Kenduri kahwin di rumah bapa saudara hujung minggu yang boleh dikatakan agak meriah. Kenduri di kampung aku ni memang agak unik sikit. Kebiasannya akan dibuat 2 hari, Sabtu dan Ahad. Semuanya di buat secara gotong royong. Semangat bermuafakat di kalangan masyarakat kampung masih kuat. Keluarga pengantin tak perlu buat apa, semuanya siap sepenuhnya. Masing-masing ada tugas tertentu. Daripada tukang masak, tukang hidang, pelayan, penyambut tetamu, tukang buat air sampailah ke basuh pinggan,Jemputan boleh datang bila-bila masa dan masih tak ada istilah buffet semasa jamuan. Semuanya akan dihidangkan sepanjang masa walaupun datang jam 11 malam. Makanan akan disediakan setiap masa mengikut keperluan. Oleh kerana sibuk dengan tugas biasanya jarang aku dapat hadir untuk dua-dua hari, tapi kali ni malam minggu aku dah ada kat kampong. Suasana sebelah malam memang kebiasaannya agak sibuk. Jemputan di kampong biasanya lebih suka datang sebelah malam. Lewat malam bacaan berzanji diiringi dengan alunan kompang tujuh cukup mengasikkan. Bukan semua orang boleh bermain kompang tujuh ni, ianya masih dimonopoli oleh golongan veteran. Hanya segelintir lapisan muda yang berminat untuk belajar. Memang agak sukar untuk bermain kompang tujuh ni. Ianya merupakan satu set yang mengandungi 7 kompang yang berlainan saiz dan 1 beduk. Ini bermakna 8 orang dalam satu kumpulan, belum termasuk yang mengalunkan lagu-lagu berzanji. Kalau diamati paluan kompang tersebut tidak akan diketuk serentak menjadikan satu nada yang amat mengasyikkan. Bukan semua orang juga boleh menyanyikan lagu berzanji, dalam setengah keadaan ianya dinyanyikan dengan nada yang cukup tinggi yang boleh didengar sampai kehujung kampong padahal tidak menggunakan sebarang pembesar suara. Amy Search pun memang tak boleh lawan. Inilah keistemewaan kumpulan kompang di kampong aku ni, entah sampai bila ianya boleh bertahan. Harap-harap lapis muda yang menetap dikapong boleh terus memainkan peranan untuk mengekalkan tradisi ini. Pagi Ahad lepas subuh jam 6.30 pagi aku dah pergi. Mulanya ingat mungkin antara orang yang terawal, rupanya dah ramai orang. Satu semangat yang jarang jumpa di tempat lain, dan pagi tu aku berjaya parut kelapa sebanyak 70 biji. Satu perkara yang paling menyelerakan masa kenduri ni adalah makan masakan yang baru diangkat dari kuali di bangsal memasak. Sesekali dapat berkumpul dengan sanak-saudara dan orang kampung memang seronok.
No comments:
Post a Comment