Awal tahun 80 an aku menjejakkan kaki di TIKL. Jiran aku dah pesan, sekolah tu kuat ragging katanya. Aku buat tak kesah, peduli apa soal ragging tu. Aku bertolak dari kampong hari Ahad, berdua bersama bapak. Naik bas sampai Pudu Raya lepas tu sambung dengan teksi sampai Ceras. Aku sampai sekolah sekitar jam 4.00 petang. Setibanya di perkarangan sekolah, 2 orang pelajar senior terus menerpa dan tolong angkat beg. Aku naik asrama di tinggkat 1 bilik A2 dengan lenggang tangan, bagusnya abang-abang senior ni. Selepas itu aku ingat bapak aku tak sempat lagi keluar pagar depan, tetiba beg yang mamat-mamat angkat tadi melayang dicampak ke bawah. “Kau ingat aku ni kuli engkau”, itu perkataan yang keluar dari salah sorang mamat yang angkat beg aku tadi. Itu la salam perkenalan aku semasa mula menjejak kaki ke sekolah itu. Selepas tu tak payah cerita la kat sini. Dua tahun aku duduk bilik yang sama, bilik A2. Dan baru-baru ini aku sempat berkumpul 6 orang bekas penggguni bilik A2 itu. Perjumpaan itu tak dirancang awal. Hanya sms kurang dari 10 jam, dan kami sempat berkumpul di sebuah restoran di ibu kota. Perjumpaan itu walau pun tak lama, telah mengembalikan kenangan kenangan suka duka semasa menuntut di institut itu.
Rano – dulu kau pengawas, tapi aku ingat kau la pengawas paling nakal kat sekolah tu. Sebab tu engkau terpaksa lucutkan jawatan pengawas atas kerelaan engkau sebelum tamat belajar. Sekarang engkau dah boleh berbangga dengan jawatan pensyarah di Universiti Petronas.
Zainal – nakal engkau dulu pun boleh tahan jugak. Dulu engkau kata kulit engkau hitam sebab engkau anak pesawah, setiap hari engkau berjemur tengah panas. Tapi sampai sekarang engkau tetap berjemur setiap hari, cuma bezanya engkau sekarang berjemur kat padang golf sehinggalah engkau dah single hadikap. Sekarang engkau boleh dicontohi sebagai seorang kontraktor yang berjaya.
Sukri – Engkau dari dulu sampai sekarang main sukan. Semua sukan engkau main. Dulu kau jagi keeper. Walau pun tinggi kau sama dengan tiang gol, tapi bola bolos juga. Apa hal pun kau la paling beruntung sebab di antara kami engkau yang paling banyak anak. Sekarang kau jadi orang kuat sekolah teknik.
Midi – Kau la pengawas yang pernah kena tumbuk perut oleh Penolong Kanan. Walau macamana pun kau memang ulat buku dari dulu lagi. Patut pun sekarang kau dah bergelar Profesor di salah sebuah university.
Zainoren – Kau memang terkenal dengan romeo. Dulu-dulu kau suka kutuk cikgu, tapi lepaskeluar universiti kau pulak jadi cikgu. Walau macamana pun bintang kau cukup cerah dan sekarang kau patut berbangga kerana dah jadi PPD.
Aku – Syukur apa yang ada.