Sunday, August 01, 2004

Cuai

Kecuaian memang bukan disengajakan tetapi kadang-kadang ia terjadi sewaktu kita tekun dalam satu-satu pekerjaan. Kita bukanlah cuai bahkan kadang-kadang kita begitu memberi perhatian terhadap apa yang kita lakukan tetapi di situlah apa yang dinamakan kecuaian mengambil tempat. Pelik dan ajaib, bukan?

Maka itu, sesetengah orang akan mengatakan, “Sudah nak jadi begitu,” untuk menutup kesalahan. Kata-kata ini memang tiada salahnya, malah kita diwajibkan percaya ketentuan ALLAH, apalagi setelah diusahakan dengan begitu teliti, masih juga berlaku kemalangan. Tetapi andainya ia disebabkan oleh kecuaian secara mutlak, maka persepsi agama terhadap perkara semacam ini adalah berbeza.

Banyak kekalutan berlaku dalam hidup kita disebabkan kecuaian kita. Cuba renung-renung hidup kita. Setiap yang dilakukan tanpa kesungguhan, perancangan dan penelitian biasanya berakhir dengan hasil yang tidak seberapa. Itulah yang dinamakan “cuai”. Kecuaian telah menyebabkan hasil sesuatu usaha tidak menepati targetnya.
Jika anda jenis cuai, anda perlu berhati-hati sebab sikap begini bukanlah yang dikehendaki oleh agama. Agama mengajar setiap penganutnya supaya teliti dalam semua hal. Sebab itulah kebanyakan perkara memerlukan niat untuk dikira ibadah. Niat akan membentuk kesungguhan dan kesungguhan akan mengelak kecuaian daripada mengambil tempat.

Ambil contoh, tatkala anda menunaikan sembahyang tanpa benar-benar memasang lafaz dan niat, sembahyang anda akan menjadi begitu cuai. Fikiran anda mungkin menerawang tanpa tujuan, geraklaku sembahyang anda juga mungkin kelihatan malas bahkan mungkin juga tersilap; sudah empat rakaat disangka tiga, ataupun baru tiga sudah disangka empat.

Di situlah bermulanya satu-satu kecuaian. Semuanya bermula daripada gagal meletakkan niat atau selalu saya sebutkan melalui rangkaikata “hasrat, kehendak, sasaran, kemahuan, target dan cita-cita”. Tanpa semuanya ini kita akan terdedah kepada kecuaian yang disengajakan.

Cuba perhatikan tatkala kita bermalas-malas? Apakah nilai hasil kerja kita itu? Apakah cemerlang atau penuh dengan kekurangan?
Jawapannya sudah tentu compang-camping dan akan menyebabkan hati kita berasa kesal pada suatu ketika kelak. Pada ketika itu kita mungkin tertawa atau menangis melihat kecuaian kita sendiri.

“Kalaulah aku tidak cuai ketika itu, tentu hal semacam ini tidak terjadi.” Kita mungkin mengeluh begitu dan menyesali hari silam. Soalnya, mengapa memperjudikan tuah diri dengan kecuaian-kecuaian begitu?

Demikianlah, kecuaian banyak berlaku dalam keluarga apabila kurangnya perhatian diberikan kepada kesungguhan ataupun niat yang serba murni, ikhlas lagi bulat.

Sesebuah keluarga boleh menjadi medan perselisihan pendapat jika setiap ahlinya tidak memiliki niat-niat yang murni untuk menjadikan kehidupan keluarga itu sebagai jambatan menuju keredhaan ILAHI. Lihat sajalah keluarga yang didirikan tidak berasaskan agama; penuh kecuaian terhadap suruhan-suruhan dan larangan-larangan ALLAH. Perkara yang disuruh tidak dihirau sebaliknya yang dilarang menjadi agenda wajib.

Ini mungkin berlarutan hingga membabitkan soal pendidikan. Mungkin ibu bapa begitu mengambil berat tentang hal ini tetapi kecuaian agama yang dibiarkan mengambil tempat akan menyebabkan kecuaian-kecuaian lain turut tumbuh.

Jadi, bolehkah kita katakan, kecuaian terhadap agama menyebabkan kecuaian-kecuaian lain mengambil tempat? Pendapat ini sentiasa ada benarnya. Namun kadang-kadang semuanya telah dilakukan sebaik mungkin, hasilnya masih tidak seperti yang diharapkan. Apakah ini juga bererti cuai?

Cuba lihat kisah berikut. Lihat bagaimana kecuaian boleh mengambil tempat dalam kelupaan, kealpaan tetapi juga dalam kesungguhan kita melakukan sesuatu perbuatan.

Suatu hari, Aman pergi ke pasar. Sewaktu hendak pulang dia ternampak orang menjual sarung telefon bimbit dengan harga yang murah. Dia pun berhenti, meletakkan barang-barang yang dibelinya tadi dan segera memilih. Lama juga Aman memilih, maklumlah sarung telefon bimbit itu pelbagai jenis dan warna. Susah juga hendak membuat pilihan, kata Aman dalam hati.

Untuk memastikan pilihannya tepat, Aman memasukkan telefon bimbitnya ke dalam setiap sarung yang dirasakannya menarik. Akhirnya dia membuat pilihan muktamad dan terus membayar harga sarung telefon bimbit itu.

Kira-kira setengah jam kemudian, apabila dia sampai di rumah, didapatinya sarung itu kosong. Tiada telefon bimbit di dalamnya. Aman panik. Habis dibongkarnya barang-barang pasar yang dibelinya tadi namun telefon bimbit yang berharga lebih seribu ringgit itu tiada.
Tiba-tiba dia teringat, “Ah, aku masukkan dalam sarung, lepas tu terambil yang kosong.” Aman berasa cukup tidak aman. Dadanya berdebar-debar. Nilai panggilan yang ada dalam telefon itu mencecah RM500. Dia perlu segera kembali ke kedai berkenaan untuk mendapatkannya.

Ternyata usaha Aman tidak berhasil. Di rumah, anak-anaknya memerli, “Itulah ayah, cuai!!!”

Benarkah Aman cuai? Tidak, bahkan dia bersungguh hendak mendapatkan sarung yang paling baik, cantik dan sesuai. Tetapi dalam kesungguhan itulah, Aman kehilangan telefon bimbitnya
.
Kecuaian memang boleh dielakkan tetapi kadang-kadang sesuatu yang tidak terjangka boleh terjadi. Ketika itu, bolehlah dikatakan, “Sudah bukan rezeki,” atau “Sudah begitu kehendak-NYA.”
Nampakkah anda perbezaannya?

No comments: