Thursday, April 21, 2005

Juruterbang sendiri

“Setiap orang adalah juruterbang pada pesawat yang dipandunya sendiri”
Lihat angkasa. Setiap yang berada di angkasa dianggap hebat. Ia bukan sahaja hebat malah luar biasa serta unik sekali. Burung dikagumi kerana keupayaannya menghiasi alam. Hanya burung mampu melakukan begini. Maka burung dianggap hebat, luar biasa dan unik.
Apabila manusia mula berusaha terbang sebagaimana burung, maka terciptalah kapal terbang. Setiap yang mampu terbang menggunakan kapal terbang dengan sendirinya meletakkan martabat dirinya ke tahap lebih tinggi. Mereka yang mampu memiliki kapal terbang serta memandunya sendiri malah dianggap luar biasa dan hebat sekali.
Setiap kali anda mendonggak ke langit kerana terkesan oleh gauman kapal terbang, ingat anda juga sedang memandu pesawat anda sendiri di bumi. Setiap daripada kita sedang memandu pesawat kita. Ke mana hala tuju kita kitalah sendiri yang menentukannya. Jika kita mahukan ia selamat ke destinasi maka pandulah mengikut peraturan-peraturannya yang sedia ada.
Sebuah pesawat udara mampu terapung-apung di udara serta melusup dengan lajunya ke destinasi kerana ia menurut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan untuknya. Tidak mungkin sebuah kapal terbang sebegitu berat boleh terapung dan melusup dengan lajunya tanpa beberapa hukum yang terpaksa dipatuhi. Pesawat yang sedang kita pandu ini juga tertakluk pada hukum-hukum dan peraturan-peraturan tertentu. Hukum-hukum itu telah ditentukan. Jika mahu selamat patuhilah hukum-hukum dan peraturan-peraturan itu. Ia telah ditentukan oleh Pencipta. Dia-lah TUHAN yang maha berkuasa menentukan apa saja untuk kita – bahan ciptaannya, sebagaimana pencipta kapal terbang telah menetapkan semua ciri untuk sebuah kapal terbang selamat menguasai angkasa hingga ke destinasi.
Sifir ini mudah difahami tetapi tidak ramai yang faham tentang keperluan mematuhinya. Jika setiap orang adalah juruterbang pada pesawatnya sendiri, mengapa ada orang sanggup menjerumuskan dirinya ke lembah hina. Mengapa manusia tidak mahu mengambil semua peraturan yang telah ditetapkan walhal itulah yang menjamin perjalanannya selamat.
Dalam Surah At-Taubah ayat 51, nyata disebut, “Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH. DIA-lah pelindung kami dan hanya kepada ALLAH orang beriman harus bertawakal.”Dan jika pun pesawat diri menghadapi masalah meskipun telah dikendalikan dengan sebaik-baiknya, bahawa setiap keburukan dan kesusahan itu ada kesenangan yang menanti. Dalam Surah Al-Insyirah ayat 5 – 6 disebut, “Sesungguhnya pada setiap kesusahan itu ada kesenangan. Maka pada setiap kesusahan itu ada kebaikan.”Hidup adalah perjalanan menuju destinasi. Agama yang sebenar adalah kenderaan menuju destinasi sebenar.
Selagi kita menarik nafas kita sebenarnya sedang memandu pesawat kita sendiri. Ke hala mana yang kita bawa ke situlah kita akan berakhir. Ingat peraturan-peraturannya dan ingat hukum-hukumnya semoga pesawat tidak terhempas dan kalaupun terbang laju tidak menuju hala yang salah.

No comments: