Saturday, April 30, 2005

Kejayaan atas kelemahan diri

"Berjayalah melalui kekurangan diri kita". Satu ungkapan yang sering disebut oleh pakar motivasi Dr Tuah dalam ceramahnya setiap pagi di FM Selangor. Seruan ini mungkin mengundang ketawa. Ia tidak lucu tetapi minda yang tidak cemerlang akan menganggap seruan seperti ini satu jenaka.

Kita biasa mendengar kisah arnab berlumba lari dengan kura-kura. Bagi orang yang sentiasa bersetuju untuk mengatakan dirinya lemah, dia akan mengatakan itu dogeng semata. Dia tidak mahu mengambil apa-apa iktibar untuk memotivasi dirinya. Berbeza dengan orang yang mahu berubah, dia akan mengambil kisah kura-kura memenangi perlumbaan sebagai berjaya melalui kekurangan diri itu bukanlah sesuatu yang mustahil.
Memang kita tiada keupayaan untuk mengatasi kekuatan yang nyata, tetapi tidak mustahil dengan kekuatan azam, kekuatan fizikal itu dapat ditundukkan. Yang kuat dalam diri seseorang ialah hatinya. Tidak guna badan yang besar bagai gajah tetapi memiliki hati yang pengecut. Gajah boleh melompat akibat terkejut oleh tikus, sedangkan antara gajah dengan tikus berbeza sekali. Kadangkala tikus mampu menjadikan gajah separuh gila apabila dia masuk ke lubang telinga gajah dan ‘berbuat projek’ di situ. “Mana mungkin orang yang serba lemah berlari sama pantas dengan orang yang sedia kalanya kuat?” Tidakkah kita lihat betapa kekuatan sebenarnya bukan terletak pada kelebihan tubuh tetapi azam dan kemahuan yang padu.
Misteri kejayaan yang dibangunkan melalui imaginasi memang kurang disedari oleh kebanyakan orang. Mereka bergantung sepenuhnya pada usaha dengan melupakan potensi otak untuk merealitikan impian-impian. Maka itulah, pentingnya setiap daripada kita memahami bagaimana otak bekerja supaya kita dapat semua kebaikan daripadanya.Mengikut saintis manusia hanya menggunakan 10% daripada keseluruhan potensi otaknya. Meningkatkan penggunaan otak memungkinkan lebih banyak kejayaan dapat dicapai. Jadi, sebenarnya bukan kekurangan diri tetapi gagal untuk mengenal keupayaan diri.
ALLAH berfirman, “Sesiapa yang berpaling meninggalkan peringatan-KU, sesungguhnya baginya kehidupan yang amat sukar.” Taha, 124 Kealpaan kepada TUHAN membuatkan hilangnya keberkatan dan keyakinan. Kita tidak boleh terlalu yakin dengan keupayaan kita tanpa meletakkannya atas kekuasaan ALLAH. Lebih-lebih lagi apabila kita mengatakan berjaya melalui kekurangan diri.
Sebenarnya kekuatan psiko seseorang terletak pada sekuat mana pengantungannya terhadap TUHAN. Orang yang serba kekurangan harus lebih kuat perggantungannya.

No comments: