Friday, February 25, 2011

Cerita Saman

Cukai jalan LORI aku tamat tempoh. Seperti biasa aku gunakan khidmat rakan aku yang yang menjadi agen insuran secara sambilan untuk menguruskannya. Sebenarnya sudah beberapa tahun aku menggunakan khidmat dia. Semuanya diuruskan sepenuhnya dari insuran sehingga la penghantaran cukai jalan. Senang berurusan dengan dia, cuma perlu sms, bank-in duit, esoknya cukai jalan dah ada atas meja. Kadang-kadang tak sempat bank-in, cukai jalan dah siap. Ini bermakna dia dahulukan duit dia dulu.

Tapi kali agak susah sikit, sehari selepas aku hantar massage, dia call

Kawan: Bang, saya dah cuba on-line road-tack tapi tak boleh masuk, rupanya abang ada 3 saman. Sekarang macamana bang, kalau nak hidupkan setahun kena settle semua saman-saman ni. Kalau tak cuma boleh hidupkan 6 bulan.

Aku: Bila pulak keluar prosudur ni?

Kawan: Sekarang dah macam ni bang. Apa pun abang kena bayar jugak nanti. Mula minggu depan dah tak ada diskaun.

Aku: Kalau macam tu kau sattlekan semua saman tu, nanti saya bank-in duit.

Kawan: Okay bang, duit tu jangan risau, saya selesaikan dulu.


Tak lama lepas tu dia call balik

Kawan: Bang, saya dah bayar semua saman tapi road-tack masih tak boleh on-line. Abang pernah kena saman JPJ ke? Saya tak boleh semak sebab saman jpj tak boleh check on-line.

Aku: Yang saya ingat tak pernah kenan saman JPJ

Kawan: Baik abang pergi semak kat JPJ, rasanya memang abang ada saman kat sana.



Dan aku pun bergegas ke JPJ untuk buat semakan. Bila semak memang aku kena saman tahun lepas. Salah sebab buat u-turn di Percent 16 Putrajaya. Pegawai JPJ tu kata surat dah hantar tapi ke alamat rumah lama. Memang la silap aku tak register alamat baru, tapi kalau dah surat tu pulang balik sepatutnya dia orang boleh semak rekod aku pada kenderaan lain. Tak pasal-pasal aku kena bayar 2 saman, satu pasal salah u-turn, satu lagi sebab tak datang masa di panggil.


Apa pun TAHNIAH kepada kerajaan atas usha untuk kutip saman-saman pada pesalah trafik macam aku ni.

Friday, February 04, 2011

Harga Getah

Harga pasaran getah SMR 20 pada masa kini melebihi paras RM15.00 sekilogram merupakan kadar tertinggi kenaikan harga komoditi itu yang dicapai dalam sejarah negara. Di Selangor sahaja pada masa kini harga sekerap mencecah RM 8.55 sekilo. Kenaikan harga ini sekurang-kurangnya melegakan sedikit kepada pekebun kecil. Dengan harga ini pekebun kecil yang mempunyai dua hektar tanah, mereka boleh memperolehi sekitar RM5,000 sebulan.

Darah daging aku juga berasal dari hasil getah. Celik-celik mata aku dah tenguk getah keliling rumah. Masa aku darjah 4 lagi aku dah membantu orang tua menoreh. Masa tu sekolah petang, pagi sempatlah ke kebun. Dalam usia 10 tahun masa tu aku dah boleh menoreh dengan baik. Mana taknya, arwah bapak cukup bising kalau menoreh terkena kayu pokok tu. Maka terpaksalah berhati-hati untuk pastikan torehan tidak terkena kayu pokok getah. Harga getah masa tu tak sampai pun 50 sen sekilo. Walau bagaimana pun apabila revolosi sawit melanda pekebun kecil, ramai yang menukar dari getah ke sawit, termasuklah orang tua aku. Makanya sampai sekarang aku terpaksa terlibat dalam industri sawit.

Satu maufakat dikalangan pengeluar getah dunia perlu dikekalkan bagi mengawal simpanan stok penimbal getah asli dunia dan imbangan harga serta dagangan getah. Dengan ini negara sebagai pengeluar getah mampu mengawal pasaran di tahap yang baik. Getah adalah komoditi yang stabil. Kalau harga turun pun, ia tidak banyak.

Rindu suasana di kebun getah sebegini



Nota: Harga getah naik, harga sawit naik, harga barang naik, gaji aku je yang tak naik

Saturday, January 29, 2011

Sawit oh sawit

Sejak kebelakangan ini harga sawit meningkat naik. Kenaikkan harga ini sekurang-kurangnya melegakan ramai pekebun kecil. Walau bagaimanapun kenaikan ini adalah pada masa musim buah sawit kurang. Bulan lepas harga sawit di kebun menghampiri angka RM800 setan. Mengikut ramalan harga sawit akan terus meningkat sehingga RM1000 setan. Yang agak menggusarkan kenaikan harga ini juga menuntut kenaikan kos operasi. Harga baja pada masa ini mencapai RM 90 sekampit, ini tak termasuk kos upah membaja. Harga racun juga turut meningkat.

Menjaga buah sawit yang harga berada di paras yang tinggi ini juga agak sukar. Pencuri-pencuri buah sawit sanggup menurunkan buah siang hari dari pokok seolah mereka bekerja di kebun dia. Sebahagian besar pekerja kebun sawit sekarang ni datang dari tanah seberang. Oleh itu pencopet-pencopet sawit ini boleh bermaharaja lela turunkan buah tanpa risau, sebab orang kampong ingat dia pekerja indon. Kebetulan pulak tuan kebun yang dicurinya itu tak duduk di kampong.


Kalau binatang perosak yang meceroboh kebun boleh juga di tembak, ini masalahnya manusia yang berjiwa binatang.

Wednesday, January 19, 2011

Tekanan di jalan raya

Ramai pengguna jalanraya dalam negara kita mengalami tekanan ketika memandu. Tekanan kerana kerenah pemandu yang tak bertanggungjawab. Ramai pemandu kita yang memandu tanpa mengikut peraturan sewajarnya.

Apa yang anda lakukan kalau ada pemandu memandu kenderaan perlahan di lorong kanan, dan anda berada di belakangnya.

Apa pulak yang anda lakukan sekiranya anda sedang memandu di highway lorong sebelah kanan dengan kenderaan yang berderet, tiba-tiba kereta belakang anda memasang lampu tinggi untuk menghalau anda ke tepi. Sedangkan semua orang nak cepat termasuk anda sediri.



nota: aku pun kadang-kadang speeding juga kat highway, tapi yg pastinya keadaan masa tu selamat. Kelajuan 180km/j itu adalah biasa dan kadang-kadang mencecah 200km/j. Memandu laju hanya ketika aku seorang atau bersama kawan dan perlu sampai destinasi yang ditetapkan. Kalau memandu bersama mem memang terpaksa ikut speed limit, kalau tak mem akan membebel lebih laju dari pusingan roda kereta.

Sunday, January 16, 2011

Masa Begitu Pantas

Terlalu cepat masa berlalu. Dalam tak diam Januari dah habis separuh.

Hari hujung minggu ku juga berlalu begitu pantas seperti berlalu tanpa sebarang nokhta.

Lepas subuh – Kuliah Ustaz Jaafar

8.00 pagi – Hantar mem ke pasar

9.00 pagi – Hantar computer along untuk maintanence

10.00 pagi – Sebagai fasilitator program khas PIBG bersama ibu bapa Sekolah Men Jln 4

12.00 pagi – Futsal Kementerian Sumber Manusia di Komplek Sukan Bangi (Dirasmikan Tim. Menteri Sumber manusia)

Lepas Zohor – Kenduri tahlil dan doa selamat warga taman

4.00 ptg – Kedai komputer

Lepas Asar – Kenduri doa selamat dan mesyuarat pembahagian tugas gotong royong bagi majlis kenduri kahwin seorang warga taman.

Lepas Magrib – Kuliah Ustaz Ariffin

Lepas Isyak – Baru dapat rehat panjang



Semalam sudah berlalu pergi, esok masih tidak pasti, hari ini masih mampu dikuasai.

nota: Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati". (Hadith Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).


Dunia ini dah senja agaknya, sehingga dirasakan masa bergerak begitu pantas

Monday, January 10, 2011

Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah

Mungkin ramai yang telah mengetahui Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah. Mendengar sendiri beliau menceritakan pengalaman beliau memang amat menginsafi. Sekali kita mendengar beliau berbicara, kita akan mengatakan beliau orang Terengganu kerana slang Terengganu yang begitu tebal. Sebenarnya beliau dilahirkan di Kuching Sarawak pada tahun 1980. Berasal dari keluarga yang menganuti Kriatian Katolik. Memulakan alam persekolahan di SRK Kg Selampit,Lundu dan seterusnya ke SMK Lundu dalam bahagian Kuching. Zaman mudanya beliau begitu bebas dan bergaul dengan pemuda-pemuda yang runtuh ahlak sehinggalah beliau dipenjarakan di penjara Sungai Buluh kerana terlibat menikam seorang pemuda Cina dalam satu pergaduhan. Di penjara beliau terbuka untuk mendekati Islam. Dengan berpegang kata-kata seorang kenalan yang mensarankan agar beliau ke Kelantan jika ingin mendalamai ajaran islam. Mendaftar secara rasmi sebagai muslim pada tahun 2003 dan mula mengikuti pengajian awal dalam bidang agama di Inst.Dakwah Islamiah PERKIM,Kelantan. Seterusnya ke Madrasah Al-Irsyad, Penang, Kuliyyah Pondok Darul Nai’m,Kelantan dan Madrasah Al-Hidayah,Terengganu.

Ibu dan 2 orang abang beliau merupakan penganut yang taat dan mempunyai jawatan dalam Gereja. Beliau sendiri pernah menjadi Pembantu Paderi selama beberapa tahun sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Terlalu banyak onak duri yang di lalui dan tempuhi. Beliau terpaksa berhadapan dengan pelbagai halangan dan dugaan di awal keIslaman. Disisihkan keluarga, saudara mara, kawan-kawan bahkan orang tersayang, merupakan saat yang amat sukar bagi nya. Mengubah landskap kehidupan jahiliah kepada taat dalam ajaran Islam amat memerlukan kesabaran dan mujahadah yang tinggi.

Beliau telah pun beristerikan seorang graduan dari Mesir, anak seorang imam besar di Terengganu. Kini beliau aktif menyampaikan ceramah dan kuliah di seluruh Negara.


Kita patut bersyukur, kerana lahir-lahir saja sudah diazan dan diiqamatkan sebagai muslim dan muslimah. Berapa ramai di kalangan saudara baru kita yang susah payah mencari sinar keIslaman. Bergelut dengan cemuhan meninggalkan agama lama. Malah disisihkan oleh keluarga. Itu cabaran saudara baru. Tetapi berkat ketabahan itulah membina kekuatan sebagai seorang Muslim dan Muslimah. Mereka hilang saudara, tetapi Allah bersama mereka. Hanya kepada Allah dicurahkan rasa sedih dan pengharapan.

Monday, January 03, 2011

Sanjung Auto

Baru-baru ini satu pusat servis kenderaan yang menggunakan nama Sanjung Auto telah dibuka secara rasminya di salah satu kawasan perindustrian di Bandar Baru Bangi. Tonggak utama di sebalik penubuhan pusat servis ini adalah Saudara Moin Hussien. Aku mengenalinya sejak lebih 20 tahun yang lepas. Masa tu beliau merupakan pengajar dalam bidang otomotif di ILP Perai. Oleh kerana keinginan untuk kerja dengan lebih mencabar, beliau telah berhenti dari ILP Perai dan join Proton. Di Proton beliau naik dari bawah sehinggalah menjadi peneraju utama pusat latihan syarikat tersebut. Semasa Proton mengalami kemurungan hanya bahagian latihan yang diterajuinya yang memberi keuntungan pada syarikat. Atas kecermelangannya juga beliau telah ditukarkan untuk menerajui pusat latihan Puspakom. Beliau telah berjaya membawa Puspakom sebagai pusat latihan bertauliah yang mampu mengeluarkan tenaga mahir negara. Pertengahan tahun lepas beliau meninggalkan Puspakom dan menubuhkan syarikat sendiri yang terlibat secara tidak langsung dalam membangun standard dan kurikulum bagi latihan kemahiran. Sekarang beliau bersama beberapa rakan kongsinya telah mengorak langkah menubuhkan pusat servis kederaan yang dinamakan Sanjung Auto. Pusat servis ini memberi tumpuan utama kepada pemilik-pemilik kereta Mercedes dan BMW. Walau bagaimanapun ia masih menerima kenderaan jenama lain selain Merch dan BMW. Di samping sebagai pusat servis kenderaan, syarikat ini juga akan menjalankan latihan kemahiran dalam bidang automotif. Sesiapa yang ingin mencuba sevis kenderaan di syarikat ini boleh la datang ke No 8, Jalan 9/6, Taman IKS Fasa 2, Bandar Baru Bangi.
Ustaz Asri Rabbani telah memimpin doa selamat dan bacaan yassin semasa pembukaan pusat servis ini

Sunday, January 02, 2011

Trip ke Utara

Cuti hujung tahun di sekitar utara, ziarah rakan-rakan sambil berehat. Satu malam di Penang, satu malam di Jitra, dua malam di Langkawi dan satu malam di Sungai Petani. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menerima kunjungan dan membantu mengurus peerjalanan kami termasuklah tempahan tempat penginapan, kereta sewa dan tiket ke Langkawi. Alhamdullilah segalanya berjalan lancar.Sekali pandang binaan bangunan seperti bukan di negara kita


Fakta berkenaan makan

Di Kedah di setiap pagi makan nasi, so kami pun setiap pagi pekena nasi.

Sempat pekena mee udang Cef Su yang memang mengancam di Seberang Perai, malah sempat belajar live di dapur bagaimana menyediakan mee tersebut .

Pekena "laksa power" di Langkawi, memang power.

Pekena laksa Pak Ya di Kuala Kedah yang memang terkenal, terlalu ramai pengunjung sehingga sukar untuk dapat meja kosong.

Sunday, December 26, 2010

Cerita lalai

Teknologi itu untuk kemudahan. Tapi kadang-kadang teknolgi itu juga akan menyusahkan, terutama apabila kita leka. Perkara tersebut terjadi pada ku hari ini. Kenderaan yang aku pandu terkenal dengan cirri-ciri keselamatan. Pendek kata kalau simpan computer dalam bonet memang tak perlu risau. Tapi nak dijadikan cerita semasa mengisi minyak di salah satu station minyak, aku bukak bonet kerana ingin menukar kasut yang terdapat dalam bonet tersebut. Semasa memakai kasut aku secara tak sengaja meletakkan kunci kereta dalam bonet. Dalam masa yang sama minyak sedang di isi. Apabila minyak penuh aku terus bergegas untuk mengangkat pam dan dalam masa yang sama aku menarik bonet untuk menutupnya. Masa tu bonet dalam mode autolock. Sebenarnya memang jarang aku set dalam mode auto lock, kecuali apabila aku bawak computer dan terpaksa parking di tempat awam. Spare master key yang ada juga tidak berfungsi apabila bonet dikawal sepenuhnya oleh electronic lock. Terpaksa mohon bantuan secara on-line dari expert kerana semua pusat servis tutup hari ini, dan akhirnya aku berjaya mengeluarkan kunci tersebut setelah berusaha hampir 3 jam. Niat ku untuk ke Perangsang Golf Resort Rawang kerana majlis re-union ex-TIKL. Sekurang-kurang hari ini aku tahu rahsia di sebalik kenderaan ini.

Wednesday, December 15, 2010

Hari Asyura

Sekadar ingat mengingati ...
Buat panduan untok semua...
Amin...

Tanggal 10 Muharram dinamakan juga hari Asyura kerana pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi pejuang yang gigih menegakkan syiar islam.

Peristiwa yang berlaku pada hari Asyura:
• Allah jadikan 7 petala langit dan 7 petala bumi.
• Allah jadikan bulan,bin tang ,matahari dan cakrawala.
• Hari pertama Allah mencipta alam dan menurunkan hujan.
• Allah jadikan Arasy,Loh Mahfuz,Kalam dan Malaikat.
• Allah mencipta Nabi Adam Alaihissallam.
• Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
• Pengelihatan Nabi Yaakob yang buta dipulihkan oleh Allah.
• Nabi Ayub dipulihkan oleh Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
• Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan setelah berada didalamnya selama empat puluh hari dan empat puluh malam.
• Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
• Laut merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa bersama pengikutnya daripada tentera Firaun.
• Firaun dan pengikutnya tenggelam kedalam lautan tersebut.
• Nabi Sulaiman dikurniakan Allah Kerajaan yang besar.


Amalan-amalan sunat pada Hari Asyura:
• Berpuasa -Pahalanya seperti mengerjakan haji dan umrah dan mati syahid.
• Mandi dan membersihkan diri -Nescaya hatinya tidak akan mati dan tidak akan jatuh sakit pada tahun itu kecuali mati.
• Melebihkan perbelanjaan dalam keluarga -Diluaskan Allah rezekinya serta beroleh keamanan dan kesihatan.
• Mengusap kepala anak yatim dan menaruh belas kasihan terhadap mereka - Diangkat oleh Allah darjatnya kesyurga.
• Membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 1000 kali - Doanya dimakbulkan Allah.
• Sunat bercelak mata - InsyaAllah tidak terkena sakit mata atau matanya dilindungi Allah daripada perkara maksiat.
• Sunat menginai dan mengerat kuku.
• Menjamu dan memberi minum kepada orang - Allah akan memberi seteguk air pada hari akhirat dimana dengan seteguk air itu tidak akan haus buat selama-lamanya.
• Solat sunat 4 rakaat 1 salam pada waktu Asar - Diampunkan Allah dosanya selama 50 tahun terdahulu dan terkemudian.
• Memperkukuhkan silaturrahim - Insya Allah dipanjangkan usianya.
• Memperbanyakkan Zikir dan Selawat.( Khasbunnallah wa nikmal wakil, nikmal maula wa nikman nassir )

Saturday, December 11, 2010

Kediaman Tanah Tinggi

Aku berkesempatan singgah di kediaman seorang kenalan yang tinggal jauh dari kesibukan kota, seorang insan yang cintakan kedamaian. Rumahnya dibina di lereng bukit di kawasan Bukit Tinggi. Konsep pembangunannya memang boleh dicontohi, kediamannya dibina tanpa ditarah lereng-lereng yang sedia ada. Berada di kawasan rumahnya terlupa seketika hiruk-pikuk kota. Di sekeliling rumahnya dipenuhi dengan tanaman seperti kobis, tomato, cili, timun, salad, strawbery dan macam-macam lagi. Semuanya ditanam menggunakan kaedah moden tanpa memerlukan kawasan yang luas. Mungkin disebabkan kawasan tanah tinggi ini memang sedia asal sejuk, maka semua tanaman di situ hidup subur. Kata insan ini, dia tidak pernah menjual hasil tanamannya, tetapi hanyalah untuk dihadiahkan kekapa kawan-kawan. Susur masuk dari jalan besar ke kawasan rumah
Depan rumah yang ringkas dan dipenuhi pokok markisa yang menjalar dan berbuah lebat.
Apabila berada di belakang barulah kita sedar rumah ini rupanya tiga tingkat dan dibina mengikut cerun bukit
Sebahagian dekorasi dalam rumah yang mempunyai 12 bilik, moden dan simple
Masuk sahaja ke ruang tamu, kita akan berpeluang keluar melalui pintu belakang dan kita akan berada di kawasan indah ini tanpa kita menyedari kita berada di bumbung bangunan setinggi tiga tingkat. Di sini kita dapat melihat pemandangan hutan menghijau yang cukup menawan.
Pokok-pokok kayu hutan di lereng depan rumah masih dikekalkan tanpa di usik, cuma pohon-pohon renek yang mengeluarkan bunga disulami di kawasan lereng.
Kaedah moden digunakan sepenuhnya untuk menanam sayur-sayur ini, tidak perlu menyiram dan tidak memerlukan tanah yang luas tapi mampu menghasilkan kuantiti hasil tanaman yang tinggi.
Pokok strawbery ini baru mula mengeluarkan buah, ia ditanam hanya dalam beg plastik
Sesiapa pun akan geram melihat salad yang sihat dan gebu walaupun hanya ditanam di dalam mangkuk yang kecil

Sunday, December 05, 2010

Musim Kenduri Datang Balik

Sejak minggu lepas hingga hujung tahun setiap minggu ada sahaja jemputan kahwin. Semana yang mampu akan ku gagahi untuk hadir. Hujung minggu baru ni jiran aku juga buat majlis yang sama. Ini bermakna sepanjang lorong rumah aku di pasang kemah dan secara tak langsung rumah aku juga menjadi operasi sebahagian aktiviti keluarga pengantin.
Muzik live begini dah amat jarang sekarang ni di Bangi untuk mana-mana majlis perkahwinan. Namun begitu memandangkan jiran aku ni merupakan pemimpin okestra di salah sebuah universiti, maka beliau tidak dapat mengelak untuk menerima tawaran rakan-rakan untuk menghiburkan pengunjung dengan alunan muzik tradisional.


Dalam sibuk kerja-kerja kenduri jiran ni, aku masih berkesempatan untuk balik ke Ijok untuk memenuhi jemputan kahwin. Kebetulan bila aku sampai aku dapat duduk bersama sepupu aku. Agak lama juga aku tak jumpa sepupu aku ni. Mungkin masing-masing sibut dan kenduri begini la peluang untuk bersua muka. Kami berpelukan untuk seketika. Sebenarnya sepupu aku ni bergelar Datuk, tapi seingat aku tak pernah walau sekali pun aku panggil gelaran itu padanya. Aku selesa dengan gelaran abang, lantaran itulah panggilan sebagai sepupu sejak kecil lagi. Dulu dia ni seorang guru agama yang tak kurang hebatnya. Malah seringkali menjadi iman dan berkhutbah di masjid-masjid sekitar mukim Ijok. Keputusannya satu masa dulu untuk bertanding di parlimen mengejutkan banyak pihak terutamanya pihak keluarga, dan beliau berjaya meyakinkan bondanya agar merestui perjuangannya. Mungkin disebabkan ketokohan peribadinya, beliau menang dengan majoriti mudah. Beliau sempat dua penggal sebagai wakil rakyat iaitu sepenggal di parlimen dan sepenggal di DUN. Walau bagaimanapun apabila gelombang politik merubah senerio politik di Selangor dalam PRU yang lepas, beliau terpaksa akur dengan keadaan semasa. Sekarang masa beliau dipenuhi sepenuhnya berdampingan dengan anak cucu. Aku tanya kenapa sekarang dah tak ada rancangan kuliah subuh di Selangor FM macam dulu. Dia jawab ringkas “Tak tahu, sekarang dia orang dah tak panggil”. Secara peribadi sebenarnya aku sanjung cara kehidupannya. Walaupun selama dua penggal sebagai wakil rakyat dia tetap duduk di rumah murahnya di pekan Simpang Ijok seperti mana juga sebelum beliau menjadi wakil rakyat.

Kami duduk lama berborak, mengimbas kembali kisah dulu-dulu. Sebahagian besar berkisar kepada kisah bagaimana susahnya orang tua membesarkan kami dulu. Dan aku hampir tak dapat menahan air mata apabila dia mengatakan sampai sekarang dia tak boleh lupa arwah orang tua aku. Dia pun tak tahu sebab apa dia tak boleh lupa. Katanya setiap solatnya dia tak pernah lupa mendoakan arwah. Moga roh bapak dicucuri rahmat, Ameen.

Friday, November 26, 2010

Cerita Tugas dan Ikan

Tiga hari aku berada di Kota Kinabalu dan Sandakan atas tugas rasmi. Sesekali keluar begini kadang-kadang seronok juga, lupa sekejap soal pejabat walaupun sebenarnya e-mail dan call tak putus-putus masuk. Inilah la kadang-kadang susahnya mengguna teknologi tinggi. Semua email boleh masuk setiap masa, tak boleh nak sembunyi langsung. Kali terakhir aku mengunjungi Kota Kinabalu ini kira-kira beberapa bulan yang lepas. Flight aku medarat di KK jam 12.30 tengahari, ambik teksi untuk terus checkin hotel. Aku cuma letak beg dan terus ke Telok Sempagar dan just in time, aku hanya ada setengah jam sebelum turn aku untuk bagi talk. Seramai 56 orang peserta di kalangan pakar pengajar dan pakar industry yang hadir.

Seperti kebiasaannya apabila mengunjungi KK ini aku amat gemar sekali meninjau aktiviti menangkap ikan di dermaga di kota ini. Banyak ikan-ikan yang tidak ada di Semenanjung boleh didapati di sini.
Jeti Tempat Nelayan Berlabuh di Kota KinabaluBerani ke makan ikan seperti ini


Hari kedua aku terbang pula ke Sandakan untuk tujuan yang sama, memberi talk untuk 35 orang pakar industry dan pengajar pakar. Seperti biasa masa terluang aku penuhi dengan tinjauan aktiviti perikanan di jeti dan pasar di bandar ini. Ternyata ikan-ikan di sini memang murah jika dibandingkan di Semenanjung, malah lebih murah juga dari harga di Kota Kinabalu. Seawal jam 2.00 pagi pasar dah sibuk dengan aktiviti jualan ikan.
Nelayan pulang dari menangkap ikan di jeti Sandakanperaih menunggu untuk memunggah di awal pagi lagiperaih setia menunggu kepulangan nelayanDi laut lepas ini tersembunyi rahsia sebagai sumber rezeki beratus-ratus nelayan di Sandakan


Nota:
Terima kasih Sdr Jiman kerana bersusah payah membawakan sebilah parang Bajau yang cukup cantik dari Kota Belud.

Terima kasih Pengarah ILP Kota Kinabalu kerana sudi untuk membawa aku makan malam di Restoran Ibu di jeti ke Pulau Manukan.

Terima kasih juga kepada Tim Pengarah ILP Kota Samarahan kerana aktiviti RONDA MALAM ke kawasan yang pernah di siar oleh Mazidul Akmal dan membawa kami menikmati ikan bakar di batu 4, Jln Sibuga. Ternyata ikan bakar di situ amat lazat sekali.

Terima kasih Sdr Sukri kerana dapat gantikan aku meeting di Bangkok. Sebenarnya masa di sini aku terima call dari PA yang mengatakan aku diarah ke Bangkok pada hari Jumaat atas tugas rasmi. Aku punya reason kukuh untuk excuse sebab hari Khamis aku masih di Sandakan dan kebetulan paspot aku mati, memang tak sempat nak renew.. Ha ha…..

Saturday, November 20, 2010

Qurban Hari Terakhir

Hari ini merupakan hari terakhir untuk melakukan ibadat qurban. Hari ini aku sekeluarga berpeluang bersama Kumpulan Rabbani dan rakan-rakan yang menjalankan ibadat qurban di Banghuris Homestay. Memang seronok dapat bersama orang kampong bergotong royong melapah, mengagihkan daging dan masak bersama-sama. Banghuri Homestay adalah satu Homestay yang merangkumi tiga kampong iaitu Kampung Bukit Bangkong, Kampung Hulu Chuchuh and Kampung Hulu Teris. Ini merupakan Homestay terbesar dalam negara yang melibatkan lebih dari 120 buah rumah. Berada di sini seolah-olah berada di kampong sendiri. Hampir keseluruhan penduduk di sini merupakan masyarakat Jawa. Mereka memang cukup peramah. Aktiviti masyarakat perkampongan ini memang boleh dijadikan contoh. Musim ini hampir setiap hari mereka menerima pelancong. Kebanyakkan mereka adalah pelancong Jepun. Bayangkan kalau setiap rumah dikunjungi 5 pelancong sehari, sebulan dah berapa. Lumayan tu dalam keadaan hidup di kampong. Pelancong akan dibawa melawat aktiviti pertanian dan industri asas tani dalam kampong. Kem pelancongan juga banyak membantu penduduk kampong bagi memastikan industri ini berkembang dan dapat memperkenalkan negara ke negara luar.
Ustaz Mohd Asri - ahli kumpulan Rabbani tekun memotong dagingGotong royong memasak daging akiqah bersama penduduk kampongRabbani menghiburkan tetamu yang hadirBergambar beramai-rami bersama orang kampongRabbani akan mengembangkan sayap perniagaan dengan aktiviti di Tanah Suci melalui anak syarikat yang baru di tubuhkan

Thursday, November 11, 2010

Business Plan

Tiga hari aku berkampung dengan rakan-rakan di Kuala Terengganu. Tujuan adalah merancang stretegik dan aktiviti untuk tempoh dua tahun akan datang. Program penuh setiap hari dari jam 8 pagi sehingga 11 malam. Terasa amat suntuk rasanya untuk menyelesaikan tugas dalam masa yang singkat ini, tapi Alhamdullilah semuanya berjalan lancar. Kami menginap di Felda Residence. Ini sebenarnya kali pertama aku duduk hotel anak syarikat yang dipunyai oleh peneroka ini. Nak bagi kredit pada hotel ini, makanan memang sedap-sedap, bilik macam hotel lima bintang. Bayaran pulak cukup murah.

Dalam kesibukan kerja dengan masa yang begitu terhad, aku sempat memenuhi ruang yang terluang, antaranya berjoging setiap lepas subuh hingga jam tujuh di tepi sungai di belakang hotel. Sempat menerima jemputan untuk makan tengahari di pejabat Menteri besar Terenganu. Pegawai penasihat khas agama MB datang jemput aku tengahari selepas aku terpaksa menolak untuk makan malam bersama atas sebab kesuntukan masa. Sempat bersantai menerima jemputan abang ipar pekena ICT di belakang airport antara jam 5.30ptg hingga 6.30 ptg. Menerima kunjungan Aziz sahabat lama untuk sama-sama pekena kopi di luar selepas jam 11 malam.
Pemandangan dari hotel (gambar guna hp cop pokok pisang)


nota: ICT tu ikan celop tepung

Saturday, October 16, 2010

Melayan Tetamu

Melayan tetamu itu satu kewajipan bagi kita. Tetamu itu membawa maksud orang yang berkunjung atau menziarahi orang lain sama ada dijemput atau tidak dijemput. Menerima dan melayan tetamu merupakan sikap dan amalan yang amat digalakkan. Keimanan dan kemuliaan seseorang dapat dilihat melalui cara menerima dan melayan tetamu.

Berikut contoh kisah bagaimana layanan tuan rumah yang boleh di katogari kan sebagai orang-orang BESAR yang boleh kita jadikan tauladan atau sempadan.

Kisah 1

Aku menghadiri satu majlis rumah terbuka di salah satu rumah pemimpin masyarakat. Kebetulan aku datang bersama abang ipar. Tuan rumah berpangkat Datuk, malah mempunyai darah keturunan raja. Dia juga merupakan ketua bahagian satu parti politik yang tidak asing. Pernah menjadi Timbalan Menteri kabinet satu masa dulu. Kedatangan kami di sambut cukup mesra. Dari jauh lagi dia dah tersenyum lebar. Genggaman erat semasa bersalam menandakan ekatan siratulrahim antara saudara islam. Semasa makan beberapa kali dia ke meja aku bertanya khabar, tanya bila balik dan juga bertanya soal kerja. Malah sempat juga kami sentuh isu politik terkini. Cara dia berborak seolah-olah seperti kami kenal rapat, pada hal cuma beberapa kali je aku jumpa dia. Seberapa daya dia cuba melayan semua tetamu yang hadir. Aku kagum cara dia berkomunikasi dengan tertamu, patutlah dia mampu bertahan sebagai pemimpin masyarakat yang cukup disegani oleh penduduk setempat. Sehingga kami nak balik pun dia iringi sampai ke pintu pagar. Cukup tinggi cara beliau melayan tetamu tanpa mengira pangkat dan darjat walau antara kami sebenarnya seperti enggang dengan pipit.


Kisah 2

Aku menghadiri satu majlis di salah satu rumah di satu kawasan perumahan di puncak bukit. Dengarnya majlis tersebut adalah kenduri kesyukuran dan sambutan hari jadi anak tuan rumah. Jemputan di buat melalui sms oleh isteri tuan rumah kepada isteri aku. Kebetulan isteri aku baik dengan isteri tuan rumah. Masa kami sampai adalah la 3 orang tetamu lelaki duduk di luar rumah. Makanan pun di sediakan disitu. Isteri aku terus masuk dalam. Aku terpacak disitu tunggu tuan rumah tak juga muncul. Last-last aku tarik kerusi dan cuba untuk turut bersembang dengan tetamu yang ada. Tidak berapa lama keluar seorang lelaki, cara dia menjawab soalan salah sorang tetamu yang ada itu aku amat yakin dia lah tuan rumah. Aku cuma senyum, tapi kenapa dia tak tegur. Mempersilakan masuk dan makan jauh sekali. Lepas tu dia masuk dalam. Kenapa jadi macam ni, macam-macam yang aku pikir masa tu. Apakah dia tak nampak aku di situ, bukan nya ramai pun yang ada. Apakah di sebabkan dia tak kenal aku maka dia tak perlu tegur, tapi kami ni datang atas jemputan isterinya. Apakah disebabkan isteri yang jemput maka kami ni bukan tetamu sang suami. Bukannya aku nak datang sangat pun, tapi dah dijemput, maka satu kewajipan untuk hadir. Besar sangat ke tittle DR yang dia carry sehingga tak layak untuk tegur orang kebanyakkan macam aku ni. Anak lelaki aku yang duduk kat sebelah aku pun pandang aku sambil senyum, mungkin dia paham apa yang aku fikir. Semasa kami nak balik hanya isteri yang menjenguk di muka pintu, sang suami terus tak nampak muka. Dan aku balik dengan seribu persoalan, kalau ini la sikap masyarakat kita, kita sedang berdepan dengan kehancuran.



Bukannya kita minta dilayan baik sebagai tetamu, tetapi cukup la sekadar dihormati sebagai tetamu. Apa salahnya kalau kita mempersilakan tetamu masuk dengan mesra dan lebar-lebarkan senyuman, bukan rugipun senyum. Orang kalau tidak hensem sekalipun, kalau selalu tersenyum pasti wajahnya akan berseri. Bukan ke cantik kalau kita berjabat tangan dengan mesra dan menyambut tetamu dimuka pintu/di halaman rumah. Janganlah apabila tetamu datang muka kita masam mencuka seolah-olah menunjukan kita memang tidak suka akan kehadirannya.

SEKADAR RENUNGAN, MAAF KIRANYA ADA YANG TERSINGGUNG

Sunday, October 10, 2010

Aku dan Sawit

Sawit dah jadi darah daging aku. Aku membesar bersama sawit. Celik-celik mata aku dah nampak sawit. Kecik-kecik aku berkejaran bawah pohon sawit. Bapak dulu sanggup tinggal di hujung kampong, tinggalkan kampong halaman semata-mata untuk membesarkan anak-anak sawitnya. Amat sukar rasanya hidup masa tu. Sementara menunggu sawit mengeluarkan hasil, tanaman kontan seperti kacang, ubi kayu dan sayuranlah punca untuk kami mendapat sesuap nasi. Masa tu pasaran hasil tanaman pun susah. Orang kampong semua tanam untuk makan sendiri. Keadaan kampong masa tu pun tak ada letrik. Baca buku pun pakai pelita minyak tanah. Kadang-kadang je bapak guna lampu pam gasoline. Katanya tak boleh pakai selalu, kena jimat minyak. Paip air pun tak ada, nak guna air kena turun bukit ke perigi. Agaknya kira-kira 300 meter juga perigi tu dari rumah. Yang pelik boleh pulak tiap subuh turun bukit ke perigi untuk mandi pagi sebelum ke sekolah. Anak-anak sekarang ni dah lah bilik air dalam bilik tidur, mandi pun nak pakai air panas.

Aku bangga dengan visi arwah bapak. Arwah bapak antara orang terawal dalam kampong yang berani tukar tanaman dari getah ke sawit, walaupun masa tu pasaran sawit tak nampak lagi. Secara tak langsung aku belajar sawit dari kecik, walau pun taklah secara scientific. Masa sekolah menengah aku hampir pakar mengguna skop dan sabit untuk mengait buah sawit. Secara tak langsung hasil sawit lah yang membesarkan kami, hasil sawitlah yang menyara persekolahan kami. Setiap masa luang akan aku bantu arwah bapak di kebun sawit. Bila masuk asrama aku hanya boleh menolong masa cuti sekolah.

Semua itu hanya tinggal kenangan. Walau apa pun aku dan sawit hampir tak boleh dipisahkan. Sehingga kini aku masih terpaksa melibatkan diri dalam sawit. Aku perlu meneruskan tugas menjaga pokok-pokok sawit peninggalan arwah bapak. Sebolehnya hujung minggu aku ingin bersama sawit-sawit ini. Masalah pengurusan sawit masa kini amat berbeza dengan zaman dulu. Pekerja adalah masalah utama, anak-anak tempatan kampong dah amat kurang yang sanggup berkerja di kebun sawit. Harga racun dan baja makin hari makin naik. Pasaran sawit juga tak menentu. Bila harga sawit tinggi, buah sawit selalu juga hilang dari pokok. Apa pun masalah yang dihadapi, aku tetap akan menjaga pokok-pokok sawit ini seberapa yang mampu.
Untuk menjadikan kebun sawit yang bersih tanpa sebarang rumput sebegini, komitmen yang tinggi amat-amat diperlukan
Kadang-kadang kederaan 4 roda ini aku lanyak dalam kebun sawit

Thursday, September 30, 2010

Kisah Seorang Penulis

Mungkin ramai yang telah terbaca kisah penulis yang telah berjaya ini. Rasanya tak salah kalau dipaparka di sini sekadar renungan buat diri kita di bulan Syawal yang mulia ini.

Beginilah kisahnya..

Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....

" Ada duit? Minta ayah sedikit.."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak banyak meragam.

"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada duit," bisik saya kepada emak.

Emak seperti biasa berwajah selamba, sukar dibaca isi hatinya.

"Bagilah berapa pun yang ada.." cadang emak pendek.

"Takkan nak bagi lima ringgit?" aku bersuara.

Emak hanya mengganguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang hanya sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang lima ringgit. Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang ke kota . Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang bagi kalau bukan ayah? Sepuluh tolak lima, saya masih 'untung' lima ringgit. Geli hati saya apabila memikirkannya..

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan menurut sahaja permintaan ayah. Kadang-kadang terlupa, tetapi ayah akan selalu mengingatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya yang masih goyah kadang-kadang hanya mengizinkan wang dua ringgit sahaja untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan permintaannya dan tetap tersenyum apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).

Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kadang-kadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan memasukkan duit melebihi jumlah yang saya berikan kepadanya ke dalam poket anak. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat di sebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada', tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.

Masa berlalu. Buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dahulu kami pulang ke kampung dengan bas tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

"Nanti besarlah kereta kamu ini.." ujar ayah sambil tersenyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung. Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

"Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya. Dan di dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah kini sudah melebihi apa yang diselitkan ke kocek anak saya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta! Di samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya membeli MPV untuk kegunaan harian. Anak-anak mula
menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya.

Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami, tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah Al-Wahhab itu!

Kini aku benar-benar faham bahawa ibu dan ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya 'aset' untuk kita. Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa.

Inilah rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang diperkatakan oleh tokoh-tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Ibu bapa sudah tiada? Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Sentiasalah berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

Sunday, September 26, 2010

NCEEE 2010

Persidangan Kebangsaan Pendidikan Kejuruteraan Dan Keusahawanan 2010 telah diadakan di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu pada 25 – 26 Sept. 2010. Penganjur persidangan adalah UMK dan UTHM. Thema persidangan kali ini adalah “Pendidikan Kejuruteraan dan Keusahawanan Pemacu Kelestarian Pembangunan Negara”.

Objektif persidangan adalah

• Mengupas isu-isu pendidikan kejuruteraan dan keusahawanan dalam melestarikan pembangunan Negara
• Membina kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan kejuruteraan dan keusahawanan dalam pembangunan Negara; dan
• Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pendidikan kejuruteraan dan keusahawanan

Sebanyak 43 pembentang telah membentangkan paper masing-masing. Aku telah di pilih sebagai pembentang ke tiga. Walau pun pembentangan berjalan lancar, tetapi aku tetap tidak berpuas hati kerana masa yang diperuntukan untuk setiap pembentang begitu singkat sekali.

Wednesday, September 22, 2010

Sawah

Pemandangan menghijau di Sawah Sempadan Tanjung Karang ini masih tetap menawan seperti dulu lagi. Saban tahun aku akan ke sini mengunjungi bibik. Setiap kali berkunjung ke sini teringat kisah dulu-dulu. Empat puluh tahun dulu setiap kali musim menanam dan menuai orang kampong Ijok akan berkampong di Tanjung Karang ini untuk gotong royong mengerjakan sawah. Kadang-kadang terpaksa duduk berminggu-minggu di tengah sawah ini. Kami kanak-kanak masa tu la yang paling seronok. Keli, haruan, sepat dan puyu di tali air lah mainan kami. Ketika air sawah dikeringkan, ikan-ikan ini akan berkumpul di tali air. Kadang-kadang sehingga bertin-tin dapat kami tangkap ikan-ikan ni. Masa tu makan nasi panas di tengah sawah berlaukkan ikan keli bakar yang dicurah kuah lemak cili padi daun cekur. Berulam rebusan pucuk ubi dan di tambah pulak dengan sambal tahun, aduhhh….. Tuhan saja yang tahu betapa lazatnya. Sehingga sekarang kalau ke rumah bibik aku akan cari sambal tahun.

Masa dulu menanam padi masih menggunakan cucuk. Menuai pulak menggunakan sabit, lepas tu membanting di kepuk.Sekarang semuanya mesin yang buat daripada menanam sehinggalah manuai. Keli dan haruan pun amat berkurangan disebabkan faktor racun rumpai. Penduduk Tanjung Karang sekarang ini walaupun ada sawah tapi beras tetap kena beli. Semua padi yang dituai akan terus di bawa ke kilang. Adalah menjadi satu kesalahan kiranya mereka memproses sendiri padi untuk dijadikan beras.