Thursday, June 04, 2009

C3030

Mengambil gambar merupakan sebahagian minat aku sejak muda remaja. Maka itula agaknya aku memiliki beberapa siri kamera zaman dulu-dulu yang mana sebahagian masih boleh digunakan. Masa tu kalau dapat menghasilkan gambar yang berkualiti, rasa cukup puas. Masa tu semua pakai roll filem, kalau betul setting kamera mesti hasilnya cantik. Walau bagaimanapun kini minat itu dah tak sehebat dulu.

Aku telah menggunakan C3030 ni sejak 10 tahun yang lalu. Ini lah pertama kali percubaan aku menggunakan digital. Ini pun disebabkan zaman dah berubah sehinggalah sampai satu tahap segan nak print gambar guna filem, maka bermulalah penggunaan digital ini. Kapasiti gambar pada kamera ini hanyalah 3.3 megapic tetapi pada masa itu ianya cukup tinggi. Malah kualiti gambar kamera ini boleh setanding dengan SLR. Kamera ini lah peneman aku apabila traveling ke mana-mana. Walaupun aku ada simpanan Digital SLR Cannon dan Sony Alpha, tapi agak sukar mengusung kamera yang besar-besar begitu. Aku cukup-cukp sayang kamera A3030 ini, tapi perkhidmatannya dah hampir tamat. Kerosakan nya amat sedikit, lens kamera sebelah dalam tertanggal. Dah banyak kedai aku hantar untuk service tapi tak ada yang sanggup. Mereka kata perlu hantar ke agent di Damanasara, tak tau la bila boleh pergi.

Satu masa dulu aku cukup minat ambik gambar pantulan objek di air. Berikut antara memori yang pernah dirakam kan oleh C3030 ni.

Sungai ini merupakan laluan kapal-kapal, untuk mendapatkan permukaan air yang tenang amat jarang sekali. Untuk mendapatkan suasana pancaran matahari senja dan air yang tengang begini agak sukar.

Ketenangan permukaan air di tasik dalam komplek yang membuat kereta jenama Volk Wagen ni hampir perfect sehinggakan antara objek sebenar dan bayangan dipermukaan air hampir sama.

Aku menghabiskan masa agak lama di tepi pelabuhan ini dengan saudara Nawi untuk mendapatkan pemandangan pantulan, tapi tak Berjaya. Air di Darling harbor tu tak pernah tenang.

Sebahagian besar struktur kota lama yang berusia beratus tahun di utara German ini di bina di dalam tasik. Ketenangan air dapat menghasilkan pantulan objek yang juga agak memuaskan, cuma di tasik ini kadang-kadang agak sukar untuk mendapatkan air yang betul-betul tenang kerana tiupan angin.

Mengunjungi tasik di tengah bandar Tokyo ini semata-mata untuk mendapatkan pantulan objek, tapi air di situ tak tenang. Mungkin masa yang tak sesuai, walaubagaimana pun objek lain yang ada...

Tasik di Flinsberg ni cukup luas, dan ketenangan permukaan tasik ini memang boleh memantulkan pandangan objek yang cukup menawan.

Pernah duduk tepi tasik untuk dapatkan pantulan Sakura ni, tapi gagal kerana ketenangan permukaan air sering diganggu swan yang ada di kawasan itu.

Jam 7.00 pagi di Hanoi, objek ini di rakam bukan menggunakan C3030, tapi guna kamera lain - tak puas hati langsung.

Tuesday, May 26, 2009

Pemilik KZie Salun

Aku berkesempatan untuk memberi ceramah dalam satu kursus yang di anjurkan oleh I-Smart Educare di ibu kota baru-baru ini. Dalam banyak-banyak peserta kursus yang hadir, seorang darinya agak terserlah. Pertamanya kerana beliau agak berumur jika dibandingkan dengan peserta yang lain. Keduanya beliau sentiasa aktif bertanya dan memberi pendapat sepanjang kursus. Semasa rehat aku cuba mendekati untuk mengenali lebih lanjut. Beliau merupakan pemilik dua salun kecantikan yang terkemuka di ibu kota. Malah beliau memiliki pusat latihan dalam bidang kecantikan bagi melatih belia-belia yang berminat.

Bila beliau mengatakan umurnya telah pun mencapai 63 tahun, aku agak terkejut kerana dari raut wajahnya seolah-olah beliau dalam lingkungan lewat 40an. Aku tanya apa rahsia awet muda. Katanya tak ada sebarang rahsia, cuma katanya kita perlu sentiasa ceria, senyum selalu. Dia menceritakan bagimana dia mula menceburi diri dalam bidang dandanan bermula dari rumah sehinggalah berjaya ketahap sekarang. Rupanya beliau bukan calang-calang, suaminya adalah bekas pegawai di Petronas dan beliau merupakan kerabat diraja Perak. Aku cuba berseloroh, “Kebiasaanya wanita seusia hajah ni cuma duduk di rumah bermain dengan cucu”. Katanya dia macam wanita yang lain bermain dengan cucu, malah anaknya juga mengikut jejak beliau. Kebetulan masa itu anaknya juga turut menjadi peserta kursus. Katanya selagi beliau mampu, beliau akan menurunkan ilmu kepada yang berminat.

Sebenarnya secara peribadi aku kagum dengan semangat wanita ini, walaupun telah berusia lebih dari 60 tahun tapi masih berusaha untuk mengembangkan sayap perniagaannya dan bersemangat untuk menurunkan ilmu kepada yang berminat.

Saturday, May 23, 2009

Cendol Pulut

Hampir seminggu berkampung di Pulau Langkawi bersama beberapa orang teman. Setiap hari dari pagi sampai ke malam bergeluamang dengan prosudur dan peraturan kewangan. Terima kasih saudara Mazlan kerana memberi tazkirah setiap subuh.

Boleh dikatakan setiap kali mengujungi pulau ini, aku akan singgah di stall cendol di luar airport Langkawi ni sebaik sahaja mendarat. Malah akan singgah di sini juga sebelum berlepas. Kakak yang berniaga cendol ni telah bertahun berniaga di situ. Walaupun jauh dari kawasan perumahan, tapi pelanggan tetap ramai. Siapa yang pernah merasa cendol pulut dan laksa power kakak ni, pasti akan cari balik sebaik mengunjungi pulau ini.

Sunday, May 17, 2009

Mamak

Aku menghadiri satu bengkel yang memaksa untuk bermalam 2 malam di salah satu hotel di tengah Bandar Melaka. Setiap malam selepas jam 11 malam, apabila kerja dah selesai aku bersama beberapa rakan akan bersantai pekena teh tarik di kedai mamak tak jauh dari hotel. Malam kedua kami berenam di kedai tersebut. Kami memilih untuk duduk di kawasan tak berbumbung. Berbagai topik di bincangkan Tapi topi paling menyeronokan pasal mamak. Kawan aku kata kalau masuk kedai mamak di Cyberjaya jangan mintak yang pelik-pelik. Sehinggakan mintak pinggan kosong pun pekerja tu tak tau nak bagi, sebab dalam menu yang tauke dia ajar tak ada menu pinggan kosong.

Nak dijadikan cerita malam tu tengah kami minum tetiba ada burung melepas dan jatuh atas meja (ada juga burung tak tidur malam). Kami panggil pekerja dan mintak lap meja. Selepas 5 minit tak datang jugak. Selepas tu kami panggil sekali lagi pekerja restaurant tu dan mintak lap meja tu. Hasilnya sama juga, tak jugak dibuatnya. Akhirnya kami panggil bos dia, barulah menggagau bos dia lap dan ganti air lain. Kesimpulannya mungkin pekerja mamak tu ingat lap meja tu sebagai menu untuk dipesan atau pun tauke dia ajarlap meja dengan istilah lain.

Wednesday, May 13, 2009

Cerita wali

Solan yang sering di kemukakan apabila kita kembali dari tanah suci adalah; Apakah benda-benda pelik yang dijumpa di sana? Cerita-cerita mengenai pengalaman di Mekah dan Madinah memang banyak, malah kita boleh dapat banyak buku-buku ynag menceritakan peristiwa-peristiwa tanah suci ini. Dan kadang-kadang cerita-cerita ini seakan-akan sama. Sebenarnya apabila kita berada di tanah haram, segalanya berbeza dengan tanah halal. Di tanah haram baru sahaja niat tak baik pembalasan akan datang segera. Begitu juga sebaliknya andai kata kita memohon perkara yang baik dengan iklas, insyaallah kita akan dapat. Oleh itu ianya akan menjadikan kita sentiasa ingat akan setiap perbuatan kita dan juga akan kebesaran Nya. Maka tidak hairan la andaikata kita merasa perkara-perkara yang agak ganjil. Semua kejadian adalah untuk pengajaran dan untuk mengingatkan akan kebesaran Nya. Ramai yang mengatakan di tanah suci semuanya di bayar cash, mungkin ada kebetulannya. Sebagai contoh, mem hanya menyebut “selipar ni kita tinggal ja di sini, tak payahlah bawak balik Malaysia”. Ungkapan itu di keluarkan sebelum melangkah ke masjid. Ternyata apabila keluar dari masjid selipar tu hilang, sedangkan ianya diletak di dalam karung yang agak ganjil dan di tempatkan di rak kasut yang ditetapkan. Dari segi logic nya tak mungkin orang tersilap ambil sebab karung kasut tu di bawak dari Malaysia dan tidak menyerupai dengan yang lain. Tapi kesemua perkara ada hikmahnya.

Saya bersetuju dengan kenyataan Prof Kamil berkenaan sesiapa pun boleh jadi wali di tanah suci. Di Tanah suci semua orang ingin melakukan kebaikan. Sebagai contoh kita sedang duduk dalam saf menunggu untuk waktu solat, tiba-tiba kita rasa dahaga tapi sayang untuk bangun untuk meninggalkan saf. Tetapi tiba-tiba datang seorang hamba Allah menghulurkan kita segelas air zam-zam. Mungkin kita akan segera menganggap hamba Allah itu wali atau malaikat. Mungkin juga hamba Allah tu manusia biasa yang nampak kita keletihan lalu menghulur segelas air, atau memang betul wali, Allahualam.Sebagai contoh lagi kita berada hampir dengan Hijir Ismail, tetiba kita ternampak seorang tua berbongkok berdiri memegang tembok dengan pandangan sayu ke arah Hijir Ismail. Mungkin dia berniat untuk masuk tapi dengan keadaan jemaah-jemaah yang berebut begitu mungkin dia tak mampu untuk masuk. Dengan niat ikhlas sambil memohon kepada Allah kita pimpin tangan orang tua itu untuk masuk Hijir, dan dengan pertolongan Nya laluan dipermudahkan malah tetiba ada ruang kosong disediakan untuk orang tua itu solat sunat. Agaknya apabila dia balik ke kampong halamannya, orang tua itu akan kata ada wali bantu dia untuk masuk ke dalam Hijir Ismail.

Semuanya bergantung atas niat kita, kalau niat kita ikhlas untuk membantu orang lain, kita akan diketemukan perkara-perkara yang mendorong untuk kita membantu. Misalnya ramai jemaah cuba untuk solat sunat sehampir mungkin dengan Kaabah terutama di kawasan multazam, kadang-kadang mereka ini solat di celah-celah orang bertawaf. Adalah baik nya jika kita boleh membantu dengan membenteng untuk mengawal jemaah yang sedang bersolat ini dari di rempuh jemaah yang sedang bertawaf. Dan sudah tentu peristiwa sebegini akan menjadi ingatan kepadanya kerana dia di kawal oleh seseorang semasa bersolat dan sebaik selesai solat orang itu pun berlalu. Ini lah maksud kita pun boleh dianggap wali bila di tanah suci. Apapun segala tindakan kita untuk kebaikan adalah atas kehendakNya dan dalam masa yang sama mungkin ada yang memohon perlindungan dan bantuan dari Nya. Sebab itu kita sering mendengar cerita-cerita dari Mekah yang mengatakan mereka di bantu oleh seseorang dan kemudian orang itu menghilang. Mungkin betul yang membantu itu wali, atau mungkin hanyala manusia biasa yang di beri petunjuk untuk membantu, Allahualam.

Friday, May 08, 2009

Keistimewaan Kaabah

Berikut beberapa fakta yang sempat saya catat dari ceramah yang isampaikan oleh Ustaz Riduan di Kota Mekah;

Kehebatan Kaabah itu sendiri boleh memberi ketenangan kepada sesiapa yang memandangnya. Dengan merenungnya kita akan lupa segala urusan dunia. Pandangan seseorang akan berbeza apabila melihat kaabah di siang hari dan di malam hari. Pada siang hari Kaabah akan nampak kecil dan rendah tapi pada malam hari ia seolah besar dan tinggi. Untaz Riduan kata itulah kuasa Tuhan. Burung-burung tidak akan terbang di atas Kaabah, kalau ada burung terbang di atasnya bermakna burung itu sakit dan sedang berubat. Burung pun tahu kehebatan Kaabah itu. Kaabah inilah tempat turunnya rahmat di mana 20 bahagian rahmat itu terletak pada sesiapa yang memandang Kaabah, 40 bahagian rahmat yang bersolat di Haram, manakala 60 bahagian rahmat kepada yang bertawaf mengelilingi Kaabah. Satu perkara yang menajubkan, lantai diseluruh dataran Kaabah iaitu tempat bertawaf sentiasa sejuk walaupun pada panas terik.

Tempat-tempat mustajab untuk berdoa
1. Hajar Aswat
2. Multazam (Minta kelepasan dari neraka) - tgh malam sampai subuh, tempat selalu dilalui rasul,
3. Pintu kaabah waktu selepas asar,
4. Tempat Jibrail mengimami Nabi pertama sembahyang batu2 berwarna cokelat
5. Tempat asal makam Ibrahim seramik cokelat bertulis
6. Pancur rahmat di hijir ismail minta dikurnia kekayaan waktu lepas asar sampai magrib
7. Pintu tertutup bila-bila masa, tempat doa orang yang dizalimi (2 meter sebelum rukun yamani).
8. Multazam wanita, minta ampun
9. Makam Ibrahim waktu azan subuh hingga Iqamat (minta bahagia keluarga, rukun, damai, sabar dan rido
10. Telaga zam-zam waktu azan magrib hingga iqamat (minta cahaya ilmu, makrifah)
11. Pintu Bani Saibah (tempat masuk nabi, minta diberikan amanah

Kedudukan tempat-tempat mustajab untuk berdoa

Semoga dapat kembali ke sini semula.....

Sesungguhnya catatan ini hanyalah untuk rujukan peribadi.......

Wednesday, May 06, 2009

Mohamad Fatami

Hari kedua di Mekah selepas Isyak kami menerima jemputan Hj Mohamad Fatami untuk makan malam dirumahnya. Beliau mengambil kami di hotel tempat kami menginap. Rumah mereka hanya 3 km dari Masjidil Haram. Ibunya Umi berasal dari Patani Thailand, dan telah berhijrah ke Mekah 37 tahun yang lepas. Kesemua 10 orang adik beradik Mohamad lahir di Mekah. Yang bagusnya mereka masih diajar untuk menguasai bahasa Melayu. Seperti yang dicerita sebelum ini, Mohamad ini merupakan hafiz alquran di masjidilharam. Beliau belajar di haram sejak umur 8 tahun lagi dan telah dikurniakan penghormatan 3 kali memasuki Kaabah. Sekarang menjalankan perniagaan yang juga ada hubung kait dengan negara kita.

Umi masak malam tu cukup istimewa, nasi mandi Arab dengan kibas. Makanan yang disediakan macam untuk 10 orang, sedangkan kami datang berdua. Sungguh baik sekali keluarga mereka ini. Mohamad kata ibunya cukup berbangga jika ada tetamu yang datang ke rumah mereka terutama yang datang dari negara kita. Dua hari sebelum kami balik sekali lagi keluarga ini menjemput kami makan malam di rumah mereka. Kali ini Umi masak sup tulang dan daging goreng, memang mengancam. Bukan kami berdua saja yang dijemput, tapi juga Ustaz Munif Ahmad penyanyi utama kumpulan Hijjaz. Alhamdullilah aku diberikan secebis kelambu Kaabah oleh keluarga ini sebagai kenangan. Mohamad kata kelambu itu akan ditukar setiap tahun dan setiap tulisan Allah di kelambu itu boleh dijual dengan harga sehingga 4 ribu riyal. Pada hari terakhir sebelum kami meninggalkan Kota Mekah, sekali lagi keluarga ini mengnjungi kami di hotel untuk mengucap selamat jalan. Sesungguhnya kami terhutang budi dengan kebaikan keluarga ini.


Mohamad dan Munif (penyanyi hijjaz) semasa makan malam

bersambung.............

Monday, May 04, 2009

Mekah

Sekali lagi tulisan ini buat niat apa-apa hanya berkongsi pengalaman kepada rakan yang akan ke Tanah Suci.

Di Mekah kami menginap di Abeer Garden Hotel iaitu kira-kira 300 meter dari Masjidil Haram. Kota Mekah pada masa ini mengalami proses perubahan yang begitu mendadak. Bangunan-bangunan tinggi mencakar langit tumbuh bagaikan cendawan. Malah sebahagian Masjidil Haram juga sedang dalam proses penambahan ruang. Satu kawasan berbukit di sebelah Masjidil Haram yang dulu menempatkan kedai-kedai kini sedang dibangunkan kepada pusat membelibelah dan hotel-hotel mewah. Kalau dulu disini kita boleh jumpa makanan melayu, malah roti canai pun ada. Tapi sekarang semuanya telah di robohkan. Di hadapan pintu King Abdul Aziz naik menara hotel pencakar langit yang sedang rancak dalam pembinaan. Banyak hotel-hotel kecil dirobohkan dan digantikan hotel mewah. Satu langkah yang baik kalau ianya untuk menampung keperluan musim haji. Tapi persoalannya mampukan orang kebanyakan untuk menyewa hotel itu nanti bagi mengerjakan ibadat umrah dan haji.


Kerja-kerja meratakan bukit untuk tujuan pembinaan bangunan sedang giat dijalankan


Bangunan-bangunan hotel pencakar langit ini sedang dalam pembinaan hanya berdepan dengan pintu King Abdul Aziz

Hajar Aswat
Hajar aswat merupakan tempat tumpuan jemaah untuk cuba mengucupnya. Hajar aswat adalah batu yang diturunkan dari surga semasa zaman Nabi Ibrahim. Semasa diturunkan batu tersebut bersinar dan sinaran itulah yang membataskan tanah halal dan tanah haram. Oleh yang demikian sempadan tanah haram adalah ditentukan oleh Allah, bukannya manusia. Adalah disunatkan untuk kita mengucup hajaraswat kerana Rasulullah juga mengucup batu itu, diakhirat batu ini akan mencari sesiapa yang mengucupnya. Sejak Nabi Ibrahim lagi batu ini menjadi rebutan untuk dikucup sehinggalah sekarang. Sebab itulah batu itu bertukar dari kilau menjadi hitam disebabkan pengampunan dosa-dosa manusia yang mengucupnya. Kalau dilihat cara mereka berebut untuk mengucup hajar aswat ini, memang dengan sendirinya boleh melunturkan semangat kita untuk cuba mengucupnya. Ustaz kata pun jangan paksa kalau tak boleh, cukup sekadar melambai dari jauh. Walau bagaimanapun itu azam aku untuk cuba mengucupnya. Hari pertama aku di Mekah aku mendekatinya menjelang waktu asar seperti yang disarankan oleh seorang rakan, aku cuba memasiku barisan tapi tak sampai hajat. Mungkin disebabkan aku sampai agak sedikit lewat, walau bagaimanapun masih berkesempatan solat di belakang imam di multazam. Hari berikutnya ketika jam 3.00 pagi aku mencuba nasib. Kali ini aku bermula di rukun yamani. Aku rapatkan badan pada Kaabah dan bergerak ke depan dengan memegang tali kelambu Kaabah. Pergerakan ku secara tak langsung ditolak dengan sendirinya dari belakang. Aku hanya mengikut harus sambil berzikir, tidak 10 minit aku dah berada tidak sampai 2 kaki dari hajar aswat. Masa ini cubaan cukup hebat, himpitan depan dan belakang cukup hebat. Sebenarnya sejak 3 hari sebelum itu aku mengalami sakit belakang disebabkan silap mengangkat kurma semasa melawat ladang kurma. Biasanya hanya Tuan Hj Ghalip sahaja yang boleh mengurut sakit belakang aku ni, tukang urut lain setakat ini masih tak serasi. Semasa berhimpit itu aku berdoa agar himpitan ini akan mengurangkan sakit belakang aku. Lebih kurang 1 minit lamanya tangan aku hanya boleh mencapai hajar aswat, tapi tak boleh mengucupnya. Aku hanya diam dan mengharap mereka-mereka menolak ku kedepan. Mulut tak berhenti menyebut Allah. Tiba-tiba saja muka ku berada dalam mangkuk hajar aswat. Alhamdullilah walau hanya sedetik aku dapat juga mengucupnya. Keesokannya dengan kuasa Tuhan, sakit belakangku pulih sepenuhnya, walaupun tak tahu sebenarnya ianya baik sebab himpitan ataupun sapuan minyak oleh mem. Tapi apapun ianya kehendak Allah. Keesokan harinya aku sengaja solat asar di bahagian atas, tujuan adalah untuk mengetahui masa paling sesuai untuk berbaris mengucup hajaraswat. Sebenarnya setiap waktu asar imam akan berada di makan Nabi Ibrahim, oleh itu pegawai yang bertugas akan meleraikan perempuh-perempuh untuk mengucup. Yang tinggal hanyalah kepada yang berbaris. Seperti yang dirancang keesokan harinya 45 minit sebelum masuk waktu asar aku dah sampai di dataran Kaabah. Aku terus mencari barisan, masa tu kedudukan ku dalam barisan yang telah melengkung kira-kira 60 kaki dari hajaraswat. Pegawai bertugas masih belum meleraikan perempuh-perempuh tersebut. Kira-kira 10 minit sebelum azan, petugas mula meleraikan perempuh dan-menghalau keluar dari kawasan itu. Selepas itu hanya yang beratur dapat mengucup. Alhamdullilah kali ini aku dapat mengucup sepuashati dan terus masuk ke saf tak jauh dari imam. Hari berikutnya aku menggunakan kaedah yang sama, dan aku berjaya lagi dan begitulah seterusnya. Oleh itu kepada sesiapa yang akan ke sini dan berajat untuk mengucup hajar aswat gunakanlah kaedah ini. Insyaallahakan berjaya, tapi apa pun bergantung kepada keizinan Nya. Malah apabila berjaya menyucup nya, kemungkinan kita bersolat asar berdekatan Kaabah adalah cukup besar. Ini memudahkan kita terus ke Hijir Ismail sesudah solat asar. Pada masa ini Hijir Ismail masih ditutup, ianya dibuka sebaik sahaja solat jenazah bermua. Oleh itu apabila kita sudah berda di depan hijir, sebaik sahaja habis solat jenazah kita akan berada di Hijir Ismail. Sesungguhnya solat 2 rakaat di Hijir Ismail adalah sama seperti solat di dalam Kaabah.


Beginilah keadaan manusia di setiap lorong apabila selesai solat 5 waktu


bersambung........

Thursday, April 30, 2009

Madinah

Memandangkan ramai yang email meminta untuk aku mencoretkan cerita-cerita di Tanah Suci, maka akan aku cuba setakat yang mampu. Bukannya tulisan ini untuk berbangga, jauh sekali menunjuk-nunjuk tetapi hanyalah sekadar coretan yang mungkin boleh di gunakan oleh rakan-rakan yang akan berkunjung ke sana. Walau bagaimana pengalaman di Tanah Suci adalah terlalu peribadi. Ada sebahagian kisah boleh diceritakan dan ada sebahagian tetap menjadi rahsia peribadi.

Tanggal 16 April, aku terdorong sekali lagi untuk berangkat ke tanah suci. dengan menggunakan penerbangan Saudi Air yang bertolak jam 3.00 petang. Begitu ramai sekali jemaah di airport pada petang itu. Masing-masing datang dari berbagai agensi. Beg-beg sandang yang mereka bawa menandakan mereka datang dari berbagai agensi. Aku dan isteri menggunakan khidmat agensi di bawah pengurusan Dato Daud Che Ngah. Sebelum berangkat urusetia agensi telah meminta membawa dokumen rooming untuk semua ahli rombongan. Kenapa aku yang dipilih pun tak tau. Masa ni kami pun tak mengenali lagi semua ahli rombongan.

Sebenarnya perasaan begitu berbeza semasa dalam penerbangan, berbanding penerbangan ke negara-negara lain. Mungkin suasana penumpang memainkan peranan. Hampir keseluruhan penumpang pesawat itu dengn niat yang satu, menjadi tetamu Allah. Walaupun ini bukan kali pertama aku ke Tanah Suci, tapi perasaan tak sabar untuk ke sana begitu meluap. Mungkin perasaan begini turut dirasai oleh semua jemaah.

Di Imigresen Jedah
Sabar, sabar, sabar, itu lah ungkapan yang mampu terkeluar dengan kerenah imigresen di Jedah. Purata untuk mengesahkan dokumen perjalanan adalah 5 minit untuk seorang. Hampir 2 jam setengah tersadai di emigresen Jedah. Kebetulan pulak Hj Mohamad Fatami menunggu aku kat luar. Beliau merupakan anak tempatan, hafiz di Masjidilharam dan telah 3 kali dianugerahkan memasuki Kaabah. Sebenarnya aku membawa pesanan seseorang untuk disampaikan kepada Hj Mohamad ni. Nilainya juga agak besar, lega bila dapat sampaikan.

Perjalanan dari Jedah ke kota Madinah menggunakan bas sejauh 400 km. Berhenti di tengah perjalanan bagi solat dan makan malam. Makan di restaurant Yamman. Hidangannya cukup ringkas tapi sedap. Nasi mandi dalam talam kecil, lauk 3 ekor ikan goreng, tomato dan cili. Set ni dimakan untuk 5 orang. Tak habis pun, kalau Pak Arab agaknya 3 orang pun tak cukup. Hampir waktu subuh baru kami memasuki kota Madinah. Hari pertama di kota ini tumpuan aktiviti hanya di Masjid Nabawi, ziarah makam Rasul dan para sahabat. Alhamdullilah dipermudahkan beberapa kali solat di Raudah. Sukar digambarkan melalui perkataan bila dapat bertasjud dan bertasbih di dalam masjid asal Rasulullah. Banyak boleh diceritakan tentang Masjid Agung ini, insyaallah lain kali.

Masjid Nabawi

Antara tempat-tempat yang dilawati di Kota Madinah adalah seperti berikut;

Masjid kubah - masjid pertama dibina oleh rasulullah di Madinah Munawwarah. Ketika Nabi s.a.w. dalam perjalanan hijrahnya dari Mekah ke madinah, beliau berhenti di rumah Kaltsum ibn al Hidam iaitu dari Bani Amru ibn Auf. Nabi saw mengikat untanya di sini dan mula membangunkan masjid ini bersama para sahabat. Nabi juga bersabda sesiapa yang sembahyang 2 rekaat di masjid ini pahalanya sama dengan pahala umrah. Banyak kisah sahabat di masjid ini termasuklah cerita Abu Lubabah yang mengkianati Rasul dalam membuat perjanjian dengan Yahudi di Bani Quraidhah, dan apabila beliau sedar beliau telah tersedar telah bersumpah tidak akan melakukan apa-apa sehingga ajal atau Allah menerima taubatnya. aBeliau telah mengikat dirinya di tiang masjid ini semala 9 hari sehingga beliau pengsan.

Masjid Qiblatain - masjid yang mempunyai dua kiblat, disinilah Rasullulah mendapat wahyu kiblat ditukar ke arah masjidilharam semasa sedang mengimamkan solat Zohor. Perintah tukar arah kiblat ini disebut dalam surah Al-Bakarah ayat 144. Ianya terletak di di lembah Aqiq di Jln Khalid ibn Walid.

Mujamma’ Malik Fahd (Percetakan Mushaf al-Quran) – Mujamma ini di bawah pengurusan Kementerian Urusan Islam, wakaf dan Dakwah. Setiap tahun hasil terbitannya mencapai 10 juta naskah. Akan di edarkan samada dalam atau luar negeri sebagai hadiah dari Raja Fahd. Setiap pelawat yang melawat tempat ini akan dihadiahkan senaskah Al-Quran. Walaubagaimanapun wanita tidak dibenarkan melawat tempat ini. Hanya Al-Quran dari tempat ini sahaja yang boleh di bawa masuk ke Masjid Nabawi dan Masjidilharam.

Perigi Salman al farisi, bersebelahan perigi ini terdapat bekas ladang kurma dimana disinilah kali pertama kurma di tanam di mana sebanyak 360 batang telah di tanam di sini termasuklah yang ditanam oleh Syadina abu Bakar.

Masjid 7 atau masjid al-fath. Nama al-Fath di gunakan untuk rangkaian masjid-masjid di Gunung Sai iaitu masjid al-Fath, Masjid Salman al-Farisi, Masjid Ali, Masjid Umar, Masjid Saad dan Masjid Abu Bakar. Tahun 1424H, sekitar kawasan ini dibangunkan masjid besar iaitu masjid Khahdaq yang merangkumi beberapa bahagian Masjid al-Fath.

Wadi mubaroq - air tak pernah kering sepanjang tahun - tempat pertemuan rasul dengan sahabat selepas perang tabuk.

Masjid al-Fash, Disinilah terjadinya dimana tikar masjid yang dibuat dari daun kurma telah dibakar dan disapu pada badan Rasulullah bagi mengubati luka. Ianya terletak hampir dengan Jabal Uhud. Bangunan asalnya telah dihancurkan dan hanya tinggal beberapa bahagian dari dinding bahagian timur, barat dan selatan sahaja. Mihrad mujawwaf masjid ini masih kelihatan. Dari masjid ini akan Nampak gua Uhud iaitu tempat persembunyian Rasullah. Syadina Ali yang bertanggung jawab membawa Rasulullah ke gua ini. Di situ masih terdapat tempat duduk Rasulullah, Ali, Abu Bakar dan Omar

Kesan Masjid al-Fash


Di sinilah Rasullulah sujud sukur, yang peliknya kawasan ni begitu harum. Bila ditanya pada ustaz Anuar kenapa wangi, dia cuma senyum.


Kesan Tapak Kaki Rasullullah


.......bersambung

Medan Magnet

Kami berpeluang melawat kawasan yang dikenali sebagai Medan magnet. Ianya terletak di luar tanah haram Madinah danmerupakan satu penemuan baru. Tiada seorang pengguni pun di kawasan ini. Cerita mengenai medan mangnet ini tidak tercatat dalam mana-mana cerita sahabat masa dulu, yang mengkagumkan magnet ini juga boleh menarik air, andaikata dituang air ke satu cerun, air itu akan mengalir menaiki cerun disebabkan tarikan magnet tersebut. Tetapi perkara tersebut tidak akan terjadi ke atas air zam-zam.

Semasa dalam pergi sebaik melalui kawasan cerun di dalam kawasan magnet tersebut van yg kami naiki behenti, free gear - van undur sendiri walau undur menaiki cerun. Bukan semua kenderaan sanggup untuk ketempat itu. Semasa dalam perjalanan pergi juga kenderaan terpaksa melawan arus tarikan magnet, walaupun padal minyak ditekan rapat kenderaan tidak akan pergi laju.

Sejarah nya tahun 80an seorang bangsa Yaman telah melalui kawasan ini, tiba-tiba keretanya rosak, apabila dia keluar dan menutup pintu keretanya jalan sendiri, sejak itu kawasan ini di jadikan kawasan tarikan pelancung.

Semasa dalam perjalanan balik, dengan menjadikan free gear, van yang kami naiki bergerak sendiri dengan kelajuan 120 km/j dan driver terpaksa mengawal brek. Jarak perjalanan yang melalui medan magnet itu adalah sekitar 6 km, Begitu besar sekali kejadian Tuhan. Setakat ini belum ada sebarang kajian ilmiah berkenaan kejadian ini. Kadang-kadang sukar untuk mempercayai tapi itu kejadian sebenar yang kami rasai.



Van yang kami naiki mengalami over heated dan terpaksa berhenti di tepi jalan


Meter van ini menunjukan kelajuan dalam keadaan free gear

Thursday, April 16, 2009

Riyal

Hampir kesemua money changer di Kajang kami singgahi, tapi mereka hanya note 500 Riyal. Kami mencari note yang kecil, agak sukar untuk berbelanja menggunakan note 500. Kami mencuba nasib di Bangi. Dua tempat terawal sama, hanya ada note besar. Akhirnya kami ke tingkat atas bangunan pusat membeli-belah yang menempatkan satu money changer di situ. Sedang kami tawar menawar, datang seorang hamba Allah ke situ. Katanya dia ada note kecil, jemput ke rumah katanya. Setelah bekenalan dan mendapatkan alamat kami berjanji akan mengunjungi rumahnya selepas waktu Asar. Selepas itu mengunjungi pejabat seorang sahabat, hanya 5 minit jalan kaki dari pusat membeli-belah itu. Kebetulan sahabat baru balik dari Tanah Suci. Alhamdullilah beliau masih menyimpan sejumlah Riyal, rezeki betul.

Selepas Asar seperti yang dijanjikan aku mengunjungi rumah hamba Allah yang ku temui. Ramai sanak saudara di rumah itu, dan banyak beg-beg yang menampakkan mereka baru balik. Katanya di baru balik dari Tanah Suci bersama keluarga. Lantas dia mengeluarkan keratan akhbar berkenaan kemalangan yg mengorbankan rakyat Malaysia di Madinah baru-baru ini. Katanya isteringa pergi bersama rombongan di pihak keluarganya. Apabila mengetahui isterinya terlibat kemalangan beliau bersama 4 oarang anaknya segera mendapatkan penerbangan ke Tanah Suci. Katanya Alhamdullillah semua di permudahkan, termasuklan tiket dan visa. Katanya sebaik dia sampai di Madinah, van untuk menguruskan jenazah sampai dan beliau berkesempatan menguruskan jenazah sehinggala selesai dikebumikan. Amat terharu mendengar ceritanya. Tak ku sangka aku berdepan dengan keluarga mangsa yang ku baca di akhbar-akhbar baru-baru ini.

Semoga arwah Pn Rozita Jamaludin di cucuri rahmat dan di tempatkan di tempat yang sewajarnya. Sesungguhnya kematian beliau adalah dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah untuk mengerjakan umrah. Al-Fatihah.

Monday, April 13, 2009

Hanoi & Phnom Penh

Kami meneruskan perjalanan seterusnya ke Hanoi Vietnam dengan penerbangan Vietnam Airline. Wakil dari Ministry of Labour Vietnam telah menunggu kami di airport. Jarak dari airport ke Hanoi adalah sekitar 35 km. Tak jauh dari airport kita kan jumpa Petronas, bangga rasa. Kami check in di Zephyr Hotel. Sebuah hotel betul-betul di tengah Bandar Hanoi. Tempahan hotel telah diurus oleh Kedutaan Malaysia di sini. Apa yang dapat diperhatikan disini, keadaan lalulintas begitu sibuk. Motosikal terlampau banyak di sini, dan bunyi hon tidak putus-putus.
Jam 9.30 kesok harinya pegawai dari Ministry of Labour mengambil kami untuk perbincangan di pejabatnya. Dr Nguyen Hong Mint, Director on Vocational Trg Department menyambut kami. Mesyurat berjalan lancar. Misi kali ini juga berjaya. Mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan rancangan kita. Seperti yang diduga, lunch telah ditempah untuk kami kami. Amat sukar untuk ditolak. Kali ni lunch di sebuah seafood restaurant. Menu utamanya adalah belut. Belut stim, belut goring dan belut masak dengan rebung. Mereka kata ikan jenis ni adalah yang paling famous di sini. Di restaurant tu harganya mencecah sehingga USD 30 sekilo. Kalau kat Malaysia suruh makan belut free pun tak mau.
Selepas tu kami mengunjungi kedutaan Malaysia. Kami bernasib baik dapat berjumpa Ambassador, Dato’ Lim Kim Eng. Lama juga kami berbincang dengan Secretary Consular, Mr Ranoo dan En Edi Irwan. Perbincangan berkisar masalah-masalah yang timbul dalam urusan hubungan dua hala.
Kami menggunakan teksi dari Embassy ke hotel. Kebetulan pemandu teksi pernah berkerja selama 3 tahun di Nilai. Boleh berbahasa Melayu. Dia kata seronok kerja kat negara kita, terpaksa balik atas arahan orang tua. Sepanjang perjalanan dia memuji Negara kita. Dia kata di Vietnam ni system jalan raya begitu teruk. Kami tanya macamana nak lintas jalan, sedangkan lampu merah pun dia orang tak berhenti. Driver tu kata buat macam ayam atau itik, jangan tenguk kiri kanan. Pandang depan, jalan. Katanya kalau nak tunggu jalan kosong memang tak kosong. Dia pesan lagi jangan makan di sebarangan tempat, mudah kena keracunan. Dia tak tau kita pun tak rela nak makan kat situ.
Memang tidak dinafikan, amat sukar pada orang luar untuk menggunakan system jalan raya di situ. Motosikal terlalu banyak, sehingga mereka inilah yang mendominasikan jalan-jalan raya di situ. Kadang kadang seronok tenguk lalu-lintas yang bersimpang-siur di situ, terutama di kawasan simpang jalan. Yang pelik takda pulak accident. Aku cuba guna teori pemandu teksi tadi untuk melintas jalan, memang boleh lepas ke seberang jalan walaupun kenderaan banyak. Kesimpulannya kalau nak melintas jalan tak kira mengggunakan kenderaan atau jalan kaki, masuk je tanpa mempedulikan kiri kanan.

Seterusnya kami meneruskan penerbangan ke Cambodia. Untuk kenegara itu kami terpaksa ke Ho Chi Mint dahulu. Hampir 3 jam kami di Ho Chi Mint. Ramai juga rakyat Negara kita yang melancung ke sini. Sempat juga sembang dengan beberapa orang dari mereka. Dari Ho Chi Mint ke Phnom Penh kami meneruskan penerbangan dengan ATR-72, iaitu satu kapal terbang yang kecil. Kuat gegarannya apabila kapal itu take-off dan landing.
Di airport Phnom Penh, beberapa orang wakil kedutaan Malaysia dan wakil Ministry of Labour Cambodia telah pun tunggu. Terharu jugak dengan cara mereka mengambil berat. Limousine telah disedia untuk membawa kami ke Holiday Villa, iaitu sebuah hotel milik syarikat Negara kita. Duduk di hotel ni macam duduk kat Malaysia. TV1 pun ada.
Jam 9 pagi kami mengunjungi Ministry of Labour and vocational Training. Mr Socheth iaitu Ministry’s Advisor Chief of Cabinet dan beberapa orang pegawainya telah pun menunggu. Kali perbincangan turut dihadiri pegawai dari JICA Cambodia. Perbincangan begitu positif. Walaupun pada asalnya negara itu tidak berminat untuk turut serta, tetapi kali ini mereka telah melengkapkan borang penyertaan. Malah mereka ingin mengadakan kerjasama dengan negara dalam berbagai keadaan dalam pembangunan latihan kemahiran. Inilah kemuncak lawatan kerja kami, ketiga negara yang kami lawati bersetuju dengan program yang dirancang.
Tengahari solat Jumaat di Masjid Dubai, salah sebuah masjid di tengah Bandar Phnom Penh. Berada dalam masjid ini tidak ubah seperti dalam Negara. Sebahagian besar Jemaah adalah masyarakat melayu yang mempunyai rupa dan kulit seperti orang melayu Negara kita.
Selepas solat kami makan tengahari di Mamak’s Corner. Sebuah restaurant yang di miliki oleh rakyat Malaysia. Tuan punya restaurant En Ismael telah 18 tahun duduk di bandar ini. Semua rempah untuk masakan adalah 100% datang dari Negara kita.
Selepas itu kami mengunjungi Embarsy of Malaysia. Berbincang dengan Secretary En Mohd Fadzil Mohd Othman. Beliau jugalah yang menguruskan pengangkutan dan tempat tinggal sepanjang kami di sini.
Lewat petang kami sempat melawat beberapa kesan sejarah semasa pemerintahan Khmer Rouge yang diketuai oleh Plo Pot. Semasa pemerintahan Rejim ini lebih kurang 10,000 rakyat Cambodia telah dibunuh dari tahun 1975 hingga 1978. Sebuah sekolah yang dijadikan tempat kurungan masih ditinggalkan sebagai kesan sejarah. Killing field yang merupakan perkuburan hasil pembunuhan rejim ini masih dikekalkan sebagai kesan sejarah. Tulang-tulang masih bertaburan dikawasan ini.
Malam kami menerima jemputan dari Ministry of Labour Cambodia untuk dinner di Café Bubble Tea. Tujuh orang pegawai dari Ministry telah menunggu kami di restaurant tersebut. Restaurant ini adalah restaurant halal yang dipunyai olah rakyat tempatan.

Wednesday, April 08, 2009

Vientiane Laos

Misi ke vientiane Laos berjalan lancar. Kali ni bersama Tn Hj Ismail dan Shirlyna – pegawai dari JICA Malaysia. Memandangkan tiada penerbangan terus oleh MAS ke negara bekas ideology komunis ini, maka kami terpaksa transit di Bangkok selama 3 jam dan meneruskan penerbangan dengan Thai Airway untuk ke Vientiane. Sampai di Vientiane kenderaan hotel telah pun tunggu. Kami terus ke Lao Plaza hotel. Plaza Hotel merupakan hotel bertaraf 5 bintang dan antara yang terbaik di Vientiane. Terima kasih kepada En Shamsul pegawai kedutaan Malaysia di Laos yang menguruskan segalanya.

Mesyuarat di Ministry of Labour, hanya 3 minit berjalan kaki dari hotel. Deputy Director General, Prof Bounma Sitthison mrnyambut kami dan mempengerusikan mesyuarat. Alhamdulillah berjalan lancar, misi ke sini berjaya. Respon dari mereka begitu positif untuk turut serta dalam MySkills.

Selesai meeting kami dimaklumkan makan tengahari telah di aturkan di salah sebuah restoran di Bandar itu. Aku sempat bertanya pada En Sham – pegawai kedutaan, boleh ke kita pergi restoran tu. Maklumla kat sini bukan ada kedai halal. En Sham kata ok, dia kata dia pun pernah masuk tempat tu. Ternyata restoran begitu esklusif. Menu yang disediakan pada kami Tomyam seafood, ikan stim, kerabu papaya, berbagai jenis ulam, sayur campur, kerabu ikan dan yang agak pelik kerabu belalang. Semua masakan memang sedap terutama kerabu belalang. Aku sebenarnya teragak nak makan belalang tu, tapi bila teringat kecil-kecil dulu kejar belalang belakang rumah, cuba jugala. Rasanya memang sedap. Entahkan belalang entahkan bukan, mereka kata serangga tu terpaksa di tangkap dalam hutan. Petang kami meneruskan perjalanan ke Vietnam.

Ini merupakan jalan utama di bandar Vientiane sekitar jam 7.00 pagi, masih lengang.
Potret Pak Lah antara beberapa potret pemimpin negara seluruh dunia yang pernah mengunjungi Lao Plaza Hotel terpampang di dinding hotel.
Lunch bersama Deputy DG di Kualao Restaurant
Antara menu yang di sajikan
Keadaan di salah satu pasaraya di bandar itu

Monday, March 16, 2009

Ayam penyet

Biasanya kalau mengunjungi kota ini aku akan menaiki penambang untuk ke Baruh. Miden goreng belacan antara menu aku gemar di situ. Tapi hujan lebat membuat aku tak mampu untuk menyeberang. Aku cuma mampu perhatikan penambang itu dari jauh.Penambang-penambang itu masih menjadi pilihan anak-anak yang pulang dari sekolah untuk menyeberang. Kanak-kanak itu seolah-olah tidak menghirau hujan lebat yang turun. Mungkin juga mereka merayakan hari terakhir sebelum cuti persekolahan. Dan penembang-penambang itu terus menjalanakan aktiviti mereka mengangkut penumpang walaupun sebenarnya mereka membahayakan penumpang semasa hujan lebat sebegitu. Menurut kata pekerja hotel tempat aku menginap memang hujan turun setiap petang. Ternyata hujan tak berhenti sehingga malam. Hampir jam sembilan Is datang jemput aku, katanya kita ke Raja Ayam Penyet. Dah lama dah aku dengar nama tu, tapi tak pernah berpeluang ke sana. Memang ternyata tempat tu terlalu ramai pengunjung sehingga terpaksa berdiri menunggu meja kosong. Ayam penyet dan pecel lele merupakan menu utama tempat ini. Set nasi ayam penyet ni agak ringkas, hanyalah sepinggan nasi putih, ayam goreng rangup yang panas, ulam salat dan timun serta sambal belacan sahaja. Tapi disebabkan hidangan itu dalam keadaan panas, maka ianya amat menyelerakan. Memang diakui sambalnya agak berbeza dan begitu istimewa. Maka tidak heranlah kalau seseorang itu mampu melantak dua set seorang. Is kata ada member dari Shah Alam datang, dia mampu melantak tiga set. Agaknya kalau diperkenalkan di KL ianya boleh menjadi tarikan pengunjung.

Friday, February 20, 2009

Teh Tarik

Teh tarik dan nasik lemak telah di istiharkan sebagai makanan warisan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal baru-baru ini. Memang di akui sebenarnya teh tarik ini hanya terdapat di negara kita, begitu juga nasi lemak secara tidak rasminya sudah menjadi hidangan wajib bagi masyarakat Malaysia.

Memang tiada yang boleh mengatasi keenakan nasi putih yang wangi baunya, dimasak dengan santan kelapa dan daun pandan dan dibungkus dalam daun pisang serta diperlazatkan lagi dengan sambal ikan bilis, kacang goreng, telur dan timun yang menyelerakan. Setelah itu ia disudahi dengan tegukan segelas teh tarik yang manis bersusu.

Tapi harus diingat mengambil nasi lemak dan teh tarik untuk sarapan pagi setiap hari bukan suatu pilihan yang terbaik untuk kesihatan. Teringat kata-kata Prof Ungku Aziz, seumur hidupnya beliau tidak pernah merasa nasi lemak. Sapa yang rugi, Prof Ungku Aziz yang tak pernah merasa nasi lemak atau kita yang selalu melantak nasi lemak..........

Dua orang pelancung ini begitu kusyuk menuntun siaran TV sambil menunggu roti canai yang telah dipesan sehingga tak sedar gelagatnya aku rakam. Di atas meja telah siap terhidang dua gelas teh tarik. Mungkin satu hari nanti pelancung ini akan datang balik ke negara kita semata-mata kerana teh tarik atau dia tak mau datang negara kita sebab dia dah terkena penyakit kolestrol.

Wednesday, February 18, 2009

Senja

Senja sering dikaitkan dengan keindahan. Tak kala bermusafir aku sering tidak melepaskan peluang untuk merakamkan keindahan alam ketika mentari dikunyah garis cakrawala. Kadang-kadang di pantai dan kadang-kadang hanya dari bilik hotel. Berikut sebahagian daripada beberapa sceen waktu senja yang pernah aku rakam.

Tapi waktu senja begini banyak jin keluar

Panorama di selat Melaka (Model tu kawan aku Brahim)
Dari bilik hotel di Corus Paradise
Di salah satu pantai di Sabah
Pakcik ni masih setia menunggu penumpang di Sungai Sarawak walaupun hari dah gelap
Di salah satu restoran di Kuching
Pantai PD
Tetiba muncul gadis tak dikenali dan menawarkan diri menjadi model
Dari tingkap bilik Sinsuran KK

Tuesday, February 03, 2009

Sawit

Enam bulan lepas kalau minum di kedai kopi kat kampung semua orang berebut nak bayar, tapi sekarang ni warung kat kampung makin sunyi. Enam bulan lepas harga kelapa sawit RM 600 setan, sekarang ni tinggal RM 220 setan, itu pun belum tolak upah. Ramai orang kampung yang mengeluh. Harga kelapa sawit turun mendadak, harga barang keperluan melambung naik. Aku sempat sembang makcik belakang rumah, katanya bulan lepas apabila tolak upah meracun baki yang tinggal cuma RM20 sahaja. Ini la masalah yang sedang dihadapi pekebun kecil kelapa sawit masa ini. Mereka juga dibelenggu masalah kos pengurusan ladang apabila harga baja, racun dan sebagainya masih berada pada paras yang tinggi sedang harga sawit berada pada tahap terendah. Memang jelas sekali, dengan harga yang ada sekarang, susah pekebun-pekebun kecil sawit nak menyara hidup mereka. Siksa, kalau nak hidup selesa dan masih bergantung kepada sawit se mata-mata. Aku ada sembang dengan beberapa orang kampung, kata mereka kalau nak hidup sedikit selesa harga yang minimum adalah RM 350 setan. Silap gaya selepas ni kalau kita masuk kampung mungkin kita akan dapat menyaksikan kebun-kebun sawit yang terbiar dengan semak dan lalang. Ini disebabkan pendapatan mereka tak berbaloi berbanding dengan kos operasi.

Tuesday, January 06, 2009

SABAH 2

Kami sempat mengunjungi Pulau Gaya. Di pulau ini terdapat perkampungan air yang dinamakan Kampung Pondo. Kampong ini terkenal dengan pendatang tanpa izin dari Philippines. Ianya terkenal sebagai dangerous high crime or "no-go" area kepada polis dan pihak berkuasa tempatan.
Untuk sampai ke tempat ini hanya 15 minit menaiki bot dari Kota Kinabalu
Kehidupan mereka semata-mata di atas air
Sebahagian besar mereka mempunyai bot masing-masing untuk ke tanah besar
Sebahagian besar penduduk di sini beragama Islam
Tiap-tiap rumah dihubungkan dengan titian dari rumah ke rumah
Mencari rezeki

Monday, January 05, 2009

SABAH 1

Flight agak delay, jam 3.30 ptg baru kami sampai di KK. Kawan dah tunggu di airport bersama kederaan pacuan 4 roda untuk aku pandu sendiri ke Kundasang. Hanyalah selepas senja barulah kami memulakan perjalanan ke Kundasang. Inilah pertama kali aku memandu ke Kundasang pada waktu malam. Memandu dengan mendaki bukit dengan kabus yang tebal dan menghadkan pandangan adalah amat mencabar. Kebetulan pulak terdapat tanah runtuh dibeberapa tempat di sepanjang perjalanan. Menginap di cottage hotel iaitu sebuah hotel di kawasan pekan Kundasang.
Kundasang merupakan sebuah pekan kecil yang paling hampir dengan Gunung Kinabalu. Tenang, sepi, damai, indah dan dingin merupakan ungkapan yang sering diperkatakan mengenai Kundasang. Kundasang terletak di kaki banjaran Kinabalu. Cuaca yang segar serta pemandangan yang indah mungkin menjadi alasan utama ramai pelancong datang berkunjung ke Kundasang. Pertanian merupakan sumber pendapatan yang utama kepada penduduk di sini. Tidak hairanlah Kundasang merupakan pusat membeli belah sayur-sayuran yang sangat terkenal di daerah ini. Malah di katakan Kundasang merupakan pembekal utama sayur-sayuran ke seluruh Sabah. Manakala pelancongan menjadi sumber pendapatan kedua terpenting bagi penduduk di Kundasang. Bila bercakap tentang industri pelancongan di Kundasang, ianya merupakan contoh klasik bagaimana sektor ini sedikit demi sedikit meminggirkan penduduk asli secara sistematik menerusi penjajahan sosioekonomi. Kuasa wang dan teknologi membuka ruang kepada golongan kapitalis mendominasi kitar ekonomi Kundasang. Kalau 25 tahun dulu, produk agro Kundasang dikuasai sepenuhnya oleh petani-petani tempatan, tetapi sekarang sebahagian besarnya telah dibolot oleh kapitalis asing. Dan yang menghairankan juga sayur-sayuran di pasar Kundasang lebih mahal berbanding di pasar di Kota Kinabalau, walaupun sebenarnya sayuran tersebut juga datang dari Kundasang.

Kabus dan awan yang tebal begitu menghadkan pandangan
Banjaran Gunung Kinabalu di penuhi ladang sayur-sayuran
Puncak Gunung Kinabalu

Saturday, January 03, 2009

Jangan kencing

Satu hari aku jalan di satu lorong di satu pekan yang agak terkenal, agak terkejut dengan situasi di situ. Apakah orang kita suka kencing mesepah.