Biasanya kalau mengunjungi kota ini aku akan menaiki penambang untuk ke Baruh. Miden goreng belacan antara menu aku gemar di situ. Tapi hujan lebat membuat aku tak mampu untuk menyeberang. Aku cuma mampu perhatikan penambang itu dari jauh.Penambang-penambang itu masih menjadi pilihan anak-anak yang pulang dari sekolah untuk menyeberang. Kanak-kanak itu seolah-olah tidak menghirau hujan lebat yang turun. Mungkin juga mereka merayakan hari terakhir sebelum cuti persekolahan. Dan penembang-penambang itu terus menjalanakan aktiviti mereka mengangkut penumpang walaupun sebenarnya mereka membahayakan penumpang semasa hujan lebat sebegitu. Menurut kata pekerja hotel tempat aku menginap memang hujan turun setiap petang. Ternyata hujan tak berhenti sehingga malam. Hampir jam sembilan Is datang jemput aku, katanya kita ke Raja Ayam Penyet. Dah lama dah aku dengar nama tu, tapi tak pernah berpeluang ke sana. Memang ternyata tempat tu terlalu ramai pengunjung sehingga terpaksa berdiri menunggu meja kosong. Ayam penyet dan pecel lele merupakan menu utama tempat ini. Set nasi ayam penyet ni agak ringkas, hanyalah sepinggan nasi putih, ayam goreng rangup yang panas, ulam salat dan timun serta sambal belacan sahaja. Tapi disebabkan hidangan itu dalam keadaan panas, maka ianya amat menyelerakan. Memang diakui sambalnya agak berbeza dan begitu istimewa. Maka tidak heranlah kalau seseorang itu mampu melantak dua set seorang. Is kata ada member dari Shah Alam datang, dia mampu melantak tiga set. Agaknya kalau diperkenalkan di KL ianya boleh menjadi tarikan pengunjung.