Wednesday, March 08, 2006

Hak Pekerja Wanita

Pada 17 Februari 2006, seorang pekerja wanita beragama islam Habsah Jaafar, yang berjawatan Pengarah Akaun telah di paksa berhenti kerja oleh majikan kerana bertudung. Asas yang digunakan oleh majikan adalah pekerja wanita dilarang memakai tudung semasa bertugas dan bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan.

Jelas sekali Habsah Jaafar telah dinafikan haknya sebagai pekerja wanita islam di mana beliau tidak dibenarkan memakai tudung semasa bertugas. Ini bertentangan dengan kebebasan dan hak seorang wanita. Hak-hak mereka dijamin oleh undang-undang negara. Jaminan tersebut meliputi nyawa, agama, harta, kehormatan dan akal. Dalam Islam ia terkandung dalam matlamat pesyariatan syariat Islam (Maqasid as-Syariah). Jaminan ke atas hak-hak tersebut juga terkandung dalam Pelembagaan Persekutuan di mana agama Islam merupakan agama rasmi negara. Oleh yang demikian Habsah sebagai seorang Islam mempunyai hak untuk bertudung semasa bekerja sebagaimana yang dinyatakan dalam Pelembagaan Persekutuan. Di samping itu juga, terdapat dalam Bahagian Kedua Perlembagaan yang membuat peruntukan mengenai kebebasan asasi (Fundemental Liberties). Implikasi daripada jaminan tersebut meletakkan kumpulan minoriti dan wanita dapat menikmati apa jua yang dinikmati oleh kumpulan majoriti dan lelaki.

Habsah Jaafar sebagai wanita islam yang patuh kepada perintah Allah SWT supaya menutup aurat sebagai bukti ketaatan dan perlindungan Islam terhadap pandangan lelaki yang tidak berhak memandangnya.Beliau mengambil tindakan untuk berhenti kerja supaya ianya menjadi pengajaran kepada majikan supaya mengambilberat tentang keperluan agama dan ianya menjadi suatu tanggungjawab kepada semua wanita muslim untuk menutup aurat apabila berada di luar rumah.

Dalam kes Habsah Jaafar, tiada perlanggaran Akta Kerja 1955 di mana mangsa sendiri telah berhenti kerja dan bukannya dibuang kerja. Walaubagaimanapun majikan boleh diambil tindakan sekiranya pembuangan pekerja dibuat berdasarkan hak dan kebebasan pekerja samada wanita atau lelaki.

Terlalu banyak faktor yang telah mengkaburkan keistimewaan serta memerosotkan kedudukan wanita kini. Antaranya adalah kedangkalan pengetahuan agama sehinggakan nama baik agama Islam sering sahaja disamakan dengan keganasan dan penindasan hak oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Al-Quran di dalam ayatnya banyak berbicara tentang wanita. Ayat-ayat tersebut mencakupi pelbagai aspek kehidupan wanita khasnya. Terdapat ayat yang berbicara tentang hak dan kewajibannya, ada pula yang menghuraikan keistimewaan-keistimewaan tokoh-tokoh wanita dalam sejarah agama atau kemanusiaan. Jika diteliti perihal penglibatan wanita di dalam bidang pekerjaan pada zaman kebangkitan Islam, tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa Islam membenarkan mereka aktif dalam pelbagai aktiviti pekerjaan. Para wanita dibenarkan bekerja dalam pelbagai bidang di dalam atau di luar rumah dengan syarat pekerjaan tersebut dilakukannya dalam suasana terhormat, sopan, serta senantiasa memelihara agamanya dan menghindari daripada perkara-perkara negatif dari pekerjaan tersebut terhadap diri dan persekitarannya.

Realiti yang berlaku di negara kita sejak negara mencapai kemerdekaan sampai ke hari ini menunjukkan setiap kaum dan bangsa tidak dinafikan hak-hak mereka, bahkan dalam beberapa perkara diberikan perlindungan dan jaminan melalui undang-undang negara. Di negara kita seperti juga di kebanyakan negara-negara lain bagi menjamin hak-hak seseorang dan kumpulan itu tidak dinafikan, kerajaan telah menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM). Kerajaan juga telah menerima deklarasi Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDHR), beberapa teriti dan kemanusiaan lain, termasuk mengenai wanita. Bahkan dalam beberapa aspek kedudukan wanita di negara ini jauh lebih baik berbanding di sesetengah negara Islam. Ada undang-undang yang menjamin hak-hak mereka dan kesatuan yang menguruskannya. Mereka boleh terlibat dalam semua sektor pekerjaan dan perkhidmatan yang tidak menyalahi undang-undang negara dan penyertaan dalam pembangunan negara. Bagi menjamin hak-hak tersebut dihormati dan tidak dicabuli, terdapat badan-badan yang mengawasi termasuk mahkamah-mahkamah diberi kuasa dan bebas untuk membicarakan isu menyalahi hak-hak apabila berlaku pertikaian.

Islam membenarkan wanita keluar bekerja berdasarkan kepada keperluan seperti ketika ketiadaan suami, ketidakupayaan suami atau bekerja dalam jawatan yang memerlukan khidmat wanita serta bidang yang bersesuaian. Tujuan atau niat untuk keluar bekerja itu mestilah murni, sama ada untuk membantu keluarga atau menyampaikan kesedaran Islam kepada wanita lain. Namun begitu, kerja yang dilakukan mestilah bersesuaian dengan sifat kewanitaan dan kerja tersebut tidak akan menjejaskan peranannya sebagai isteri dan ibu. Restu yang diberikan daripada penjaga, bapa atau suami, menjaga kehormatan diri, sentiasa memelihara kehendak syarak seperti ,menutup aurat, sentiasa menjaga tata susila dan terhindar daripada perlakuan bebas dengan lelaki. Apa yang pasti dengan keluarnya wanita bekerja tidak akan mengubah atau mengabaikan tanggungjawab utamanya sebagai serikandi dan bidadari dalam rumah tangga. Apabila memperkatakan peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan masyarakat dan negara, sejarah membuktikan bahawa sejak zaman Rasulullah, wanita secara aktif memainkan peranan mengikut batas yang ditetapkan. Misalnya, wanita bersama-sama lelaki mempelajari ilmu dan petunjuk Islam. Kebebasan dalam mencari ilmu dan menyumbangkan apa yang dipelajari, dapat dipraktikkan oleh wanita dalam usaha, membantu dalam masalah kepincangan dan kebejatab di kalangan muda-mudi.

Wanita yang bekerja perlu memastikan keperluan rumahtangga dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu perlu dilaksanakan sebaik mungkin walaupun mereka terpaksa bekerja pada siang harinya dan ketika di pejabat mereka juga perlu memberikan komitmen yang penuh untuk melunaskan tugas yang diberikan kepada mereka. Wanita perlu menghargai kepercayaan yang diberikan oleh suami kepada mereka dan perlu menjaga nama baik suami dan keluarga ketika berada diluar dan pihak suami sewajarnya memberi perhatian dan panduan serta bimbingan sekiranya isteri mereka memerlukan pendapat dan tempat untuk meluahkan masalah kerana sifat tolak ansur dan tolong-menolong ini mampu melahirkan keluarga yang aman bahagia.

Kes Habsah Jaafar sepatutnya tidak berlaku jika majikan benar-benar memahami dan menghormati hak pekerja wanita islam. Ini diperkuatkan lagi dengan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia dan Akta Kerja 1955. Di samping itu, islam ditegakkan di atas prinsip-prinsip yang jitu serta adil, saksama, amanah dan bertanggungjawab kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa, keturunan dan fahaman agama, tidak memandang rendah mana-mana golongan. Hak-hak mereka dilindungi oleh undang-undang dan apabila timbul pertikaian ia boleh diselesaikan oleh mahkamah atau badan seumpamanya.

5 comments:

zino said...

majikan mat salleh ni mana nak paham benda benda tu... ikut suka dia je lah..

ada ke kementerian sumber manusia menyediakan garis panduan kat dia org ni?

majikan ni pun terlepas dari sebarang tindakan.. yg mudah boikot je hotel ni.. kebanyakkan dia org ni survive dengan seminar2 yg di anjur jabatan kerajaan.. di tempat2 mereka..

KAMATO said...

zino, betul tu.. stop je apa pun aktiviti kat situ..

cipthowiryawanchannel said...

ader lagi kes ni..ingat dah habis..

Anonymous said...

makcik tu gi resign apa pasal. Kalau nak pertahankan hak sendiri patutnya dia takyah resign. tunggu je hotel tu pecat dia. pastu baru la boleh amik tindakan undang-undang kat hotel tu. Dah resign pastu gi masuk suratkabar buat apa... tak dapek nolong lagi dah.

jiwakitamerdeka said...

Mana dia Sisters in Islam? Sepatutnya Sisters in Islam perjuangkan hak wanita kita....