Thursday, September 30, 2010

Kisah Seorang Penulis

Mungkin ramai yang telah terbaca kisah penulis yang telah berjaya ini. Rasanya tak salah kalau dipaparka di sini sekadar renungan buat diri kita di bulan Syawal yang mulia ini.

Beginilah kisahnya..

Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....

" Ada duit? Minta ayah sedikit.."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak banyak meragam.

"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada duit," bisik saya kepada emak.

Emak seperti biasa berwajah selamba, sukar dibaca isi hatinya.

"Bagilah berapa pun yang ada.." cadang emak pendek.

"Takkan nak bagi lima ringgit?" aku bersuara.

Emak hanya mengganguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang hanya sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang lima ringgit. Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang ke kota . Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang bagi kalau bukan ayah? Sepuluh tolak lima, saya masih 'untung' lima ringgit. Geli hati saya apabila memikirkannya..

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan menurut sahaja permintaan ayah. Kadang-kadang terlupa, tetapi ayah akan selalu mengingatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya yang masih goyah kadang-kadang hanya mengizinkan wang dua ringgit sahaja untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan permintaannya dan tetap tersenyum apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).

Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kadang-kadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan memasukkan duit melebihi jumlah yang saya berikan kepadanya ke dalam poket anak. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat di sebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada', tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.

Masa berlalu. Buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dahulu kami pulang ke kampung dengan bas tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

"Nanti besarlah kereta kamu ini.." ujar ayah sambil tersenyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung. Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

"Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya. Dan di dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah kini sudah melebihi apa yang diselitkan ke kocek anak saya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta! Di samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya membeli MPV untuk kegunaan harian. Anak-anak mula
menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya.

Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami, tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah Al-Wahhab itu!

Kini aku benar-benar faham bahawa ibu dan ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya 'aset' untuk kita. Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa.

Inilah rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang diperkatakan oleh tokoh-tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Ibu bapa sudah tiada? Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Sentiasalah berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

Sunday, September 26, 2010

NCEEE 2010

Persidangan Kebangsaan Pendidikan Kejuruteraan Dan Keusahawanan 2010 telah diadakan di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu pada 25 – 26 Sept. 2010. Penganjur persidangan adalah UMK dan UTHM. Thema persidangan kali ini adalah “Pendidikan Kejuruteraan dan Keusahawanan Pemacu Kelestarian Pembangunan Negara”.

Objektif persidangan adalah

• Mengupas isu-isu pendidikan kejuruteraan dan keusahawanan dalam melestarikan pembangunan Negara
• Membina kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan kejuruteraan dan keusahawanan dalam pembangunan Negara; dan
• Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pendidikan kejuruteraan dan keusahawanan

Sebanyak 43 pembentang telah membentangkan paper masing-masing. Aku telah di pilih sebagai pembentang ke tiga. Walau pun pembentangan berjalan lancar, tetapi aku tetap tidak berpuas hati kerana masa yang diperuntukan untuk setiap pembentang begitu singkat sekali.

Wednesday, September 22, 2010

Sawah

Pemandangan menghijau di Sawah Sempadan Tanjung Karang ini masih tetap menawan seperti dulu lagi. Saban tahun aku akan ke sini mengunjungi bibik. Setiap kali berkunjung ke sini teringat kisah dulu-dulu. Empat puluh tahun dulu setiap kali musim menanam dan menuai orang kampong Ijok akan berkampong di Tanjung Karang ini untuk gotong royong mengerjakan sawah. Kadang-kadang terpaksa duduk berminggu-minggu di tengah sawah ini. Kami kanak-kanak masa tu la yang paling seronok. Keli, haruan, sepat dan puyu di tali air lah mainan kami. Ketika air sawah dikeringkan, ikan-ikan ini akan berkumpul di tali air. Kadang-kadang sehingga bertin-tin dapat kami tangkap ikan-ikan ni. Masa tu makan nasi panas di tengah sawah berlaukkan ikan keli bakar yang dicurah kuah lemak cili padi daun cekur. Berulam rebusan pucuk ubi dan di tambah pulak dengan sambal tahun, aduhhh….. Tuhan saja yang tahu betapa lazatnya. Sehingga sekarang kalau ke rumah bibik aku akan cari sambal tahun.

Masa dulu menanam padi masih menggunakan cucuk. Menuai pulak menggunakan sabit, lepas tu membanting di kepuk.Sekarang semuanya mesin yang buat daripada menanam sehinggalah manuai. Keli dan haruan pun amat berkurangan disebabkan faktor racun rumpai. Penduduk Tanjung Karang sekarang ini walaupun ada sawah tapi beras tetap kena beli. Semua padi yang dituai akan terus di bawa ke kilang. Adalah menjadi satu kesalahan kiranya mereka memproses sendiri padi untuk dijadikan beras.

Saturday, September 18, 2010

Duku Terengganu

Dua puluh tahun dulu pendapatan orang kampong yang tanam pokok duku Terengganu ni cukup lumayan. Satu pokok boleh dapat hasil antara RM1500 hingga RM2000 setiap musim. Masa tu harga peraih ambik dari kebun pun RM 5 sekilo. Bayangkan kalau ada 10 pokok, boleh dapat pendapatan RM 15 ribu hingga RM 20 ribu setiap musim. Boleh pergi Mekah tiap tahun. Kita yang sesekali balik ni nak makan pun susah, semua pokok dah di pajak orang.

Tapi sekarang keadaan dah berubah, buah ni langsung takda harga. Orang kampong hanya boleh jual pada peraih dengan harga 70 sen sahaja sekilo. Itu pun belum tolak upah panjat ambik buah. Untuk upah ambik buah saja dah 40 sen sekilo. Maka yang tinggal tuan pokok hanya dapat 30 sen sekilo, itu pun kalau buah tu ada peraih yang nak ambik. Walau bagaimanapun kat KL buah duku ni di jual dengan harga RM 3.50 sekilo.

Baru ni aku balik rumah mertua di Kuala Brang. Melambak buah takda orang nak makan, kena pulak bulan puasa. Bukan saja buah duku, malah buah rambutan dan manggis juga melambak. Orang kampong bukan lagi fikir nak jual, tapi kalau ada orang nak ambik makan pun dah cukup bersyukur. Pihak-pihak tertentu seharusnya memikirkan bagaimana cara untuk membela nasib orang kapong supaya hasil pokok kayu mereka boleh dijual. Harga pasaran juga perlu dikawal sepaya peraih tidak membeli dengan harga yang terlalu rendah. Faktor kemasukan buah-buah dari negara jiran juga perlu diambil kira. Apa perlunya kita mengimpot buah dari negara luar sedangkan buah tempatan tidak boleh dipasarkan.
Pohon-pohon duku ini lebat dengan buahnya
Sebahagian besar buah-buah duku ini gugur begitu sahaja tanpa sesiapa peduli
Duku Terengganu adalah antara duku terbaik di negara kita, rasanya memang cukup manis

Tuesday, September 07, 2010

Friday, September 03, 2010

Berbuka Puasa

Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka, dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa tersebut."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis:

1- Ia memberi penjelasan tentang kelebihan orang yang menjemput orang yang berpuasa berbuka malah disunatkan berbuat demikian serta dorongan supaya melakukannya.
2- Menjemput orang yang berpuasa bermakna menyeru kepada kasih-sayang dan bantu-membantu di kalangan umat Islam.
3- Pahala seperti ini akan diganjarkan kepada sesiapa sahaja yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka walaupun hanya dengan sebiji kurma, seteguk air minum atau seteguk susu.
Puasa tahun ini boleh dikira aku berbuka puasa di rumah. Berbuka di rumah hanya disebabkan ada tetamu atau anak-anak balik. Kalau tak ada jemputan di mana-mana kebiasaannya aku dan keluarga akan berbuka puasa di Surau Al Islah bersama-sama dengan warga Taman Langat Jaya. Setiap hari ada sahaja yang sponsor makanan untuk berbuka. Lebih dari 100 warga taman bersama keluarga berbuka di surau ini setiap hari. Tahniah kepada AJK surau kerana berjaya mendapatkan penderma-penderma di bulan yang mulia ini.Berbuka puasa di bumbung Masjidilharam, hanya makan kurma dan minum air sahaja - Pinjam dari blog CL