Thursday, July 22, 2010

Warkah untuk Anakanda II

Petang itu aku balik kerja agak lewat, banyak pulak kerja segera yang perlu dibereskan. Dalam perjalanan aku menerima panggilan. Aku segera mencapai handset dan cukup kenal siapa yang memanggil. Aku terus menjawab dengan memberi salam

Assalamulaikum, apa khabar ustaz?

Alhamdullilah sihat, abang Din sihat ke?

Alhamdullilah sihat.

Gini sebenarnya, malam ni saya ada mengajar di Kota Kemuning, kitab hikam. Lepas tusambung di surau Uniten, abang Din nak ikut ke?

Ustaz nak pergi pukul berapa?

6.50 kita bertolak

(Aku mengerling jam menunjukkan pukul 6.40, sedangkan aku tak sampai lagi Bangi)

Kalau macam tu tak sempat ustaz, saya jauh lagi ni.

Kalau gitu taka pa la, lain kali.

Insyaallah ustaz kalau tak ada aral saya akan ke Uniten.

Elok juga boleh jumpa orang kampong…

Dan malam tu aku cuba cari surau kat Uniten, susah juga rupanya nak cari……guard pun boleh tak tau



Berikut adalah sambungan catatan terbaru Ustaz Rashidy Jamil yang bertajuk Warkah Untuk anakanda II yang saya kira sesuai untuk tatapan kita. Mohon sekali lagi ustaz untuk saya paparkan catatan ustaz di sini

Anakanda yang dikasihi,

Dengarkan pesan-pesan agama yang inginWalid sampaikan buat ingatan di hari muka..

Telah berkata Syeikh Ibnu Athaillah Iskandary di dalam Al-Hikamnya:
خير ما تطلبه منه ما هو طالبه منك

Maksudnya : Sebaik-baik permintaan yang seharusnya anda mohon dari Allah ialah (Kemampuan) melaksanakan apa-apa yang Allah perintahkan kepada anda.

Anakndaku,

Syeikh Said Hawa ketika mensyarahkan hikmah yang mulia ini berkata apa yang dinyatakan oleh Syeikh Ibnu Athaillah ini seolah-olah ingin menarik perhatian manusia agar mengutamakan sebaik-baik permohonan dan hajat iaitu memohon pada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk mengerjakan ketaatan padaNya serta menjauhi cinta dunia.

Sebagaimana kita tahu, manusia merupakan makhluk yang lemah dan sentiasa berhajat kepada Allah SWT. Bahkan di dalam bisikan kudus manusia ketika berdoa pada Allah SWT, bukan sedikit hajat yang dipinta pada Allah Yang Maha Memberi.

Selain dari permintaan asasi seperti keampunan dariNya, kesihatan sepanjang hayat serta memohon kemurahan rezeki, manusia turut menyertakan pelbagai hajat dan permohonan yang tidak terkira banyaknya yang meliputi urusan dunia dan akhirat. Doa untuk mendapat pekerjaan yang baik. Doa agar dikurniakan anak-anak yang berjaya. Doa agar sentiasa dikasihi dan disayangi oleh semua dan lain-lain. Pendek kata terlalu banyak yang dipinta dan dipohon sebagai tanda lemahnya insan.

Ketahuilah Anakanda,

Sebuah syair arab menyebut:

نغدو ونروح لحاجاتنا وحاجات من عاش لا تنقضي

Maksudnya : Kita disibukan pagi dan petang dengan hajat-hajat kita sedangkan hajat-hajat bagi yang hidup itu tidak akan habis (Selagi tidak mati).
Hajat manusia sentiasa ada di sepanjang hayat mereka. Terkadang hajat yang dipohon bukanlah satu keutamaan pun. Sebaliknya hanyalah permohonan yang terhasil dari kecintaan terhadap dunia yang fana ini. Sehinggakan mereka tidak mampu lagi untuk membezakan antara keutamaan yang hakiki dan keinginan yang tidak pernah akan habis.

Di sini Walid nukilkan satu kisah pengajaran buat ingatan Anakanda di masa akan datang. Iaitu Kisah Hakim Bin Hizam dan Rasulullah saw. Dengar Ya..

Pada suatu hari, Hakim Bin Hizam telah datang meminta sesuatu dari Rasulullah saw dengan katanya :

“ Ya Rasulullah, berikanlah padaku sesuatu!”

Rasulullah saw menjawab padanya :

“ Apakah engkau melihat kambing yang berada di lembah itu? Semuanya menjadi milikmu.”

Maka Hakim bin Hizam mengambilnya.

Begitu juga untuk permintaannya kali kedua dan ketiga, Rasulullah saw memberi kepadanya seratus ekor unta.

Namun pada permintaannya buat kali keempat, Baginda saw telah bersabda :

يا حكيم انّ هذه المال حلوة خضرة واليدّ العليا خير من اليدّ السّفلى

Maksudnya : “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini hanyalah bagaikan tanam-tanaman yang muda dan menghijau sedang tangan di atas (memberi) itu lebih baik dari tangan di bawah (menerima).”- Riwayat al-Bukhari dan al-Tirmizi.

Anakanda,

Ketahuilah bahawa dunia ini sentiasa menipu. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani di dalam kitabnya Fath Rabbani Wa Faidh Al-Rahmani berkata :

“Ketika aku ditanya bagaimanakah caranya mengeluarkan dunia yang merupakan punca jauhnya dari memohon ketaatan dari Allah, maka aku menjelaskan bahawa : Lihatlah dunia yang dipuja oleh manusia! Bukankah ia tidak pernah dimiliki? Ia hanya berpindah dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Dunia sentiasa menipu pemujanya. Dilambung dan dijulang sehingga apabila pemujanya lalai maka dunia mula menjerut dan membunuhnya.”

Bahkan Syeikh Sya’rawi turut berkata :

“Dunia tidak pernah dimiliki oleh sesiapa pun sebaliknya hanyalah warisan yang berpindah dari satu tangan ke tangan yang berikutnya.”

Dengan memahami hakikat dunia yang menjadi buruan dan hajat yang tidak pernah terpadam di hati pencintanya, Syeikh Ibnu Athaillah dengan ketajaman mata hatinya telah mengajak manusia untuk menilai kembali segala permintaan dan hajat-hajat yang dipohon. Dan mengutamakan sebaik-baik permintaan iaitu hidayah dan bimbingan dari Allah untuk melaksanakan ketaatan sebagai lambang kehambaan makhluk.

Anakanda,

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni di dalam kitabnya 'ila allazina asrofu a'la anfusihim' telah menukilkan satu kisah di mana ketika kuda Muaz bin Jabal dan kuda Baginda saw beriringan di dalam satu peperangan, Muaz telah memohon satu hajat yang disifatkan oleh baginda sebagai permintaan dan pertanyaan yang sangat agung di dalam sejarah kehambaan manusia.

Tahukah Anakanda apakah yang ditanya oleh Sayyidina Mua’z kepada Rasulullah SAW?

Bertanya Muaz kepada Rasulullah saw :

يا رسول الله اخبرني بعمل يدخلني الجنة ويباعدني من النار

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, tunjukanlah kepadaku satu amalan yang mendekatkan aku dengan syurga dan menjauhkan aku dari neraka.”
Mendengar pertanyaan Muaz itu, Rasulullah saw menjawab :

يا معاذ لقد سالت عن عظيم

Maksudnya :” Sungguh agung permintaanmu wahai Muaz”.

Lalu baginda saw telah menunjukkan padanya jalan agar permohonannya itu dikabulkan oleh Allah melalui perlaksanaan ketaatan padaNya. Sebagaimana sabda Rasulullah saw :

ان تعبد الله لا تشرك به شيئا وتقيم الصلاة وتؤتي الزكاة وتصوم رمضان وتحج البيت ان استطعت اليه سبيلا

Maksudnya : “Iaitu engkau menyembah Allah dan tidak mensyirikanNya dengan sesuatu pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke baitullah apabila mampu.”

Subhanallah. Inilah permohonan yang agung wahai Anakanda.

Permintaan yang terhasil melalui kejernihan mata hati yang memandang dunia dengan pandangan hakikat. Sepertimana yang disifatkan oleh Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) di dalam Tasauf Modennya :

“Bagi mereka yang sentiasa mencari keredhaan dan bimbingan Allah, boleh diibaratkan pandangan mereka seperti mata yang memandang alam, sedang hatinya memandang Tuhan.”

Oleh itu duhai Anakanda, ingatlah pesanan Walid selalu.,

Mohonlah padaNya kekuatan agar kita mampu melaksanakan ketaatan padaNya semata di dalam mengharungi dunia yang akan ditinggalkan ini. Bukankah sebaik-baik permintaan itu adalah permintaan agar mampu melaksanakan ketaatan?


Salam buat Anakanda..

1 comment:

atuk said...

Assalamualaikum KAMATO

Alhamdulillah
tazkirah tu
ini sesuai untuk saya juga

Wassalam