Monday, August 02, 2004

Bahagia

Mengapa perlu mendapat hati yang bahagia? Kerana banyak penyakit yang berhubung dengan jantung, hati dan saraf adalah akibat daripada gangguan mental. Selain itu hati yang gusar, sakit, kecewa, putus asa, gelisah dan sebagainya akan mengheret tuan punya diri jauh daripada ketenangan. Ketenangan amat diperlukan untuk menjalani hidup dengan penuh cemerlang. Kemuncak ketentangan ialah bahagia.

Membina Hati Bahagia adalah satu kaedah mendapatkan cemerlang hidup yang berkekalan. Sekurang-kurangnya ia perlu didirikan berteraskan tiga faktor:

1. Sentiasa merasakan diri bertuhan
2. Rasa sentiasa bersyukur dan
3. Rasa untuk ikhlas

Semuanya ini akan mengarah kepada kebahagiaan. Namun, cabaran untuk ke situ tetap ada. Lantaran di hati jugalah berdiamnya nafsu dan juga syaitan. Bagi hati-hati yang berkarat di situlah letaknya istana dan singgahsana syaitan dan seluruh kerajaannya.

Bahagia adalah impian dan juga matlamat. Bahagia perlu dicetuskan dan diusahakan. Ada cara untuk mendapatkan bahagia sebab tidak semestinya semua yang menyeronokkan itu menghasilkan bahagia. Adakalanya derita dapat dilihat sebagai sesuatu yang boleh mendatang kebahagiaan terutama pada penghujungnya ataupun tatkala masalah itu dapat diselesaikan.

Tanpa bahagia dan hati yang tenang seseorang akan dilihat sebagai lemah daya kerjanya, gelisah, kuat prasangka, menghasut, keinginan-keinginan yang tidak munasabah, merosakkan jasmani dan kian jauh dari Tuhan
Biarpun nampak mudah dan ringan, sebenarnya kalau kebahagiaan disamakan dengan kesenangan, ia bukanlah definisi yang tepat. Kesenangan belumlah seerti dengan kebahagiaan. Kesenangan boleh dilihat sebagai keselesaan hati tetapi keadaan ini belumlah boleh disamakan dengan rasa bahagia. Bahagia adalah satu rasa yang mengatasi keselesaan hati, mengatasi kesenangan yang berputik dari keupayaan memiliki dan mengatasi rasa tenang melalui bilah-bilah hari.

No comments: