Sunday, April 17, 2005

Mahluk Lelaki dan Wanita

Lelaki dan wanita, kita sama-sama berkongsi hidup di alam ini. Kita sama-sama diberi hak untuk menikmati semua kelebihan dan kemudahan yang tersedia di dalamnya. Kita juga diberi hak untuk menikmati cinta dan kasih sayang sesama kita. Mengapa harus salah seorang daripada kita mengkhianati nikmat-nikmat yang telah disediakan itu. Mengapa kita harus mendustai cinta, mengingkari kasih suci dan mempersesia orang yang sama-sama ingin hidup seperti kita. Wahai wanita dan lelaki, kita diberikan kesempatan untuk berada dalam situasi terbaik. Mengapa kita memusnahkan hidup sendiri dengan cinta-cinta palsu. Mengapa tidak boleh kita jalani hidup ini seadanya kita sebagai hamba. Syukurilah nikmat cantik yang telah anugerahkan ALLAH kepada kita. Syukuri juga nikmat tampan jika kesempatan itu diberikan kepada kita. Wajah yang cantik dan tampan akan semakin cantik jika dibalut dengan ketulusan. Apakah kita tidak menyedari akan hal ini? Tatkala air mata mencucur laju, bukankah baik jika diganti dengan hilai tawa? Semasa kita mengkhianati cinta seseorang, kita sudah mewarisi sifat kezaliman. Bukankah indah hidup kita jika amalkan toleransi dan saling menyayangi? Wahai wanita dan lelaki, runtuhkanlah tembok egomu, jalanilah hidup sebagaimana seorang yang meminjam waktu walau sedikit. Tempoh untuk kita sama-sama melayari hidup tidak lama. Nafas yang ditarik boleh terhenti tiba-tiba. Mengapa menukar asal kejadian kita yang putih bersih itu kepada hitam pekat lagi berkarat. Hidup bukanlah terlalu lama untuk kita rencahi ia dengan tutur kata yang membisakan hati penerima. Hidup bukan juga lama untuk kita rencahi ia dengan titik-titik hidup dalam sejarah hidup kita. Lelaki dan wanita adalah mahkluk dari spesis yang sama. Sama-sama punya perasaan, sama-sama ingin hidup ceria dan bahagia. Mengapa gagal untuk saling memahami? Mengapa terlalu mementingkan diri padahal dia yang terluka adalah sama-sama bergelar manusia. Dunia semakin pelik dengan watak-watak filem hindustan – sanggup mengkhianati atau terlalu kasih hingga terbarai sesuatu berlegar di sekeliling kita. Usah terlalu sampai hati merosakkan hidup sendiri. Usah terlalu tegal mempermainkan perasaan orang lain dan diri sendiri. Kita menjadi jagoan cinta palsu yang kita himpun hanyalah kesalahan dan kekesalan. Kita menjadi jagoan membina kejayaan kita hidup secara melaksanakan tuntutan TUHAN dan menikmati kekayaan. Wahai setiap yang bernama lelaki dan juga wanita, air mata kita bagaikan mutiara di tengah padang pasir yang luas. Usah terlalu mudah menumpahkannya untuk satu berita sedih tapi bangkitkan untuk membuktikan kita tidak lemah hanya oleh ujian perasaan. Dia yang mengecewakan kita bukanlah insan terbaik. Biar dia pergi hari ini daripada besok hari, kerana setiap yang bernama setiap hari itu adalah kelukaan yang lebih dalam. Setiap kekecewaan hari ini sebenarnya lebih baik daripada esok hari, sebab kekecewaan hari ini pastinya tidak sedalam esok hari yang mendatang. Semakin dalam rasa cinta dan sayang kita semakin sakitlah apabila kita dikecewakan. Lelaki dan wanita, marilah jadikan alam ini tempat yang lebih baik untuk menghiru udara bersih. Biar sama-sama kita berdiri di atas bukit dan sama-sama menikmati dinginnya hawa dan saujananya pandangan, usah jadi pendaki yang tidak pernah sampai dan akhirnya kecundang. Kitalah yang membawa diri kita sendiri ke puncak menara dan kitalah juga yang membawa diri kita ke jurang dalam. Kiranya hidup ini boleh difahami dengan kewarasan, ia sesuatu yang amat indah dan mendambakan belaian sayang.

No comments: