Sunday, October 10, 2010

Aku dan Sawit

Sawit dah jadi darah daging aku. Aku membesar bersama sawit. Celik-celik mata aku dah nampak sawit. Kecik-kecik aku berkejaran bawah pohon sawit. Bapak dulu sanggup tinggal di hujung kampong, tinggalkan kampong halaman semata-mata untuk membesarkan anak-anak sawitnya. Amat sukar rasanya hidup masa tu. Sementara menunggu sawit mengeluarkan hasil, tanaman kontan seperti kacang, ubi kayu dan sayuranlah punca untuk kami mendapat sesuap nasi. Masa tu pasaran hasil tanaman pun susah. Orang kampong semua tanam untuk makan sendiri. Keadaan kampong masa tu pun tak ada letrik. Baca buku pun pakai pelita minyak tanah. Kadang-kadang je bapak guna lampu pam gasoline. Katanya tak boleh pakai selalu, kena jimat minyak. Paip air pun tak ada, nak guna air kena turun bukit ke perigi. Agaknya kira-kira 300 meter juga perigi tu dari rumah. Yang pelik boleh pulak tiap subuh turun bukit ke perigi untuk mandi pagi sebelum ke sekolah. Anak-anak sekarang ni dah lah bilik air dalam bilik tidur, mandi pun nak pakai air panas.

Aku bangga dengan visi arwah bapak. Arwah bapak antara orang terawal dalam kampong yang berani tukar tanaman dari getah ke sawit, walaupun masa tu pasaran sawit tak nampak lagi. Secara tak langsung aku belajar sawit dari kecik, walau pun taklah secara scientific. Masa sekolah menengah aku hampir pakar mengguna skop dan sabit untuk mengait buah sawit. Secara tak langsung hasil sawit lah yang membesarkan kami, hasil sawitlah yang menyara persekolahan kami. Setiap masa luang akan aku bantu arwah bapak di kebun sawit. Bila masuk asrama aku hanya boleh menolong masa cuti sekolah.

Semua itu hanya tinggal kenangan. Walau apa pun aku dan sawit hampir tak boleh dipisahkan. Sehingga kini aku masih terpaksa melibatkan diri dalam sawit. Aku perlu meneruskan tugas menjaga pokok-pokok sawit peninggalan arwah bapak. Sebolehnya hujung minggu aku ingin bersama sawit-sawit ini. Masalah pengurusan sawit masa kini amat berbeza dengan zaman dulu. Pekerja adalah masalah utama, anak-anak tempatan kampong dah amat kurang yang sanggup berkerja di kebun sawit. Harga racun dan baja makin hari makin naik. Pasaran sawit juga tak menentu. Bila harga sawit tinggi, buah sawit selalu juga hilang dari pokok. Apa pun masalah yang dihadapi, aku tetap akan menjaga pokok-pokok sawit ini seberapa yang mampu.
Untuk menjadikan kebun sawit yang bersih tanpa sebarang rumput sebegini, komitmen yang tinggi amat-amat diperlukan
Kadang-kadang kederaan 4 roda ini aku lanyak dalam kebun sawit

Thursday, September 30, 2010

Kisah Seorang Penulis

Mungkin ramai yang telah terbaca kisah penulis yang telah berjaya ini. Rasanya tak salah kalau dipaparka di sini sekadar renungan buat diri kita di bulan Syawal yang mulia ini.

Beginilah kisahnya..

Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....

" Ada duit? Minta ayah sedikit.."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak banyak meragam.

"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada duit," bisik saya kepada emak.

Emak seperti biasa berwajah selamba, sukar dibaca isi hatinya.

"Bagilah berapa pun yang ada.." cadang emak pendek.

"Takkan nak bagi lima ringgit?" aku bersuara.

Emak hanya mengganguk.

Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang hanya sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang lima ringgit. Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapan ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang ke kota . Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang bagi kalau bukan ayah? Sepuluh tolak lima, saya masih 'untung' lima ringgit. Geli hati saya apabila memikirkannya..

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan menurut sahaja permintaan ayah. Kadang-kadang terlupa, tetapi ayah akan selalu mengingatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya yang masih goyah kadang-kadang hanya mengizinkan wang dua ringgit sahaja untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan permintaannya dan tetap tersenyum apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).

Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kadang-kadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan memasukkan duit melebihi jumlah yang saya berikan kepadanya ke dalam poket anak. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat di sebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada', tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.

Masa berlalu. Buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dahulu kami pulang ke kampung dengan bas tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

"Nanti besarlah kereta kamu ini.." ujar ayah sambil tersenyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung. Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

"Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya. Dan di dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah kini sudah melebihi apa yang diselitkan ke kocek anak saya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta! Di samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya membeli MPV untuk kegunaan harian. Anak-anak mula
menjejak menara gading. Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya.

Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami, tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah Al-Wahhab itu!

Kini aku benar-benar faham bahawa ibu dan ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya 'aset' untuk kita. Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

Memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa.

Inilah rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang diperkatakan oleh tokoh-tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Ibu bapa sudah tiada? Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Sentiasalah berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

Sunday, September 26, 2010

NCEEE 2010

Persidangan Kebangsaan Pendidikan Kejuruteraan Dan Keusahawanan 2010 telah diadakan di Kelantan Trade Centre, Kota Bharu pada 25 – 26 Sept. 2010. Penganjur persidangan adalah UMK dan UTHM. Thema persidangan kali ini adalah “Pendidikan Kejuruteraan dan Keusahawanan Pemacu Kelestarian Pembangunan Negara”.

Objektif persidangan adalah

• Mengupas isu-isu pendidikan kejuruteraan dan keusahawanan dalam melestarikan pembangunan Negara
• Membina kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan kejuruteraan dan keusahawanan dalam pembangunan Negara; dan
• Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam pendidikan kejuruteraan dan keusahawanan

Sebanyak 43 pembentang telah membentangkan paper masing-masing. Aku telah di pilih sebagai pembentang ke tiga. Walau pun pembentangan berjalan lancar, tetapi aku tetap tidak berpuas hati kerana masa yang diperuntukan untuk setiap pembentang begitu singkat sekali.

Wednesday, September 22, 2010

Sawah

Pemandangan menghijau di Sawah Sempadan Tanjung Karang ini masih tetap menawan seperti dulu lagi. Saban tahun aku akan ke sini mengunjungi bibik. Setiap kali berkunjung ke sini teringat kisah dulu-dulu. Empat puluh tahun dulu setiap kali musim menanam dan menuai orang kampong Ijok akan berkampong di Tanjung Karang ini untuk gotong royong mengerjakan sawah. Kadang-kadang terpaksa duduk berminggu-minggu di tengah sawah ini. Kami kanak-kanak masa tu la yang paling seronok. Keli, haruan, sepat dan puyu di tali air lah mainan kami. Ketika air sawah dikeringkan, ikan-ikan ini akan berkumpul di tali air. Kadang-kadang sehingga bertin-tin dapat kami tangkap ikan-ikan ni. Masa tu makan nasi panas di tengah sawah berlaukkan ikan keli bakar yang dicurah kuah lemak cili padi daun cekur. Berulam rebusan pucuk ubi dan di tambah pulak dengan sambal tahun, aduhhh….. Tuhan saja yang tahu betapa lazatnya. Sehingga sekarang kalau ke rumah bibik aku akan cari sambal tahun.

Masa dulu menanam padi masih menggunakan cucuk. Menuai pulak menggunakan sabit, lepas tu membanting di kepuk.Sekarang semuanya mesin yang buat daripada menanam sehinggalah manuai. Keli dan haruan pun amat berkurangan disebabkan faktor racun rumpai. Penduduk Tanjung Karang sekarang ini walaupun ada sawah tapi beras tetap kena beli. Semua padi yang dituai akan terus di bawa ke kilang. Adalah menjadi satu kesalahan kiranya mereka memproses sendiri padi untuk dijadikan beras.

Saturday, September 18, 2010

Duku Terengganu

Dua puluh tahun dulu pendapatan orang kampong yang tanam pokok duku Terengganu ni cukup lumayan. Satu pokok boleh dapat hasil antara RM1500 hingga RM2000 setiap musim. Masa tu harga peraih ambik dari kebun pun RM 5 sekilo. Bayangkan kalau ada 10 pokok, boleh dapat pendapatan RM 15 ribu hingga RM 20 ribu setiap musim. Boleh pergi Mekah tiap tahun. Kita yang sesekali balik ni nak makan pun susah, semua pokok dah di pajak orang.

Tapi sekarang keadaan dah berubah, buah ni langsung takda harga. Orang kampong hanya boleh jual pada peraih dengan harga 70 sen sahaja sekilo. Itu pun belum tolak upah panjat ambik buah. Untuk upah ambik buah saja dah 40 sen sekilo. Maka yang tinggal tuan pokok hanya dapat 30 sen sekilo, itu pun kalau buah tu ada peraih yang nak ambik. Walau bagaimanapun kat KL buah duku ni di jual dengan harga RM 3.50 sekilo.

Baru ni aku balik rumah mertua di Kuala Brang. Melambak buah takda orang nak makan, kena pulak bulan puasa. Bukan saja buah duku, malah buah rambutan dan manggis juga melambak. Orang kampong bukan lagi fikir nak jual, tapi kalau ada orang nak ambik makan pun dah cukup bersyukur. Pihak-pihak tertentu seharusnya memikirkan bagaimana cara untuk membela nasib orang kapong supaya hasil pokok kayu mereka boleh dijual. Harga pasaran juga perlu dikawal sepaya peraih tidak membeli dengan harga yang terlalu rendah. Faktor kemasukan buah-buah dari negara jiran juga perlu diambil kira. Apa perlunya kita mengimpot buah dari negara luar sedangkan buah tempatan tidak boleh dipasarkan.
Pohon-pohon duku ini lebat dengan buahnya
Sebahagian besar buah-buah duku ini gugur begitu sahaja tanpa sesiapa peduli
Duku Terengganu adalah antara duku terbaik di negara kita, rasanya memang cukup manis

Tuesday, September 07, 2010

Friday, September 03, 2010

Berbuka Puasa

Diriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhaniy r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sesiapa yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka, dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikitpun pahala orang yang berpuasa tersebut."
(Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Pengajaran Yang Boleh Diambil Dari Hadis:

1- Ia memberi penjelasan tentang kelebihan orang yang menjemput orang yang berpuasa berbuka malah disunatkan berbuat demikian serta dorongan supaya melakukannya.
2- Menjemput orang yang berpuasa bermakna menyeru kepada kasih-sayang dan bantu-membantu di kalangan umat Islam.
3- Pahala seperti ini akan diganjarkan kepada sesiapa sahaja yang menjemput orang yang berpuasa untuk berbuka walaupun hanya dengan sebiji kurma, seteguk air minum atau seteguk susu.
Puasa tahun ini boleh dikira aku berbuka puasa di rumah. Berbuka di rumah hanya disebabkan ada tetamu atau anak-anak balik. Kalau tak ada jemputan di mana-mana kebiasaannya aku dan keluarga akan berbuka puasa di Surau Al Islah bersama-sama dengan warga Taman Langat Jaya. Setiap hari ada sahaja yang sponsor makanan untuk berbuka. Lebih dari 100 warga taman bersama keluarga berbuka di surau ini setiap hari. Tahniah kepada AJK surau kerana berjaya mendapatkan penderma-penderma di bulan yang mulia ini.Berbuka puasa di bumbung Masjidilharam, hanya makan kurma dan minum air sahaja - Pinjam dari blog CL

Saturday, August 28, 2010

Suri Teladan 4

Pada suatu masa Nabi Daud a.s. keluar ke pesisir untuk beribadat dan apabila telah genap setahun, dia berdoa: "Ya Rabbi ya Tuhanku, telah bengkok belakangku dan lemah mataku serta kering air mataku, tetapi aku belum juga mengetahui bagaimana nasibku." Mala Allah SWT memerintahkan seekor katak untuk menjawab doa Nabi Daud a.s. itu, lalu katak itu berkata: "Hai Nabi Allah, apakah anda mengungkit pada Tuhan ibadatmu yang setahun? Demi Allah yang mengutusmu menjadi Nabi, saya di hutan ini selama enam puluh tahun bertasbih, bertahmid kepada Allah, sedangkan persediaanku tetap gementar kerana takutkan Tuhanku."

Maka menangislah Nabi Daud a.s. ada riwayat yang mengatakan kejadian ini juga pernah terjadi pada Nabi Musa a.s. sesudah pembunuhan yang tidak disengajakan olehnya.

Terjemahan dan Syarahan oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Gambar Hiasan

Tuesday, August 24, 2010

Ustaz Farhan

Saya berkesempatan menemui Ustaz Farhan Bin Abdullah di satu surau di Bangi baru-baru ini. Ustaz ini dulu Misinory Kristian dan sekarang Pendakwah Islam. Saya rasa pengalaman hidup beliau boleh dijadikan iktibar untuk kita kongsi bersama.

Nama asal beliau sewaktu beragama Kristian ialah Johanis. Beliau dilahirkan dibumi Sabah dalam keluarga Kristian. Bapa beliau seorang ketua Paderi yang menjaga 15 buah gereja disatu kawasan di Sabah. Beliau dilatih oleh bapa beliau untuk menjadi seorang paderi. Sejak mula PBS bawah Datuk Joseph Pairin Kitingan usaha mereka mendapat sokongan penuh kerajaan negeri.

Kumpulan beliau masuk ke kampong dalam berbagai program. Selalunya program khidmat masyarakat. Pihak gereja selalunya membekalkan wang tunai sekitar RM50,000/==. Berbagai aturcara dibuat untuk membantu orang kampong. Mereka ziarah rumah kerumah. tanya masalah mereka dan bantu mereka. berbagai masalah diluahkan. Ada kala mereka bantu dengan duit secara spontan. Ada kala mereka hantar keperluan harian,pakaian dan buku sekolah dsb.

Dengan cara ini mereka mendekati mereka. Hasilnya dengan beberapa kali kunjungan susulan,mereka berjaya mengkristiankan mereka. Paling berbaloi mereka mengkristian remaja Islam,tambah berbaloi dari kalangan intelek. Hasilnya mereka dapat RM3,000/== setiap seorang Islam yang dimurtadkan. Bayangkan pendapatan beliau ketika masih dialam persekolahan.

Sewaktu Tingkatan 3 beliau dan beberapa rakan mengambil m/pelajaran Agama Islam yang boleh dipilih dengan lukisan(betapa hinanya m/pelajaran ini setanding dengan lukisan). Beliau mendapat A-3. Sewaktu tingkatan 4 beliau belajar di sekolah asrama penuh. Beliau terus ambil pelajaran Agama Islam.

Tujuan beliau untuk tahu mengenai Islam dan memudahkan beliau menyebarkan agama kristian. Beliau mempunyai beberapa soalan yang beliau kira tidak mampu dihuraikan oleh orang Islam. Pada suatu hari sewaktu tingkatan Enam bawah, beliau bersemuka dengan Ustaz yang mengajar beliau (beliau panggil cikgu). "cikgu saya ada beberapa soalan, tapi beliau rasa tak sesuai dikelas ini, bolehke saya ke rumah cikgu..."

Ustaz itu bersedia. Lalu beliau bersama beberapa rakan kerumah ustaz itu. Beliau katakan "cikgu saya mahu berdialog secara ilmiah, bukan atas nama Islam,agama cikgu dan bukan atas nama Kristian,agama saya". Beliau kemukakan beberapa persoalan, antaranya;-

- Mengapa orang Islam sembah kaabah -Sebenarnya semua agama sama sahaja. Nasrani, Yahudi, Kristian dan Islam adalah agama langit.

-Mengapa diakhir zaman, Nabi Isa akan turun bersama Iman Mahadi membebaskan kezaliman dan kekacauan dan bukannya Nabi Muhammad.

-Mengapa dalam sejarah dan hingga kini orang Islam suka peperangan.

-Injil sekarang dikatakan diseleweng. Kalau begitu mana yang asalnya.

Yang menghairankan ustaz ini dapat menjawab pertanyaan beliau dan kawan-kawan dengan begitu ilmiah. Beliau dan kawan-kawan mati akal.
Kemudian beliau dibebani dengan 3 persoalan yang tidak mampu beliau menjawab secara tepat.

Apakah boleh manusia(paderi) mengampunkan dosa manusia lain.persoalan ketuhanan 3 dalam 1 dan 1 dalam 3 - konsep ketuhanan Jesus.

Beliau mengatur pertemuan ustaz beliau dengan beberapa orang paderi,kawan- kawan bapa beliau. tetapi mereka enggan. Lalu beliau bawa ustaz itu kerumah beliau dan bertemu bapa beliau seorang ketua paderi. Ternyata bapa beliau juga tidak mampu menjawab persoalan yang dibawa oleh ustaz itu. Sebaik ustaz itu pulang, bapa beliau memarahi beliau kerana bawa 'orang malaya' datang kerumah.

Sejak itu beberapa kali beliau tidur rumah ustaz itu. Disamping mengulangkaji beliau gemar berdialog dengan ustaz itu. Beliau memerhatikan kehidupan ustaz tu, dan beliau mengagumi cara hidupnya.

Suatu malam beliau bermimpi didatangi 3 orang berjubah. Seorang berjubah hitam membawa salib. Seorang berjubah putih membawa bendera bertulisan jawi. Dan seorang berjubah hijau yang meminta beliau membuat pilihan. Yang berjubah hitam dan berjubah putih saling menarik beliau mengikuti mereka. Beliau meronta-ronta. Disamping itu beliau dapati yang berjubah hitam semakin tengelam dan yang berjubah putih semakin tinggi.

Sedang beliau meronta-ronta, beliau terjaga. Beliau mendengar suara azan dan ustaz tadi berada ditepi beliau dan berkata," mengapa Johanis....awak mengigau.... "

Beliau pegang tangan ustaz itu, beliau katakan,"Cikgu Islamkan saya........ .".Ustaz itu minta beliau bersabar untuk dia uruskan dengan pihak tertentu. Tidak lama selepas itu beliau pun di Islamkan oleh Ustaz itu.

Selesai penIslaman beliau, beliau pulang ke rumah. Sampai di rumah,beliau lihat pakaian beliau bertabur diluar rumah. Rupanya bapa beliau telah tahu. Sebaik melihat beliau, bapa bergegas masuk dan keluar semula dengan mengacu senapang ke arah beliau. Tiba-tiba emak menerkam dan peluru senapang meletup keatas. Beliau segera meninggalkan rumah sehelai sepinggang.Tinggalkan keluarga beliau. Tinggalkan sekolah. Beliau bersembunyi sekejap rumah ustaz sebelum beliau dibawa oleh ustaz pulang ke semenanjung sebaik habis kontrak mengajar di Sabah.

Beliau diserahkan kepada PERKIM di Kuala Lumpur. Secara kebetulan rakan beliau Nazri,vokalis kumpulan Raihan juga memeluk Islam, tetapi mengikuti kumpulan Ar-Arqam. 2 lagu dalam album pertama kumpulan Raihan adalah saduran lagu koir yang mereka nyanyikan dalam gereja sewaktu di Sabah dulu..

6 tahun beliau di PERKIM. Beliau masuk pula Maahad Tahfiz. Alhamdulillah beliau dapat sijil Al-Hafiz selepas 3 tahun. Kemudian beliau bekerja dengan Jabatan Agama Islam. Beliau banyak masuk kawasan di Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang. Tak sampai setahun beliau letak jawatan.Beliau sedih kerana ramai pendakwah ini nak berdakwah pun merungut duit over time. Beliau rasa tiada keiklasan.

Biarlah beliau jadi pendakwah bebas. Beliau ingin membilas dosa lalu. Beliau telah ramai memurtadkan orang..kini beliau mahu berjuang untuk mengIslamkan seramai mungkin dengan kualiti bukan kuatiti saja.

Berbalik kisah keluarga beliau. Selepas meninggalkan rumah dan belajar di PERKIM beliau selalu telefon ayah,emak dan adik beradik beliau. Beliau katakan jangan bencikan beliau. Beliau beliaung ayah.beliau beliaung emak.beliau beliaung adik beradik beliau. Ayah dan emak tetap ayah emak dunia dan akhirat.

Walaupun ayah menyambut dingin suara beliau, beliau hantarkan buku-buku yang sesuai menerangkan tentang Islam. 7 tahun beliau telefon. 7 tahun beliau hantar surat dan buku-buku. Beliau menangis kerana rindukan ayah,emak dan adik beradik. Akhirnya, sewaktu beliau di Maahad Tahfiz, bagaikan halilintar beliau mendapat berita...... .. Ayah beliau menganut Agama Islam.

Allah saja yang tahu perasaan beliau ketika itu. Beliau menangis dan menangis. Beliau ambil wuduk dan sujud syukur. Air mata beliau menjadi terlalu murah....beliau terus menangis...beliau pejamkan mata...beliau bayangkan ayah dihadapan... beliau peluk erat tubuh ayah dan mereka menangis bersama..... ...Ya Allah betapa agungnya kekuasaanMu. ...

Peristiwa yang beliau alami sewaktu memeluk Islam turut dirasai oleh ayah beliau. Dia dihalau dari rumah yang diberi oleh pihak gereja. Kini beliau pendakwah bebas. Beliau sedih melihat umat Islam hari ini berpecah.

Kita berpecah kerana kita meninggalkan Quran dan sunnah Rasul. Kita ambil sebahagian dan kita tinggalkan sebahagian. Kita ambil contoh pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas. Mengapa kita cari jalan nak menentang pelaksanaanya. Sepatutnya kita cari jalan supaya dapat dilaksanakan. Inilah sikap umat Islam. Beliau pernah berdialog dengan beberapa orang pensyarah universiti tentang isu Hudud & Qisas. Pensyarah tersebut boleh sergah beliau,"You apa tahu...Islam pun baru setahun jagung....."

Beliau sedih dengan sergahan pensyarah itu. Kalau ini sikap pendakwah beliau tak akan masuk Islam. Tapi beliau pilih Islam kerana beliau tahu apa itu Islam, kerana itu beliau ajak menghayati Islam.

Beliau kumpulkan semula kawan-kawan masa Kristian dulu. Beliau berdialog tentang Islam. Beliau kumpulkan derma untuk tujuan dakwah ini,untuk bergerak perlukan wang. Beliau diancam oleh puak Kristian. Beliau juga diancam oleh umat Islam.

Apa tauliah awak, mana kebenaran Jabatan Agama, mana permit polis, sapa benarkan pungut derma dll. Beliau tak gentar berdialog dengan puak Kristian, kerana beliau ada pengalaman tapi sukarnya bila Umat Islam sendiri menyulitkan beliau.

Beliau turut menubuhkan sektretariat yang disertain rakan-rakan seperjuangan di Mesir yang dinamakan "Akademik Tahfiz Al-Quran Wal Hadith di bawah kelolaan Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari.

Beliau turut memberi nasihat kalau ada sesiapa terminum 'Holly Water'.

Sebenarnya air ini dibuat di Vatican City. Dijampi oleh paderi termasuk Pope John Paul .Kalau terminum, cari air kolah dari 3 masjid. Baca Al-Fatihah 1x, Yasin 1x, 3 qul 1x, dan selawat. Ambil sebahagian buat minum dan sebahagian buat mandi. InsyaAllah mereka akan sedar dan dapat diselamatkan. insyaAllah.

Sesiapa yang berhajat untuk hulurkan derma, zakat dan sedekah bagi membantu aktiviti Ustaz Farhan boleh menggunakan akaun berikut:

Akademi Tahfiz Al-Quran Wal Hadith
no Akaun 5622-63-01294-0 (Maybank)

Pengarah,Pusat Pengajian Tahfiz Al Quran Bestari
no akaun 12-029-01-003493-7 (Bank Islam)
No akaun 5122-68-40494-7 (Maybank)

Saturday, August 21, 2010

Suri Teladan 3

Daripada Sariy al-Saqaty menceritakan bahawa:

Pada satu hari aku ke kawasan perkuburan untuk ziarah dan membaca sesuatu kepada pengguni-pengguninya. Tiba-tiba aku terlihat Bahlul al-Majnun berada di sisi sebuah kubur. Dia sedang menggolek-golekkan dirinya di atas tanah kubur itu. Aku tidak heran melihat apa yang dilakukannya kerana sememangnya aku sudah tahu perbuatannya, perangainya pelik daripada orang lain. Sebab itu orang menggelarnya Bahlul si Gila.

“Kenapa engkau berada di sini?” Tanya ku pada Bahalul. Jawabnya: “Memang aku cukup suka dan selesa berada di sini, mereka tidak menyusahkanku dan apabila aku pergi dari sini mereka tidak pernah mencaci di belakangku,” katanya dengan puas hati.

Aku merenung wajahnya dan aku tahu perkataan seumpama itu bukanlah kata-kata yang biasa diucapkan oleh seorang yang gila, ia seperti ucapan bernas dan mempunyai pengertian yang mendalam. Aku dapat memahami ucapannya; bahawa manusia sekarang tidak terlepas dari mencaci dan dicaci, mengganggu orang lain dan diganggu. Dunia hari ini telah rosak akhlaknya, manusia tidak lagi memperdulikan salah atau betul, dosa atau pahala. Mereka lebih suka mengikut hawa nafsu semata-mata, yang kerap kali membawa kepada malapetaka dan kebinasaan besar.

Aku terdiam sebentar, tidak tahu apa yang akan aku tanyakan kepadanya lagi. Aku tidak mahu tersalah soalan kepadanya, nanti mana tahu aku menerima jawapan yang tidak menyenangkan dirinya. Orang seperti itu pemikirannya bergerak cepat, mungkin apa yang dikatakannya berupa ilham daripada Tuhan Yang Maha Kuasa.

“Wahai Bahlul, tahukah engkau bahawa harga roti sekarang sudah naik?” Lidahku tiba-tiba mengatakan itu, dan aku sendiri tidak tahu, kenapa aku mempersoalkan tentang harga roti pula.

Beliau menjawab tegas dengan wajah yang muncung dan masam: “Demi Allah aduhai Sariy, aku tidak peduli berapa pun harganya, walaupun sebuku roti berharga sedinar sekali pun. Itu bukan urusan kita.” Dia terlalu serius ketika mengucapkan kata-kata itu seolah-olah dia seorang peniaga di pasar.

Bahlul terus bersarah dengan penuh falsafah: “Apa yang seharusnya dianggap penting ialah kita mesti menyembah Allah SWT dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang diperintahkannya, nescaya Allah SWT akan mengurniakan rezeki-Nya sebagaimana yang dijanjikan. Harga roti naik atau turun bukan menjadi masalah, sebab walau apa pun keadaan yang berlaku sesungguhnya rezeki daripada Tuhan tetap ada”.
Gambar Hiasan

Thursday, August 19, 2010

Welding

Aku sempat berborak dengan seorang empunya pusat bertauliah swasta dalam bidang welding baru-baru ni. Katanya semua studentnya dah di booking syarikat gergasi. Malah katanya dia malu untuk menjaja sebab tak dapat memenuhi permintaan. Aku tanya berapa basic mereka bayar. Katanya walaupun budak-budak tu baru tahap 2 tapi mereka sanggup bayar antara RM 2 ribu hingga RM3 ribu, malah ada jugak yang mencecah sampai RM 5 ribu.

Aku ingat dulu aku pernah offer sorang anak buah suruh dia mintak jadi pengajar bidang welding, tapi dia tolak bila dia tau gaji yang ditawarkan. Dia rela kerja sebagai pekerja kontrak sebagai professional welder. Sekarang dia dah boleh buat rumah batu kat kampong tanpa pinjaman bank. Kalau buat betul-betul memang lumayan jadi welder ni, tapi apasal tak ramai budak-budak kita yang minat.

Sebahagian besar professional welder dalam Negara kita ni datang dari Philipina dan Indonesia. Welder Malaysia pulak lari kat Timur Tengah.

Aku sebenarnya dah lebih 10 tahun aku tak pegang welding machine ni, entah kan ada lagi atau pun dah hilang skill. Tapi walau macamanapun sekarang aku masih terlibat secara tak langsung sebagai penasihat dalam bidang ini. Dan hari ini aku menghadiri Technical committee meeting bagi International Organisation for Standardization untuk Welding And Allied Processes di SIRIM. Berbincang mengenai teknikal dan standard dengan pakar-pakar dari industry atas tujuan yang sama memang menyeronokan. Aku menganggotai committee ini sejak 4 tahun yang lepas. Banyak yang aku belajar bila duduk dalam committee ini. Kalau harap elaun hadir meeting memang tak berbaloi, terlalu kecil. Tapi demi industry welding negara di gagahi juga untuk turut serta. Berpeluang juga menghadiri perbincangan di peringkat international. Tahun 2008 aku di arah ke Berlin untuk ISO TC meeting bersama pakar welding dari seluruh dunia bagi membincangkan international standard dalam welding. Tahun 2009 di Singapore tapi terpaksa menarik diri atas sebab wabak H1N1, dan tahun ini kalau tak ada aral akan ke Busan Korea untuk tujuan yang sama. Harap satu masa nanti semua industry welding dalam negara akan menggunakan Malaysian Standard (MS) sebagai rujukan.

Sejak aku di lantik pakar oleh SIRIM untuk menganggotai committee ini, aku kerap ke SIRIM atas tujuan ini. Tapi hari ni aku menemui kawan sekolah yang dah 30 tahun tak jumpa. Pejabat kawan aku ni di bangunan tempat aku selalu mesyuarat. Selama ni tak pernah aku jumpa dia.

Monday, August 16, 2010

Suri Teladan 2

Cerita tentang seorang lelaki lumpuh, disebabkannya dia tidak boleh bergerak dan hanya duduk di rumah sahaja. Dia menderita selama beberapa tahun, hingga membuatnya berputus asa. Para doctor telah menyatakan tidak mampu mengubatinya lagi. Mereka telah menyampaikan perkara itu kepada keluarga dan anak-anaknya.

Pada suatu hari ada seekor kala jengking jatuh dari atap rumahnya tepat di atas tubuhnya, dan dia tidak dapat menghalaunya kerana badannya yang lumpuh. Kala jengking itu menjalar atas kepalanya dan menyengatnya beberapa kali. Selepas itu secara mengejut badannya boleh digerakkan mulai dari tapak kaki hingga ke kepala. Darah mula mengalir ke dalam semua organ tubuhnya dan menyembuhkan seluruh jasadnya. Dia pulih dan sihat semula. Dia berdiri dengan dua kakinya, berjalan-jalan dalam biliknya, membuka pintu lalu menghampiri keluarga dan anak-anaknya.

Apabila dia berdiri di hadapan mereka, mereka tidak percaya melihat apa yang berlaku. Mereka terperanjat bukan kepalang, lalu lelaki tersebut terus menceritakan keajaiban yang berlaku ke atasnya.

Maha suci Allah SWT yang memberikan kesembuhan kepada hamba-Nya melalui cara yang demikian. Cerita ini saya utarakan kepada beberapa orang doctor, dan mereka pun mempercayai apa yang saya katakan. Mereka menyebut pada kala jengking itu ada serum antibiotic yang mengandungi racun, jika toksidnya diperkecilkan secara kimia maka serum itu boleh menjadi penawar atau ubat orang yang lumpuh.

Maha Tinggi Zat Yang Maha Baik itu, yang tidak menurunkan satu penyakit pun kecuali Dia juga yang menjadi penawarnya.

(Demikianlah catatan Sheikh Al-Imam Tajuddin Ahmad bin Muhammad dalam Hikamnya)

Thursday, August 12, 2010

Suri Teladan 1

Suatu hari Khalifah Hisyam bin abdul Malik masuk ke Masjidilharam, tiba-tiba dia melihat Salim bin Abdullah bin Umar al-Khattab, seorang ulama besar dan termasuk salah seorang daripada fuqaha’ yang tujuh. Beliau membawa kasutnya dengan kedua-dua tangannya. Ada yang mengatakan serban, kasut dan bajunya hanya berharga lebih kurang 13 dirham. Maka dilihat Khalifah Hisyam bersama para amir (gabenor), para menteri dan para pengawal, lalu ia bertanya kepadanya: “Wahai Salim, apakah kamu memerlukan sesuatu dari ku?”

Salim berkata: Tidakkah kamu berasa malu berkata seperti itu di dalam rumah Allah?”

Ketika Hisyam keluar, dia menunggu Salim keluar di luar perkarangan masjid. Hisyam bertanya lagi: “Wahai Salim tadi kita di dalam Masjidilharam, sekarang kita di luar Masjidilharam, apakah kamu memerlukan sesuatu daripadaku?”

Salim menjawab: “Daripada kepentingan dunia atau akhirat?” Hisyam menjawab: “Tentu sekali daripada kepentingan dunia.”

Salim berkata: “Demi Allah, tiada Tuhan selain Dia, saya tidak memohon dunia yang dimiliki Nya, bagaimana mungkin saya akan memintanya daripadamu yang sangat miskin ini! Sesungguhnya manusia itu miskin. Apakah manusia itu mengira bahawa kalau dia sudah memiliki wang berjuta-juta, atau pelbagai istana, rumah serba mewah, teman-teman yang ramai, dia telah memiliki dunianya? Dia tidak mengetahui bahawa kecukupan dan kekayaan itu menetap di hati, tatkala hati itu hidup bersama iman.”

Seorang penyair mengatakan:

Ambillah semua duniamu dan biarkanlah,
Hatiku merdeka, bebas dan terasing,
Sesungguhnya aku orang yang paling kaya antara kalian,
Walau kalian meninggalkanku sendiri tanpa mempunyai apa-apa.

Sunday, August 08, 2010

APC 2009

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KSM tahun ini agak lewat. Seramai 480 oarang seluruh negara telah menerima anugerah ini. Terima kasih pada DG atas anugerah ini. Terima kasih pada anak buah atas kerja sama selama ini. Tahniah semua pada yang terima anugerah ini.
Apa yang penting tujuan dan matlamat bagi setiap pekerjaan adalah untuk mendapat keberkatan dan keredaan dari Allah s.w.t. dengan demikian akan wujudlah nilai keberkatan yang sebenar dalam setiap amalan dan pekerjaan yang kita lakukan seharian . Maka kita perlulah sentiasa memastikan setiap pekerjaan yang dilakukan menurut tuntutan syara’ seperti:-

1. Niat yang ikhlas untuk mendapatkan keredaan dari Allah s.w.t. di samping mengharapkan pekerjaan itu diterima sebagai ibadah dan amal soleh.

2. Berazam dengan semangat bekerja bersungguh-sungguh sehingga mampu menghasilkan daya cipta dan kreativiti yang berkualiti kepada organisasi dan pelanggan.

3. Bijak dalam merancang dan melaksanakan sesuatu tindakan terutama dalam soal mengelak berlakunya pembaziran.

4. Hendaklah sentiasa mengamalkan sikap sabar setiap masa dan bertawakal serta berdoa kepada Allah s.w.t. bagi menjamin hasil yang sempurna dan berkualiti .

Friday, August 06, 2010

SKVE

Lebuhraya SKVE telah dibuka lebih sebulan yang lepas. Sebelum ni kalau ke Shah Alam dari Putrajaya aku lebih suka guna Elite. Sekarang aku dah banyak guna highway baru ni. Lebuhraya ni menghubung antara Putra Saujana ke Lebuhraya Silk. Setakat ni masih belum banyak kenderaan menggunakan jalan ini. Mungkin ramai yang tak tau lagi. Malah masih belum ada lagi track dalam GPS. Melalui jalan baru ini baru kita tahu terdapat banyak tasik bekas lombong di kawasan ini. Baru ni semasa aku memandu di lebuh raya ni, dua buah 3 siries menguji kemampuan kenderaan mereka di jalan baru ini. Mereka memberi syarat semasa memotong kereta aku. Aku terus mengekori rapat di belakang mereka. Kelajuan maksimum yang boleh di capai hanyala setakat 170 km/j sahaja, lebih dari itu agak sukar untuk mengawal kenderaan kerana terdapatnya selekoh dan jalan yang agak beralun.

Alangkah seronoknya kalau dapat memandu di jalan yang sunyi dan cantik seperti berikut


(sedang cuba hilangkan tabiat memandu laju, kadang-kadang sukar bila di cabar)

Tuesday, August 03, 2010

Potret

"Kesenian merupakan satu penghasilan dari jiwa yang jujur dan tercipta bagi menyatakan suara jiwa terhadap Al-Khaliq. Ia ibarat pengaduan rasa dan ucap syukur akan keindahan yang diciptakanNya kepada diri manusia".- Al Ghazali
Satu masa dulu masa di sekolah aku memang minat melukis potret. Aku pernah juga menghabiskan masa berjam-jam di Pasar Seni memerhatikan artis melukis potret. Seronok melihat sambil belajar kemahiran tangan mereka. Walau bagaimana pun skill tersebut tidak boleh di gilap mana. Percanggahan pendapat ulama mengenai hukum melukis objek-objek yang hidup seperti manusia dan binatang membataskan untuk terus mengasah bakat. Namun begitu banyak pendapat mengatakan lukisan hanya pada kepala tidak boleh dianggap sebagai objek hidup.

Thursday, July 29, 2010

Sahabat di Tanah Suci

Pertemuan kami 5 keluarga di Hotel Abber Garden di Tanah Haram kira-kira hampir 2 tahun yang lalu telah menghasilkan satu ikatan siratulrahim yang cukup rapat sehingga kini. Selama 2 minggu di Tanah Suci setiap lepas subuh, isyak dan zohor kami akan bersama-sama di meja makan. Sehinggakan kalau salah seorang di antara kami tak ada masa tu kami akan tertanya-tanya. Rupanya pertemuan itu tidak habis di Tanah Suci sahaja, sehingga kini kami masih saling berhubung antara satu sama lain. Mereka ialah Zul dari Kulai, Wak Mispan dari Banting, Jas dari Kajang dan Rashidi dari Cheras. Hubung kami rapat bagaikan adik beradik. Baru ni Wak Mispan buat kenduri kahwin anak dia, dan alhamdullilah kami dapat berkumpul untuk konvoi bersama ke Banting. Kenangan bersama di Tanah Suci, menikmati keenakan chiken mandy datang kembali. Moga persahabatan ini akan terus berkekalan.
Tak semua orang berpeluang melihat photo di atas ini

Rindu sangat untuk ke sini

Sunday, July 25, 2010

Akok

Pernah tak kawan-kawan makan kuih akok ni? Sejenis kuih yang cukup terkenal di Kelantan dan Terengganu. Asas kuih ni adalah gula, telor dan tepong. Dengan 50 biji telor, 3kilo gula dan 2 kilo tepong boleh menghasilkan sekitar 180 hingga 200 ketul akok. Kepada yang berpenyakit diabetis tidak digalakkan untuk mencuba. baru ni aku berpeluang menyaksikan kuih tradisional ini di buat.
Pakcik ni begitu seronok menikmati keenakan kuih akok. Agaknya macamana nak menghasilkan akok sebagai makanan kesihatan.

Thursday, July 22, 2010

Warkah untuk Anakanda II

Petang itu aku balik kerja agak lewat, banyak pulak kerja segera yang perlu dibereskan. Dalam perjalanan aku menerima panggilan. Aku segera mencapai handset dan cukup kenal siapa yang memanggil. Aku terus menjawab dengan memberi salam

Assalamulaikum, apa khabar ustaz?

Alhamdullilah sihat, abang Din sihat ke?

Alhamdullilah sihat.

Gini sebenarnya, malam ni saya ada mengajar di Kota Kemuning, kitab hikam. Lepas tusambung di surau Uniten, abang Din nak ikut ke?

Ustaz nak pergi pukul berapa?

6.50 kita bertolak

(Aku mengerling jam menunjukkan pukul 6.40, sedangkan aku tak sampai lagi Bangi)

Kalau macam tu tak sempat ustaz, saya jauh lagi ni.

Kalau gitu taka pa la, lain kali.

Insyaallah ustaz kalau tak ada aral saya akan ke Uniten.

Elok juga boleh jumpa orang kampong…

Dan malam tu aku cuba cari surau kat Uniten, susah juga rupanya nak cari……guard pun boleh tak tau



Berikut adalah sambungan catatan terbaru Ustaz Rashidy Jamil yang bertajuk Warkah Untuk anakanda II yang saya kira sesuai untuk tatapan kita. Mohon sekali lagi ustaz untuk saya paparkan catatan ustaz di sini

Anakanda yang dikasihi,

Dengarkan pesan-pesan agama yang inginWalid sampaikan buat ingatan di hari muka..

Telah berkata Syeikh Ibnu Athaillah Iskandary di dalam Al-Hikamnya:
خير ما تطلبه منه ما هو طالبه منك

Maksudnya : Sebaik-baik permintaan yang seharusnya anda mohon dari Allah ialah (Kemampuan) melaksanakan apa-apa yang Allah perintahkan kepada anda.

Anakndaku,

Syeikh Said Hawa ketika mensyarahkan hikmah yang mulia ini berkata apa yang dinyatakan oleh Syeikh Ibnu Athaillah ini seolah-olah ingin menarik perhatian manusia agar mengutamakan sebaik-baik permohonan dan hajat iaitu memohon pada Allah SWT agar dikurniakan kekuatan untuk mengerjakan ketaatan padaNya serta menjauhi cinta dunia.

Sebagaimana kita tahu, manusia merupakan makhluk yang lemah dan sentiasa berhajat kepada Allah SWT. Bahkan di dalam bisikan kudus manusia ketika berdoa pada Allah SWT, bukan sedikit hajat yang dipinta pada Allah Yang Maha Memberi.

Selain dari permintaan asasi seperti keampunan dariNya, kesihatan sepanjang hayat serta memohon kemurahan rezeki, manusia turut menyertakan pelbagai hajat dan permohonan yang tidak terkira banyaknya yang meliputi urusan dunia dan akhirat. Doa untuk mendapat pekerjaan yang baik. Doa agar dikurniakan anak-anak yang berjaya. Doa agar sentiasa dikasihi dan disayangi oleh semua dan lain-lain. Pendek kata terlalu banyak yang dipinta dan dipohon sebagai tanda lemahnya insan.

Ketahuilah Anakanda,

Sebuah syair arab menyebut:

نغدو ونروح لحاجاتنا وحاجات من عاش لا تنقضي

Maksudnya : Kita disibukan pagi dan petang dengan hajat-hajat kita sedangkan hajat-hajat bagi yang hidup itu tidak akan habis (Selagi tidak mati).
Hajat manusia sentiasa ada di sepanjang hayat mereka. Terkadang hajat yang dipohon bukanlah satu keutamaan pun. Sebaliknya hanyalah permohonan yang terhasil dari kecintaan terhadap dunia yang fana ini. Sehinggakan mereka tidak mampu lagi untuk membezakan antara keutamaan yang hakiki dan keinginan yang tidak pernah akan habis.

Di sini Walid nukilkan satu kisah pengajaran buat ingatan Anakanda di masa akan datang. Iaitu Kisah Hakim Bin Hizam dan Rasulullah saw. Dengar Ya..

Pada suatu hari, Hakim Bin Hizam telah datang meminta sesuatu dari Rasulullah saw dengan katanya :

“ Ya Rasulullah, berikanlah padaku sesuatu!”

Rasulullah saw menjawab padanya :

“ Apakah engkau melihat kambing yang berada di lembah itu? Semuanya menjadi milikmu.”

Maka Hakim bin Hizam mengambilnya.

Begitu juga untuk permintaannya kali kedua dan ketiga, Rasulullah saw memberi kepadanya seratus ekor unta.

Namun pada permintaannya buat kali keempat, Baginda saw telah bersabda :

يا حكيم انّ هذه المال حلوة خضرة واليدّ العليا خير من اليدّ السّفلى

Maksudnya : “Wahai Hakim, sesungguhnya harta ini hanyalah bagaikan tanam-tanaman yang muda dan menghijau sedang tangan di atas (memberi) itu lebih baik dari tangan di bawah (menerima).”- Riwayat al-Bukhari dan al-Tirmizi.

Anakanda,

Ketahuilah bahawa dunia ini sentiasa menipu. Syeikh Abdul Qadir al-Jailani di dalam kitabnya Fath Rabbani Wa Faidh Al-Rahmani berkata :

“Ketika aku ditanya bagaimanakah caranya mengeluarkan dunia yang merupakan punca jauhnya dari memohon ketaatan dari Allah, maka aku menjelaskan bahawa : Lihatlah dunia yang dipuja oleh manusia! Bukankah ia tidak pernah dimiliki? Ia hanya berpindah dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Dunia sentiasa menipu pemujanya. Dilambung dan dijulang sehingga apabila pemujanya lalai maka dunia mula menjerut dan membunuhnya.”

Bahkan Syeikh Sya’rawi turut berkata :

“Dunia tidak pernah dimiliki oleh sesiapa pun sebaliknya hanyalah warisan yang berpindah dari satu tangan ke tangan yang berikutnya.”

Dengan memahami hakikat dunia yang menjadi buruan dan hajat yang tidak pernah terpadam di hati pencintanya, Syeikh Ibnu Athaillah dengan ketajaman mata hatinya telah mengajak manusia untuk menilai kembali segala permintaan dan hajat-hajat yang dipohon. Dan mengutamakan sebaik-baik permintaan iaitu hidayah dan bimbingan dari Allah untuk melaksanakan ketaatan sebagai lambang kehambaan makhluk.

Anakanda,

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni di dalam kitabnya 'ila allazina asrofu a'la anfusihim' telah menukilkan satu kisah di mana ketika kuda Muaz bin Jabal dan kuda Baginda saw beriringan di dalam satu peperangan, Muaz telah memohon satu hajat yang disifatkan oleh baginda sebagai permintaan dan pertanyaan yang sangat agung di dalam sejarah kehambaan manusia.

Tahukah Anakanda apakah yang ditanya oleh Sayyidina Mua’z kepada Rasulullah SAW?

Bertanya Muaz kepada Rasulullah saw :

يا رسول الله اخبرني بعمل يدخلني الجنة ويباعدني من النار

Maksudnya : “Wahai Rasulullah, tunjukanlah kepadaku satu amalan yang mendekatkan aku dengan syurga dan menjauhkan aku dari neraka.”
Mendengar pertanyaan Muaz itu, Rasulullah saw menjawab :

يا معاذ لقد سالت عن عظيم

Maksudnya :” Sungguh agung permintaanmu wahai Muaz”.

Lalu baginda saw telah menunjukkan padanya jalan agar permohonannya itu dikabulkan oleh Allah melalui perlaksanaan ketaatan padaNya. Sebagaimana sabda Rasulullah saw :

ان تعبد الله لا تشرك به شيئا وتقيم الصلاة وتؤتي الزكاة وتصوم رمضان وتحج البيت ان استطعت اليه سبيلا

Maksudnya : “Iaitu engkau menyembah Allah dan tidak mensyirikanNya dengan sesuatu pun, mendirikan solat, menunaikan zakat, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke baitullah apabila mampu.”

Subhanallah. Inilah permohonan yang agung wahai Anakanda.

Permintaan yang terhasil melalui kejernihan mata hati yang memandang dunia dengan pandangan hakikat. Sepertimana yang disifatkan oleh Haji Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) di dalam Tasauf Modennya :

“Bagi mereka yang sentiasa mencari keredhaan dan bimbingan Allah, boleh diibaratkan pandangan mereka seperti mata yang memandang alam, sedang hatinya memandang Tuhan.”

Oleh itu duhai Anakanda, ingatlah pesanan Walid selalu.,

Mohonlah padaNya kekuatan agar kita mampu melaksanakan ketaatan padaNya semata di dalam mengharungi dunia yang akan ditinggalkan ini. Bukankah sebaik-baik permintaan itu adalah permintaan agar mampu melaksanakan ketaatan?


Salam buat Anakanda..

Tuesday, July 20, 2010

Warkah Untuk Anakanda I

Sebentar tadi aku berkesempatan terdorong untuk mengikuti pengajian kitab hikam Uztaz Rashidy Jamil di surau An Nur atau dikenali dengan nama Surau Haron Din. Surau yang begitu besar itu hampir penuh dengan jemaah untuk mengikuti kuliah. Itu la keistimewaan bandar ilmu Bandar Baru Bangi. Memang tidak dinafikan juga ustaz Rashidy ni ramai pengikut setia. Kepetahan anak muda kelahiran Kuala Berang ini ketika menyampaikan kuliah-kuliahnya memang tidak dinafikan. Ingatannya begitu tajam dalam menyebut nama-nama ulama tersohor. Bila berkesempatan sering juga ustaz Rashidy ajak aku menemani beliau ketika beceramah. Di rumah beliau tak pernah sunyi dengan anak murid beliau yang datang berguru, sebahagian besar mereka penuntut universiti. Kebetulan beliau mempunyai koleksi buku-buku agama yang cukup banyak. Berikut catatan terbaru Ustaz Rashidy yang bertajuk 'Warkah untuk anakanda I' yang aku kira amat sesuai untuk kita kongsi bersama. Mohon ustaz untuk saya tatapkan catatan itu di sini.....


Anakndaku yang dikasihi,

Di saat Walid menulis warkah ini, Walid baru sahaja menepuk-nepuk belakang Anakanda setelah Anakanda seperti terganggu dari beradu. Seketika Walid agak bimbang kalau-kalau Anakanda tak dapat beradu dengan nyenyak seperti selalu. Maklumlah Anakanda kurang sihat sehari dua ni.

Dan sekarang, Walid masih di sisi Anakanda. Menjaga dan mengusap-ngusap kepala Anakanda.

Anakanda,

Tiadalah kebaikan seorang bapa melainkan dia selalu menjaga amanahnya ini dengan pesanan-pesanan agama. Begitu juga dengan Walid. Ingin sekali Walid menyampaikan pesan-pesan agama buat Anakanda Agar Allah menyaksikan ketulusan Walid terhadap amanah yang dianugerahkan Allah ini.

Walid ingin berpesan tentang zuhud. Dengar ya..

Anakanda,

Ketika Syeikh Ibrahim bin Adham ditanya tentang bagaimana jalan untuk memperolehi zuhud, beliau telah menjawab :

بثلاثة اشياء : رأيت القبر موحشا وليس معي مؤنس ورأيت طريقا طويلا وليس معي زاد ورأيت الجبّار قاضي وليس لي حجّة

Maksudnya : “Melalui tiga perkara : (iaitu) aku melihat kubur itu mengerikan namun aku belum mempunyai penolong (dari kengeriannya), aku melihat jalan yang panjang (menuju ke akhirat ) namun aku belum memiliki apa-apa bekalan untk ke sana, aku melihat Allah Yang Maha Perkasa akan membicarakan aku (atas apa yang aku usahakan) padahal aku masih belum mempunyai hujjah (untuk menghadapi perbicaraanNya).

Inilah jalan-jalan zuhud menurut ulama sufi ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam An-Nawawi di dalam kitabnya Nasaihul I’bad.

Syeikh Abul Qasim Karim Hawazin Al-Qusyairi di dalam risalah Al-Qusyairiah menyebut bahawa Allah SWT telah memberikan gambaran tentang kesempurnaan zuhud menerusi firmanNya :

قل متاع الدّنيا قليل والآخرة لمن التّقى

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad) sesungguhnya kesenangan dunia itu hanyalah sementara sedangkan akhirat jualah yang lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.

(Surah An-Nisa : 77)

Begitu juga Sabda Rasul junjungan kita:
عَن أبِي العَبَّاسِ سَهلِ بنِ سَعدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنهُ ، قَالَ : جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِي (ص)، فَقَالَ :يَا رَسُولَ اللهِ! دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ ، إذا عَمِلتُهُ أحَبَّنِي اللهُ ، وَأحَبَّنِي النَّاسُ . فَقَالَ : اِزهَد فِي الدُّنيَا يُحِبَّكَ اللهُ ، وَازهَد فِيهَا عِندَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسِ .

Maksudnya : “Daripada Abu Abbas, Sahl bin Sa’ad As-Sa’idy telah berkata: “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw lalu berkata: “Ya Rasulullah. Tunjukkanlah padaku satu amalan yang sekiranya aku laksanakannya nescaya aku akan dicintai Allah dan dicintai manusia. Lantas Rasulullah saw menjawab: “Berlaku zuhudlah di dunia nescaya engkau dicintai Allah. Berlaku zuhudlah pada apa yang ada ditangan manusia, niscaya engkau dicintai manusia.” (Riwayat oleh Ibnu Majah )

Anakanda,

Sewaktu Walid meriba Anakanda ketika menyampaikan kuliah-kuliah agama pada jemaah, ramai jemaah kita yang tertanya-tanya apakah erti sebenar zuhud? Kata mereka :

“ Apakah meninggalkan dunia secara keseluruhan dan menumpukan tujuan pada akhirat semata itulah zuhud?”

Sewaktu tu..Walid diam seketika.
Sambil mengusap-ngusap kepala Anakanda, Walid menyatakan kepada mereka dan juga sekali lagi Walid nyatakan kepada Anakanda pada malam ini :

Di dalam menjawab persoalan ini, ketahuilah para ulama’ menyatakan :

لَيسَ الزُهدُ بِتَحرِيمِ الحَلاَلِ وَلا بِإِضَاعَةِ المَالِ ، إنَّمَا الزُهدُ أن تكُونَ بِمَا فِي يَدِ اللهِ أو ثَقُ مِنكَ بِمَا فِي يَدِكَ.

Maksudnya: “Bukanlah zuhud itu mengharamkan yang halal dan mensia-siakan harta tetapi sesungguhnya zuhud itu ialah kamu lebih yakin dengan apa yang ada di sisi Allah berbanding dengan apa yang ada pada kamu.”

Benarlah apa yang dinyatakan oleh imam Malik r.a :

“ Zuhud itu bukanlah tidak berharta tetapi mengosongkan hati darinya. (Secara berlebihan)”.

Abdullah bin A’bbas r.a juga berkata :

الزّاهد ثلاثة أحرف : زاي وهاؤ ودالز فالزّى زاد للمعآد والهاء هدى للدّين والدّال دوام على الطّاعة

Maksudnya : “ Perkataan zuhud itu terdiri dari tiga huruf iaitu Zay, Haa’ dan huruf Dal. Zay bermaksud : Bekalan menuju akhirat. Haa’ bermaksud : Hidayah menuju agama. Dal bermaksud : Istiqamah di dalam melaksanakan ketaatan.”

Anakanda,

Menerusi definisi yang dinyatakan oleh ulama’ berdasarkan kefahaman mereka terhadap firman Allah SWT dan hadis Baginda yang mulia tersebut, Islam telah menggambarkan bahawa zuhud ialah meninggalkan dunia secara berlebihan kerana ia akan ditinggalkan serta menumpukan akhirat kerana itulah perkampungan yang lebih baik dan lebih kekal.

Dr. Aidh Abdullah Al-qarni menerusi kitabnya ila allazina asrafu a’la anfusihim menukilkan sifat zuhud di kalangan para sahabat antaranya Salman Al-Farisi.

Gabenor Kufah ini telah menghairankan manusia yang menziarahinya pada hari-hari terakhirnya di dunia ini dengan tangisannya . Ketika ditanya mengapa beliau menangis, Salman menjawab :

“Sesungguhnya aku teringat kepada sabda kekasihku :

ليكن زاد أحدكم من الدّنيا كزاد الرّاكب

Maksudnya : Hendaklah kamu mengambil bekalan dari dunia ini seperti bekalan orang-orang yang bermusafir. (Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

(Selepas mengucapkan sabda Rasulullah saw yang mulia ini, Salman menyambung kembali ucapannya ) :

"Sedang kita telah mengambil seluruh dunia ini beserta isinya!"

Bertanya penduduk Kufah padanya setelah melihat tiada satu pun dari dunia ini dimiliki oleh seorang Gabenor seperti Salman kecuali :

1-Sebatang Tongkat untuk berjalan.

2-Sehelai kain serban yang besar untuk hamparan bagi tetamu dan untuk kegunaan ketika menghakimi.

3-Sebiji cawan besar untuk minum, berwuduk dan keperluan harian.

Tanya mereka : "Wahai Gabenor, sesungguhnya kami tidak melihat apa-apa dunia pun darimu kecuali keperluanmu terhadap 3 benda ini sahaja."

Sambil memandang, Salman menjawab : " Itulah yang aku fikirkan! Bagaimana akan aku jawab pada Allah terhadap 3 benda yang aku miliki ini.!"

Subhanallah. Inilah kesempurnaan zuhud wahai Anakanda.

Kesempurnaan yang hanya mampu dicapai oleh mata hati yang sentiasa muraqabah terhadap penciptanya. Ia akan terbentuk apabila insan melihat dunia ini dengan pandangan hakiki. Itulah jua yang Walid harapkan dari Anakanda. Agar Anaknda sentiasa menjadikan zuhud sebagai hiasan diri. Ketahuilah, hidup kita ini hanya sementara. Mudah-mudahan dengan memahami maksud hidup yang sementara ini, kita akan sentiasa berzuhud di dunia yang sementara ini.

Semoga Anakanda sentiasa sematkan pesan agama ini di dalam sanubari Anakanda tercinta. Dan ingatlah selalu pesanan Walid, jagalah Allah, pasti Allah menjaga dirimu.

Salam Cinta Kasih dari Walid buat Anakanda.