Thursday, September 30, 2010

Kisah Seorang Penulis

Mungkin ramai yang telah terbaca kisah penulis yang telah berjaya ini. Rasanya tak salah kalau dipaparka di sini sekadar renungan buat diri kita di bulan Syawal yang mulia ini.

Beginilah kisahnya..

Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....

" Ada duit? Minta ayah sedikit.."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak banyak meragam.

"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada duit," bisik saya kepada emak.

Emak seperti biasa berwajah selamba, sukar dibaca isi hatinya.

"Bagilah berapa pun yang ada.." cadang emak pendek.

"Takkan nak bagi lima ringgit?" aku bersuara.

Emak hanya mengganguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang hanya sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang lima ringgit. Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang ke kota . Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang bagi kalau bukan ayah? Sepuluh tolak lima, saya masih 'untung' lima ringgit. Geli hati saya apabila memikirkannya..

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan menurut sahaja permintaan ayah. Kadang-kadang terlupa, tetapi ayah akan selalu mengingatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya yang masih goyah kadang-kadang hanya mengizinkan wang dua ringgit sahaja untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan permintaannya dan tetap tersenyum apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).

Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kadang-kadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan memasukkan duit melebihi jumlah yang saya berikan kepadanya ke dalam poket anak. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat di sebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada', tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.

Masa berlalu. Buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dahulu kami pulang ke kampung dengan bas tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

"Nanti besarlah kereta kamu ini.." ujar ayah sambil tersenyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung. Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

"Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya. Dan di dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah kini sudah melebihi apa yang diselitkan ke kocek anak saya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta! Di samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya membeli MPV untuk kegunaan harian. Anak-anak mula
menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya.

Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami, tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah Al-Wahhab itu!

Kini aku benar-benar faham bahawa ibu dan ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya 'aset' untuk kita. Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa.

Inilah rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang diperkatakan oleh tokoh-tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Ibu bapa sudah tiada? Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Sentiasalah berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

9 comments:

pB said...

Terimakasih kerna berkongsi ...




pssstttt ....
tak der ura ura nak buat gathering ker ?

atuk said...

Assalamualaikum KAMATO

tangan yg diatas lebih baik drp tangan yg dibawah

Wassalam

KAMATO said...

pb, lama betukan tak buat gathering, masing macam dah senyap je.... kalau masuk tribe pun semua muka baru je.... nanti la nak pantun kat bro zino, kot2 boleh hello kat semua geng lama.

KAMATO said...

rozali, betul tu .... dan biasanya tak berkurangpun harta kalau kita bersedekah

shami2 said...

Salam komato..

Seronok baca citer ni...
Inilah yg ayah saya suruh buat...dan saya buat sekarang ni....huhuu memang ada kebenarannya.....alhamdulillah..

terima kasih atas perkongsian..ilmu...

KAMATO said...

shami2, sekadar berkongsi...

rezeki said...

salam kamato

tidak tertulis di mana2 , tapi kewajipan tersebut hanya tersirat dalam hati

insyallah, setiap yg dihulurkan kpd kedua org tua , hanya Allah yang mengetahui balasannya

rosli said...

Salam Kamato,

Tk kerana berkongsi ilmu yang begitu bermakna ni.

Suria Klang said...

Salam bro Kamato...

Tkasih kerana berkongsi. Syabas...

Saya envy kerana Bro masih ada ayah ibu...saya dah lama hilang mereka... tak sempat pun nak hulur apa2 kepada mereka...awal lagi mereka dah tiada..

Semoga kehidupan Bro sejahtera selalu.