Monday, April 19, 2010

Bukit Broga

Akhirnya berjaya juga aku bersama anak-anak mendaki Bukit Broga. Kami keluar seawal pagi, niat dihati untuk melihat matahari naik, namun begitu cuaca pagi yang agak redup dengan awan yang tebal menghalang penglihatan untuk melihat mentari naik. Mungkin juga disebabkan hujan yang turun awal pagi. Memang ramai pengunjung bukit ni setiap hujung minggu. Mereka naik untuk tujuan bersenam, dan ramai yang naik untuk menikmati pemandangan indah yang memang memukau.
Bagai terapung di awanDengan menggunakan teropong jarak jauh, KLCC pun nampak dari puncak bukit iniMelihat keindahan alam ciptaan Tuhan dari puncak memang memukau pandanganRamai pengunjung di sini, sebahagian besar mereka merupakan peminat photografi yang datang untuk merakamakan panorama indahMenikmati air kelapa muda sebaik turun dari bukit merupakan satu nikmat

Friday, April 09, 2010

Untuk Arwah

Bacala kisah ini...... sekadar renungan buat kita....

Pada suatu malam bertepatan malam Jumaat Salih Al Mazi pergi ke Masjid Jamik untuk mengerjakan solat subuh. Kebiasaannya ia berangkat awal sebelum masuk waktu subuh dan melalui sebuah pekuburan. Di situ Salih duduk sekejap sambil membaca apa-apa yang boleh mendatangkan pahala bagi ahli kubur memandangkan waktu subuh masih lama lagi.

Tiba-tiba dia tertidur dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar beramai-ramai dari kubur masing-masing. Mereka duduk dalam kumpulan-kumpulan sambil berbual-bual sesama mereka. Al Mazy ternampak seorang pemuda ahli kubur memakai baju kotor serta tidak berkumpul dengan ahli-ahli kubur yang lain. Dia duduk seorang diri di tepi kuburnya dengan wajah murung, gelisah kerana sedih. Tidak berapa lama kemudian datang malaikat membawa beberapa talam yang ditutup dengan saputangan. Seolah-olah seperti cahaya terang gemerlapan. Malaikat mendatangi para ahli kubur dengan membawa talam-talam itu, tiap seorang mengambil satu talam dan dibawanya masuk ke dalam
kuburnya.

Semua ahli kubur mendapat satu talam seorang sehingga tinggallah si pemuda yang kelihatan sedih itu seorang diri tidak mendapat apa-apa.Dengan perasaan yang sedih dan duka dia bangun dan masuk semula ke dalam kuburnya.Tapi sebelum dia masuk Al Mazy yang bermimpi segera menahannya untuk bertanyakan keadaannya.

"Wahai hamba Allah ! Aku lihat engkau terlalu sedih mengapa ?" tanya Salih Al Mazy.

"Wahai Salih, adakah engkau lihat talam-talam yang dibawa masuk oleh malaikat sebentar tadi?"tanya pemuda itu. "Ya aku melihatnya. Tapi apa benda di dalam talam-talam itu?" tanya Al Mazy lagi.

Si pemuda menerangkan bahwa talam-talam itu berisi hadiah orang-orang yang masih hidup untuk orang-orang yang sudah mati yang terdiri dari pahala sedekah,bacaan, ayat-ayat suci Al Quran dan doa. Hadiah-hadiah itu selalunya datang setiap malam Jumaat atau pada hari Jumaat. Si pemuda kemudian menerangkan tentang dirinya dengan panjang lebar. Katanya dia ada seorang ibu yang masih hidup di alam dunia bahkan telah berkahwin dengan suami baru.Akibatnya dia lupa untuk bersedekah untuk anaknya yang sudah meninggal dunia sehingga tidak ada lagi orang yang mengingati si pemuda. Maka sedihlah si pemuda setiap malam dan hari jumaat apabila melihat orang-orang lain menerima hadiah sedangkan dia seorang tidak menerimanya. Al-Mazy sangat kasihan mendengarkan cerita si pemuda. lalu ia bertanya nama dan alamat ibunya agar ia dapat menyampaikan berita keadaan anaknya.Si pemuda menerangkan sifat2 ibunya.

Kemudian Al Maizy terjaga. Pada sebelah paginya Al Maizy terus pergi mencari alamat ibu pemuda tersebut. Setelah mencari kesana kemari beliaupun berjumpa ibu si pemuda tersebut lantas menceritakan perihal mimpinya. Ibunya menangis mendengar keterangan Al maizy mengenai nasib anaknya yang merana di alam barzah.Kemudian ia berkata :
"Wahai Salih ! Memang betul dia adalah anakku. Dialah belahan hatiku, dia keluar dari dalam perutku. Dia membesar dengan minum susu dari dadaku dan ribaanku inilah tempat dia berbaring dan tidur ketika kecilnya."

Al Maizy turut sedih melihat keadaan ibu yang meratap dan menangis penuh penyesalan kerna tidak ingat untuk mendoakan anaknya selama ini.
"Kalau begitu saya mohon minta diri dahulu." kata Al maizy lalu bangun meninggalkan wanitatersebut. Tatkala dia cubauntuk melangkah si ibu menahannya agar jangan pulang dahulu.Dia masuk kedalam biliknya lalu keluar dengan membawa wang sebanyak seribu dirham. "Wahai Salih, ambil wang ini dan sedekahkanlah untuk anakku,cahaya mataku. Insya Allah aku tidak akan melupakannya untuk berdoa dan bersedekah untukya selama aku masih hidup." Salih Al Maizy mengambil wang itu disedekahkannya kepada fakir miskin sehingga tidak sesenpun dari seribu dirham itu yang tinggal. Dilakukanny a semua itu sebagai memenuhi amanah yang diberi kepadanya oleh ibu pemuda tersebut.

Pada suatu malam Jumaat di belakang selepas itu, Al Maizy berangkat ke masjid Jamik untuk solat jamaah. Dalam perjalanan sebagaimana biasa ia singgah di perkuburan. Di situlah ia terlena sekejap dan bermimpi melihat ahli-ahli kubur keluar dari kubur masing2. Si pemuda yang dulunya kelihatan sedih seorang diri kini keluar bersama-sama dengan memakai pakaian putih yang cantik serta mukanya kelihatan sangat gembira.

Pemuda tersebut mendekati Salih Al Maizy se raya berkata :
"Wahai tuan Salih, aku ucapkan terima kasih kepadamu. Semoga Allah membalas kebaikanmu itu". "Hadiah dari ibuku telah ku terima pada hari Jumaat." katanya lagi.
"Eh, Engkau boleh mengetahui hari Jumaat ?" tanya Al Maizy.
"Ya, Tahu."
"Apa tandanya?"
"Jika burung-burung di udara berkicau dan berkata "Selamat selamat pada hari yang baik ini, yakni hari Jumaat."
Salih Al Maizy terjaga dari tidurnya.Ia cuba mengingati mimpinya dan
merasa gembira kerana sipemuda telah mendapat rahmat dari Allah
disebabkan sedekah dan doa dari ibunya.

(Petikan kisah Wali-Wali Allah (2) terbitan syarikat Nurulhas).
Gambar Hiasan

Thursday, April 01, 2010

MEB


Aku berpeluang menghadiri seminar INVEST 2010 di Shangrila baru ni yang membincangkan bidang-bidang baru yang boleh direrokai. Ianya berkaitan pengumumkan kerajaan mengenai Model Ekonomi Baru (MEB)untuk Malaysia baru-baru ini. Cabaran memang begitu hebat untuk merealisasinya.

Beberapa fakta mengenai negara kita yang begitu serius pada masa ini:

Sejak krisis kewangan Asia tahun 1997 – 1998, kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau ini semakin terhakis.

Masih terlalu sukar untuk menjalankan perniagaan di Malaysia. Prosedur birokrasi yang rumit, lembab dan memakan masa memberikan kesan kepada kos pelaburan dan potensi pulangan pelaburan.

Kebanyakkan kes menunjukan bahawa majikan tidak membayar untuk kemahiran sebaliknya bergantung kepada bekalan pekerja asing tidak mahiryang mudah diperolehi.

Kadar penghijrahan keluar rakyat Malaysia yang mahir meningkat dengan pantas, bilangan ekspatriat yang berkerja dalam Negara ini semakin merosot. Pada masa yang sama system pendidikan kita tidak menghasilkan kemahiran yang dikehendaki oleh firma.

Produktiviti sedang tumbuh tetapi terlalu perlahan. Sebelum krisis kewangan Asia, Malaysia peneraju rantau ini dari segi pertumbuhan produktiviti pekerja. Namun sejak itu ia hilang kedudukan unggul ini.

Jurang di antara penduduk kaya dan miskin semakin lebar, Malaysia tersekat dalam perangkap pendapatan sederhana.

Mampukah negara menangani masalah ini, sesuatu harus dilakukan sebelum kedudukan kita semakin merosot.

Saturday, March 27, 2010

Public Speaking

Pengucapan Awam adalah satu interaksi penghantaran mesej antara seorang pengucap dan sekumpulan pendengar. Ianya merupakan satu SENI.

Seni pegunkan pendengar - Intonasi suara serta gaya yang berkeyakinan antara faktor penting untuk mempengaruhi audience. Seluruh anggota badan termasuk mata dijadikan x-factor untuk bersama-sama mempengaruhi pendengar.

Seni mengubah hipotesis pendengar - Seorang pemidato yang hebat, mereka dapat mengubah pendirian seseorang untuk mempercayai mereka pula. Seni ini memerlukan kepada penelitian, bermain dengan struktur ayat, bahasa dan fakta.

Seni memujuk - Selalunya aspek pujukan digunakan pada penghujung ucapan dan biasanya dengan nada yang syahdu serta berkeyakinan. Jika teknik ini digunakan sepenuhnya, mampu membuatkan para penonton anda bangun memberi tepukan gemuruh.

Seni bahasa badan dan mimik muka
- Audience akan lebih mudah faham jika kombinasi hujah dan bahasa badan disepadukan bersama.

Seni gaya bersahaja - Tidak dinafikan untuk mengayampaikan ucapan dengan bersahaja tanpa gementar bukan mudah. Ia memerlukan latihan dan pengalaman. Wajah yang tenang, gaya yang bersahaja serta bercakap dengan spontan antara seni yang terdapat pada seorang yang pemidato yang hebat.

Seni mengawal suasana - Bagaimana hendak memukau penonton agar mereka memberi tumpuan dan faham apa yang diperbincangkan adalah perlu bagi seorang pemidato.

Seni menjawab soalan secara spontan - Memberi respon terhadap soalan secara spontan adalah satu seni yang perlu dimiliki oleh semua pembentang. Keyakinan semasa menjawab, memberi respon yang tepat serta tenang merupakan seni pada pengucapan awam.

TETAPI KENAPA APABILA MEREKA BERDEPAN DENGAN PENILAI SEMUA SENI INI HILANG, SEBALIKNYA GEMURUH YANG MENGUASAI

Tuesday, March 23, 2010

Siap Sedia

Keputusan telah dibuat, perjanjian telah dimeterai. Dari segi mental dan fizikal aku telah bersedia sepenuhnya. Samaada sebagai nakhoda atau sebagai hulubalang, insyaallah aku akan tetap berjuang. Ke mana pun arah dan tujuan, kata harus di kota. Aku sedia menunggu arahan
Mungkin juga ke Miri
Mungkin juga ke Bintulu
Mungkin juga ke Kota Baru
Mungkin juga ke Marang
Mungkin juga ke Batu Pahat
Atau mungkin juga kekal di Putrajaya
Doakan ku kawan

Saturday, March 20, 2010

Mesyuarat Kedai Kopi

Hampir 3 jam aku bersama sifu ku Prof Dr Wan Mohd Rashid di Shah Alam. Biasanya aku yang mengunjungi pejabat beliau di Batu Pahat atau sesekali beliau datang ke pejabat ku Putrajaya. Kali ni dia yang turun sini tapi perjumpaan kami dibuat di salah sebuah kedai mamak di Shah Alam. Seronok juga sesekali dapat berbincang di luar pejabat, sambil berbincang sambil minum. Seperti biasa setiap kali habis berbincang maka di kepala ini penuh dengan bebanan yang perlu di bereskan. Aku juga perlu membantu Prof Wan ni untuk syarahan perdananya bulan Mei ini. Nasihat Prof, biar apa pun terjadi jangan tolak tawaran yang datang.

Nota: Terima kasih pada rakan-rakan blogger atas nasihat dalam n3 sebelum ini, insyaallah saya akan buat keputusan sebaik mungkin

Thursday, March 18, 2010

Bahtera Kehidupan


Hampir 6 tahun aku berlayar bersama bahtera ini. Dalam masa itu jugalah aku menghambakan diri sepenuhnya untuk bahtera ini. Aku berdiri sebagai pejuang menyokong dan membenteras anasir-anasir bagi memastikan bahtera belayar menuju sasaran walaupun ada kalanya tersasar arah dan tujuan. Aku berdiri kukuh menyokong dasar-dasar dan prinsip perjuangan bahtera ini. Aku seronok dengan perjuangan ini sebagai hulubalang. Walau bagaimanapun masa telah merubah keadaan. Keadaan memaksa seperti tiada ruang untuk aku terus berbakti pada bahtera ini lagi. Perlukah aku pergi?

Perlukah aku pergi menjadi hulubalang di bahtera yang lain yang belayar di lautan lepas,

Atau pun haruskah aku pergi menjadi nakhoda di bahtera yang lain dan menjadi penentu arah dan tujuan,

Atau pun wajarkah aku terus kekal sebagai hulubalang di bahtera ini dengan ruang yang terhad.



Apa pandangan kawan-kawan?

Monday, March 15, 2010

Berbudi Pada Tanah

Yang aku ingat tanah kawasan ini telah melalui beberapa revolusi. Zaman aku kecik-kecik kawasan ni penuh dengan pokok kopi. Selepas tu tukar getah. Satu masa kawasan ni pernah terbiar. Usaha paman ku ini mendatangkan hasil yang lumayan. Ungkapan pertanian itu satu perniagaan boleh diterima. Berada di batas-batas kacang yang hijau merimbun ini memang mengasyikanMula berbungaKenduri menerima menantu di rumah Paman baru-baru ini tidak perlu pun beli sayur. Semuanya di kutip dari kebun termasuklah cili ini

Kelapa Pandan

Tengah cuaca panas, dapat pulak peluang meneguk air kelapa pandan yang manis dan harum. Pergh….. punyala puas Tuhan saja yang tau.

Kalau kat KL biasanya harga kelapa pandan ni RM 3.50 sebiji, tapi dalam perjalanan nak balik kampung aku ada sorang abang tu jual cuma RM1.80 sebiji. Tiap kali balik kampung aku akan singgah pekena kelapa pandan ni, biasanya sebiji masa pergi dan sebijik lagi masa balik. Aku pernah tanya kat abang yang jual tu sebab apa dia jual murah sangat. Katanya itu la cara dia bersedekah. Aku tanya berapa banyak boleh jual, dia kata dalam seminggu dia terpaksa bawak masuk dua lori kelapa pandan. Itu pun kadang-kadang tak cukup. Katanya lagi dia dah ada pelanggan tetap dan ada yang datang dari jauh semata-mata nak pekena kelapa pandan.

Walau pun dia jual tak mahal, tapi bayangkan kalau dah seminggu boleh jual dua lori, berapa banyak dia dapat. Agaknya itu la berkat berniaga sambil bersedekah.

Friday, March 12, 2010

Pokok Getah dan Ubi Kayu



"Mak tak menoreh hari ini?" aku bertanya pada emak yang tengah sibuk menghidang ubi kayu rebus dan sambal tumis.

"Tidak," jawab mak sepatah..

"Pokok getah basah. Macam mana mak nak menoreh," emak menambah.

"Hujan ke mak malam tadi?” aku bertanya balik.

"Hujan itu membawa rahmat," balasnya. "Kalau hujan tidak turun, bumi akan kering kontang. Tumbuh-tumbuhan akan mati" emak menambah.

"Tapi kalau hujan hari-hari macam ni kita susah kan mak?" aku bertanya.

"Takpa kita masih ada ubi kayu, kita masih ada sayur keliling rumah, kita makan la mana yang ada" jawab emak.

Emak begitu yakin kedatangan musim hujan bukan bermakna pintu rezekinya tertutup. Walaupun dia tidak boleh menoreh tapi dia masih boleh mencari rezeki dengan cara yang lain. Dia masih boleh mencari kopi, mencari pucuk paku, atau paling tidak mencari rebung untuk dibuat gulai. Dan kami anak-anaknya tidak pernah kebuluran, persekolahan tidak akan terbantut dan badan kami sihat walau pun hari-hari makan ubi kayu.

Itu cerita 40 tahun lepas. Kalau musim hujan ubi kayu la makan asasi kami. Sekarang ni nak makan ubi kayu pun dah susah. Kat kampong dah semakin kurang ubi kayu. Sekarang ni ubi kayu rebus dah masuk restoran besar-besar, agaknya dah jadi makanan orang-orang kaya.


Nota: Baru ni nelayan di Langkawi pun jamu PM dengan ubi rebus. Kabarnya PM makan sampai menjilat jari. Tak tau la mereka jamu PM ubi rebus tu simbolik atau memang itu makanan mereka.

Tuesday, March 09, 2010

Semut dan Gajah

Anda berkerja keras siang dan malam untuk mendapatkan apa yang anda inginkan, namun begitu apa yang anda inginkan semakin jauh. Anda berusaha untuk mencapai impian anda tapi hakikatnya impian itu semakin tidak kelihatan. Pernahkah anda merasa sedemikian? Kalau pernah anda sama seperti seekor semut yang duduk di atas seekor gajah. Semut berusaha sepenuhnya untuk berjalan menuju ke barat, namun begitu apabila gajah berjalan ke timur maka seperti la semut itu juga menghala ke timur. Untuk mencapai hasratnya semut harus memujuk gajah agar berjalan mengikut haluannya, ataupun kalau dah bersedia semut harus turun dari gajah dan berjalan sendiri menuju haluannya.Suka tenguk foto nukilan Teuku Jody Zulkarnaen ni

Monday, March 08, 2010

Pertandingan Bot Naga Putrajaya

Syabas JPK, walaupun pasukan baru ditubuhkan dan hanya berlatih seminggu tapi masih mampu mengalahkan 12 pasukan yang lain dan terpilih sebagai 6 pasukan terbaik bersaing di peringkat akhir. Laluan untuk sampai ke peringkat akhir memang begitu mencabar dan tidak dinafikan pasukan yang sampai peringkat akhir bukannya calang-calang, antaranya SMART dan Perbadanan Putrajaya (Johan tahun lepas). Walaupun tidak dinobatkan tiga pasukan terbaik tetapi berjaya menempatkan ke peringkat akhir pun sudah memadai kepada pasukan yang baru ditubuhkan dan kali pertama menyertai pertandingan. Kita akan buat persiapan rapi masa akan datang.Dua Pasukan Perahu Naga JPK

Saturday, March 06, 2010

Landak

Kau tau tak mana nak cari daging landak
Kau ni mimpi apa tiba-tiba nak makan daging landak
Ya la orang kata sedap, tapi aku tak pernah makan, tu yang aku teringin nak makan
Kalau kau nak makan daging landak tu kau pergi Sungai Panjang
Sebelah mana tu
Kau pergi hala Sungai Besar ikut Tanjung Karang, lepas Sg Dorani nanti jumpa la Sg Panjang. Kalau tak silap nama restoran tu Restoran Selera Rimba, kat situ bukan je landak tapi ada jugak ayam hutan, baung, rusa dan kijang
Bila kita nak pergi ni…..
Isk, isk…kalau aku pergi pun bini aku bukan nak makan…nanti la kita tenguk masa yang sesuai


Aku pun sebenarnya dah lama tak makan daging landak. Masa kecil dulu senang sangat nak tangkap landak ni. Untuk tangkap landak ni cuma perlu cari lorong dia berjalan, kemudian tahan perangkap. Umpan dia cuma kulit cempedak. Sekarang ni jangan harap, haiwan itu dah makin pupus. Haiwan ini dah termasuk dalam spesies haiwan buruan yang dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Daging landak ni sebenarnya lembut dan tidak mengandungi lemak, malah ianya tidak berserat. Bagi penggemar daging buruan, mereka sering mengatakan keenakan daging landak lebih lazat daripada daging kijang. Walaubagaimanapun dalam keluarga aku hanya arwah ayah dan aku saja yang boleh makan daging binatang buruan. Emak dan adik-adik memang takkan sentuh. Dulu masa kecik bila kami dapat tangkap landak ni sekor boleh di jual RM 20 hingga RM30 je. Sekarang ni di pasaran, daging landak boleh mencecah sehingga RM70 sekilo. Malah seekor landak hidup boleh dibeli dengan harga RM1,000 seekor.

Sebenarnya aku membesar dihujung kampong yang bersempadan dengan hutan. Keadaan itu menjadikan memburu merupakan sebahagian aktiviti arwah ayah. Aku pun seronok ikut dia. Masa aku umur 12 tahun arwah ayah dah ajar aku menembak, dia letak botol atas pagar dan suruh aku tembak. Katanya orang laki kena berani dan kena pandai memburu. Ayah buat pondok tinggi dalam kebun. Kami sering berjaga malam dalam pondok itu. Banyak babi kacau ubi kayu masa tu. Arwah ayah sayang sangat pokok tanamannya. Itulah sebahagian hasil untuk menyara kami. Secara tak langsung minat ayah memburu turun juga pada ku. Namun begitu selepas tingkatan 3 aku keluar dari kampong, aktiviti memburu begitu terbatas. Lepas keluar university aku ditugaskan di Penang, terus lenyap aktiviti memburu. Sesekali bila bercuti aku ikut arwah ayah cari ayam hutan. Aku bawak motor dalam kebun kelapa sawit, ayah duduk belakang sambil mata melilau melihat kelibat ayam. Kadang-kadang arwah ayah bawak motor, aku pulak duduk belakang pikul senapang. Ini semua cerita 30 tahun lepas, sekarang semua tinggal kenangan. Walau bagaimanapun aku yakin aku masih mampu membidik tepat macam arwah ayah.

Friday, March 05, 2010

Latihan Terakhir

Berikut beberapa gelagat peserta semasa latihan akhir Pertandingan Perahu Panjang Putrajaya (Foto: Uyie)
Jurulatih pening tepuk dahi, boleh menang ke macam ni......

Wednesday, March 03, 2010

Nostalgia Signboard TIKL


Aku baru terima gambar masa muda-muda dari sorang rakan yang di post melalui fesbuk. Terlalu nostalgia sangat gambar ni. Gambar zaman 30 tahun lepas. Masa ni kami freshie kat kat sekolah, selalulah kena buli. Masa ni kami kena buat sighboard sekolah, pikul 3 tiga kilometer dari sekolah sampai jalan luar dan dirikan di situ. Punyalah bangga masa tu dapat dirikan signboard sekolah. Tapi sayang signboard tu sekarang ni dah tak ada di tempat asal, kalau masih ada agaknya boleh hantar kat muzium. Sebelah tu signboard SMS Selangor, musuh kami masa tu. Selalu bergaduh dengan sekolah tu, mereka kat SMS tu semua baik-baik. Kami bukannya tak baik cuma sikit je nakal. Di sekolah kami penuh dengan besi dan kayu, itu yang susah. Sekarang ni anak aku pulak belajar kat SMS tu.

Setakat yang aku ingat nama-nama yang ada dalam gambar tu - sukri, sharudin, aban, khairul syam, zainal, riduan, khairul salleh, rano, md nor,ismail, hamid, boeng, komori, rosli, wak, monalito, malek, kamaruddin.... yang lain-lain tak ingat dan kalau jumpa sekarang ni pun comfirm tak kenal. Ada sapa-sapa boleh teka ke yang mana KAMATO?

Sunday, February 28, 2010

Tasik Permaisuri

Sudah menjadi lumrah, setiap kali menghantar Zahir balik asrama kami akan singgah di Taman Tasik Permaisuri. Biasanya kami singgah untuk menikmati keropok leko dan air kelapa seorang kakak yang menjaja di situ, memang sedap keropoknya. Setiap petang memang ramai keluarga bersantai di situ. Terdapat taman permainan yang cukup besar di situ menjadikan ianya satu tarikan keluarga untuk berehat.

30 tahun dulu kawasan ini belukar. Masa tu Bandar Tun Razak masih belum ada lagi, nama asalnya adalah Kampung Konggo. Tasik ini dah ada di situ, dikelilingi oleh semak samun dan belukar. Semasa kami kat asrama dulu, kami cukup seronok bila bekalan air terputus. Kebetulan pulak selalu kawasan tu tak ada air. Kalau tak ada air bermakna kami mempunyai lesen besar untuk mandi di tasik ini. Bagi kami yang datang dari kampong, berendam dalam tasik ni merupakan satu keseronokan. Biasanya kami akan menjinjing balik baldi berisi air, dan yang pastinya muka-muka macam minta sedekah terutama pelajar wanita akan menunggu air yang kami bawa. Masa tu muka-muka yang suka berendam air tasik tu la jadi raja. Ada yang sengaja tumpahkan air daripada bagi mereka-mereka yang menunggu.

Pernah kami ambik buah cempedak di kawasan tu masa tu. Kami anggap pokok tu tak bertuan sebab duduk dalam kawasan belukar. Tapi sampai kesudah buah tu tak mau masak. Semua tu tinggal kenangan, kawasan ni dah menjadi kawasan rekreasi dan antara tasik tercantik di Kuala Lumpur ini.

Saturday, February 27, 2010

Ibarat Sungai



Hidup ini ibarat sungai
akan sentiasa mengalir
penuh berliku.
Dunia ini
yang dusta sering menjadi benar
dan sering dipertahankan.
Kenyataan hanyalah
suatu imbasan dari impian
di dalam cermin hati dan naluri
Sesungguhnya,
kehidupan ini akan tamat jua
tetapi yang tinggal
ialah kepercayaan dan kejujuran
pada hati sebening air
yang mengalir di sungai yang tenang.

Rumah YS,KL

Maulidur Rasul

Sama-sama la kita menghidupkan sunnah baginda serta melaksanakan segala suruhan yang ditetapkan di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Sungguh mulianya pekertimu
Sinar bercahaya di wajahmu
Kaulah Nabi kekasih Allah
Kau jadi insan pilihan

Demi umat rela berkorban
Jiwa dan raga kau taruhkan
Demi Tuhan kau tempuhi
Dugaan dan cabaran

Ya Rasulullah

Tika mula kau menerima wahyu
Hatimu resah tiada menentu
Khadijah mengukir kata-kata
Bahwa kau Rasul buat seluruh umat
(Bahwa kau Nabi buat seluruh umat)

Bila kau hampir memejamkan mata
Lidahmu basah menyebut ummati
Kasih sayangmu tak bisa digambar
Hanya selawat pengikat kasih

Lirik : Putra Aiman

Friday, February 26, 2010

Salam Maulidur Rasul


Dalam kita menyambut sambutan Maulidur Rasul kita perlu mengenal salasilah baginda.

BIODATA RASULULLAH SAW
Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).
Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN
Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat
untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN

Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN

Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab' Sirah' , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk member pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN

Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.
Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.
Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar
Al-Siddiq.
Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN

Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12
Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
Khadijah Binti Khuwailid.
Saudah Binti Zam'ah.
Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
Zainab Binti Jahsy.
Maimunah Binti Harith.
Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

Qasim
Abdullah
Ibrahim
Zainab
Ruqaiyah
Ummi Kalthum
Fatimah Al-Zahra '

ANAK TIRI RASULULLAH SAW
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

Nabi Muhammad SAW - Manusia agong

KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH.

Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua luka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:
- Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw..
- Aku melihat cahaya dari lidahnya.
- Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
- Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
- Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
- Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
- Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
- Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
- Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat..
- Wajahnya seperti bulan purnama.
- Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
- Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
- Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
- Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
- Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
- Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
- Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
- Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
- Janggutnya penuh dan tebal menawan.
- Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca
- Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
- Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
- Rambutnya sedikit ikal.
- Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
- Rambutnya terbelah di tengah.
- Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
- Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
- Seimbang antara kedua bahunya.
- Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.
- Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
- Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
- Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
- Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
- Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
- Warna putihnya lebih banyak.
- Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
- Warna kulitnya putih tapi sihat.
- Kulitnya putih lagi bercahaya.
- Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
- Badannya tidak gemuk.
- Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.
- Perutnya tidak buncit.
- Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan org ramai baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.

KESIMPULANNYA :
Nabi Muhammad sa.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman. Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia.

Wednesday, February 24, 2010

Bot Naga JPK

Satu, Dua, Tiga, Empat …….
Satu, Dua, Tiga, Empat …….
Satu, Dua, Tiga, Empat …….
Satu, Dua, Tiga, Empat …….
Sama-sama menjerit sambil berkayuh…

Hampir setiap petang kami berlatih mendayung bot panjang di Pusat Maritime Putrajaya (Pullman). Susah juga rupanya ramai-ramai kayuh bot panjang ni. Setiap pergerakan perlu bersatu. Setakat ni nampak gaya skill dah ada cuma stamina masih tak cukup. Sampai satu tahap semua lidah terjelir, tercungap-cungap. Walaubagaimanapun syabas JPK kerana mampu menyediakan dua pasukan untuk menyertai perlumbaan sempena Hari Wilayah Persekutuan yang akan diadakan pada 6 dan 7 Mac ini.

foto: Uyie