pendakian ke Laban Rata kami sempat berhenti di beberapa pondok untuk menghilangkan dahaga dan melapik perut dengan makanan yang dibekalkan. Kami terpaksa berpecah kepada empat kumpulan mengikut kelajuan dan kecerdasan masing-masing. Perjalanan kian mencabar apabila tiba di persimpangan kerana laluan seterusnya menunggu dengan sebahagian besar tangga tinggi dan curam. Badan pula mula keletihan selepas berjalan jauh, jadi lebih kerap singgah berehat di pondok yang berjarak setiap satu atau dua kilometer.
Persimpangan antara Mesilau dan Timpohon
Keadaan pokok-pokok pada ketinggian 2800 meter.
Bersama Meely, seorang pendaki solo dari Belgium. Rakan yang berstamina di antara kami tiba ke Laban Rata pada jam 1.30 petang manakala peserta terakhir tiba jam 7.00 malam. Laban Rata adalah tanah lapang menempatkan asrama dan jaraknya kira-kira 2.7 kilometer di bawah puncak.Sebahagian besar pendaki berkumpul di ruang restoran Laban Rata menikmati bufet yang disediakan sambil menikmati pemandangan mengasyikkan pada ketinggian kira-kira 3,200 meter dari aras laut. Ramai yang sibuk merakamkan gambar terutama menjelang senja yang mana warna langit berubah jingga. Seawal jam 2.30 pagi keesokannya, kami lengkap berpakaian tebal dan dengan lampu suluh di kepala meneruskan pendakian ke puncak. Dalam suasana gelap dan amat sejuk, kami memaksa kaki mendaki tangga kayu yang menjadi jalan penghubung kerana keadaan muka bumi menuju ke puncak dipenuhi batuan curam. Kira-kira 300 meter mendaki tangga, kami terpaksa memaut tali pula untuk memanjat curam batu. Mujur keadaan masih gelap. Jika cerah, mungkin ramai yang gayat dan tidak sanggup mendaki lagi.
Semakin menghampiri puncak, suhu semakin dingin, mungkin hampir mencecah 10 darjah Celsius. Kesejukan sebegini ditambah dengan oksigen yang kian menipis membuatkan pergerakan agak lemah. Apabila suria pagi menyinar, kelibat susunan batu di Low’s Peak sayup kelihatan dari jarak 700 meter. Melihat matahari terbit kira-kira jam 6 pagi sambil berdiri di puncak merupakan satu kenikmatan yang tidak terhingga. Jam 7 pagi, 12 pendaki akhirnya berada di puncak Kinabalu. Seorang rakan tidak dapat meneruskan pendakian kerana mengalami kekejangan otot ketika pendakian menggunakan tali. Hanya Tuhan yang tahu perasaan masing-masing apabila dapat berdiri di ketinggian 4095.2 meter dan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.
Akhirnya ku sampai jua
Hanya mereka yang berjaya tiba di puncak Kinabalu mampu menghargai pengalaman pendakian yang ditempuhi dan lebih nikmat lagi bila perjalanan lancar tanpa sebarang masalah. Itulah perasaan peserta Ekspedisi Skills Malaysia yang berjaya menawan puncak Kinabalu.
Pemandangan dari puncak sungguh mengasyikkan. Sesudah merakamkan foto kami memulakan perjalanan turun. Kalau ikutkan, tidak puas menatap pemandangan indah dan bersantai di kawasan batu yang landai di puncak, namun waktu tidak mengizinkan kerana kami perlu mengemas barang dan mendaftar keluar dari asrama di Laban Rata sebelum 10 pagi. Laluan turun ke Timpohon memerlukan pendaki lebih berjaga-jaga bagi mengelak tekanan atau kecederaan kaki yang bekerja keras ketika mendaki. Pun begitu, kami cuba untuk tidak berjalan terlalu perlahan dan mengelak berhenti terlalu kerap supaya sempat tiba di Timpohon sebelum hari gelap.

Saturday, November 03, 2012

Persiapan Ekpedisi Gunung Kinabalu

Enam minggu berturut-turut kami jadikan Bukit Broga sebagai latihan stamina sebelum misi Ekpedisi Gunung Kinabalu. Minggu ini merupakan minggu terakhir kami berlatih sekali lagi di Broga. Aku mengambil masa 25 minit untuk mendaki tanpa berhenti dari bawah sehingga puncak pertama.
Cuaca cukup cerah pagi ini, kelihatan awan berada di bawah puncak.
John yang hanya berkaki sebelah tidak menghadapi masalah untuk mendaki sehingga ke puncak dan beliau juga akan mendaki Gunung Kinabalu