Friday, March 12, 2010

Pokok Getah dan Ubi Kayu



"Mak tak menoreh hari ini?" aku bertanya pada emak yang tengah sibuk menghidang ubi kayu rebus dan sambal tumis.

"Tidak," jawab mak sepatah..

"Pokok getah basah. Macam mana mak nak menoreh," emak menambah.

"Hujan ke mak malam tadi?” aku bertanya balik.

"Hujan itu membawa rahmat," balasnya. "Kalau hujan tidak turun, bumi akan kering kontang. Tumbuh-tumbuhan akan mati" emak menambah.

"Tapi kalau hujan hari-hari macam ni kita susah kan mak?" aku bertanya.

"Takpa kita masih ada ubi kayu, kita masih ada sayur keliling rumah, kita makan la mana yang ada" jawab emak.

Emak begitu yakin kedatangan musim hujan bukan bermakna pintu rezekinya tertutup. Walaupun dia tidak boleh menoreh tapi dia masih boleh mencari rezeki dengan cara yang lain. Dia masih boleh mencari kopi, mencari pucuk paku, atau paling tidak mencari rebung untuk dibuat gulai. Dan kami anak-anaknya tidak pernah kebuluran, persekolahan tidak akan terbantut dan badan kami sihat walau pun hari-hari makan ubi kayu.

Itu cerita 40 tahun lepas. Kalau musim hujan ubi kayu la makan asasi kami. Sekarang ni nak makan ubi kayu pun dah susah. Kat kampong dah semakin kurang ubi kayu. Sekarang ni ubi kayu rebus dah masuk restoran besar-besar, agaknya dah jadi makanan orang-orang kaya.


Nota: Baru ni nelayan di Langkawi pun jamu PM dengan ubi rebus. Kabarnya PM makan sampai menjilat jari. Tak tau la mereka jamu PM ubi rebus tu simbolik atau memang itu makanan mereka.

Tuesday, March 09, 2010

Semut dan Gajah

Anda berkerja keras siang dan malam untuk mendapatkan apa yang anda inginkan, namun begitu apa yang anda inginkan semakin jauh. Anda berusaha untuk mencapai impian anda tapi hakikatnya impian itu semakin tidak kelihatan. Pernahkah anda merasa sedemikian? Kalau pernah anda sama seperti seekor semut yang duduk di atas seekor gajah. Semut berusaha sepenuhnya untuk berjalan menuju ke barat, namun begitu apabila gajah berjalan ke timur maka seperti la semut itu juga menghala ke timur. Untuk mencapai hasratnya semut harus memujuk gajah agar berjalan mengikut haluannya, ataupun kalau dah bersedia semut harus turun dari gajah dan berjalan sendiri menuju haluannya.Suka tenguk foto nukilan Teuku Jody Zulkarnaen ni

Monday, March 08, 2010

Pertandingan Bot Naga Putrajaya

Syabas JPK, walaupun pasukan baru ditubuhkan dan hanya berlatih seminggu tapi masih mampu mengalahkan 12 pasukan yang lain dan terpilih sebagai 6 pasukan terbaik bersaing di peringkat akhir. Laluan untuk sampai ke peringkat akhir memang begitu mencabar dan tidak dinafikan pasukan yang sampai peringkat akhir bukannya calang-calang, antaranya SMART dan Perbadanan Putrajaya (Johan tahun lepas). Walaupun tidak dinobatkan tiga pasukan terbaik tetapi berjaya menempatkan ke peringkat akhir pun sudah memadai kepada pasukan yang baru ditubuhkan dan kali pertama menyertai pertandingan. Kita akan buat persiapan rapi masa akan datang.Dua Pasukan Perahu Naga JPK

Saturday, March 06, 2010

Landak

Kau tau tak mana nak cari daging landak
Kau ni mimpi apa tiba-tiba nak makan daging landak
Ya la orang kata sedap, tapi aku tak pernah makan, tu yang aku teringin nak makan
Kalau kau nak makan daging landak tu kau pergi Sungai Panjang
Sebelah mana tu
Kau pergi hala Sungai Besar ikut Tanjung Karang, lepas Sg Dorani nanti jumpa la Sg Panjang. Kalau tak silap nama restoran tu Restoran Selera Rimba, kat situ bukan je landak tapi ada jugak ayam hutan, baung, rusa dan kijang
Bila kita nak pergi ni…..
Isk, isk…kalau aku pergi pun bini aku bukan nak makan…nanti la kita tenguk masa yang sesuai


Aku pun sebenarnya dah lama tak makan daging landak. Masa kecil dulu senang sangat nak tangkap landak ni. Untuk tangkap landak ni cuma perlu cari lorong dia berjalan, kemudian tahan perangkap. Umpan dia cuma kulit cempedak. Sekarang ni jangan harap, haiwan itu dah makin pupus. Haiwan ini dah termasuk dalam spesies haiwan buruan yang dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Daging landak ni sebenarnya lembut dan tidak mengandungi lemak, malah ianya tidak berserat. Bagi penggemar daging buruan, mereka sering mengatakan keenakan daging landak lebih lazat daripada daging kijang. Walaubagaimanapun dalam keluarga aku hanya arwah ayah dan aku saja yang boleh makan daging binatang buruan. Emak dan adik-adik memang takkan sentuh. Dulu masa kecik bila kami dapat tangkap landak ni sekor boleh di jual RM 20 hingga RM30 je. Sekarang ni di pasaran, daging landak boleh mencecah sehingga RM70 sekilo. Malah seekor landak hidup boleh dibeli dengan harga RM1,000 seekor.

Sebenarnya aku membesar dihujung kampong yang bersempadan dengan hutan. Keadaan itu menjadikan memburu merupakan sebahagian aktiviti arwah ayah. Aku pun seronok ikut dia. Masa aku umur 12 tahun arwah ayah dah ajar aku menembak, dia letak botol atas pagar dan suruh aku tembak. Katanya orang laki kena berani dan kena pandai memburu. Ayah buat pondok tinggi dalam kebun. Kami sering berjaga malam dalam pondok itu. Banyak babi kacau ubi kayu masa tu. Arwah ayah sayang sangat pokok tanamannya. Itulah sebahagian hasil untuk menyara kami. Secara tak langsung minat ayah memburu turun juga pada ku. Namun begitu selepas tingkatan 3 aku keluar dari kampong, aktiviti memburu begitu terbatas. Lepas keluar university aku ditugaskan di Penang, terus lenyap aktiviti memburu. Sesekali bila bercuti aku ikut arwah ayah cari ayam hutan. Aku bawak motor dalam kebun kelapa sawit, ayah duduk belakang sambil mata melilau melihat kelibat ayam. Kadang-kadang arwah ayah bawak motor, aku pulak duduk belakang pikul senapang. Ini semua cerita 30 tahun lepas, sekarang semua tinggal kenangan. Walau bagaimanapun aku yakin aku masih mampu membidik tepat macam arwah ayah.

Friday, March 05, 2010

Latihan Terakhir

Berikut beberapa gelagat peserta semasa latihan akhir Pertandingan Perahu Panjang Putrajaya (Foto: Uyie)
Jurulatih pening tepuk dahi, boleh menang ke macam ni......

Wednesday, March 03, 2010

Nostalgia Signboard TIKL


Aku baru terima gambar masa muda-muda dari sorang rakan yang di post melalui fesbuk. Terlalu nostalgia sangat gambar ni. Gambar zaman 30 tahun lepas. Masa ni kami freshie kat kat sekolah, selalulah kena buli. Masa ni kami kena buat sighboard sekolah, pikul 3 tiga kilometer dari sekolah sampai jalan luar dan dirikan di situ. Punyalah bangga masa tu dapat dirikan signboard sekolah. Tapi sayang signboard tu sekarang ni dah tak ada di tempat asal, kalau masih ada agaknya boleh hantar kat muzium. Sebelah tu signboard SMS Selangor, musuh kami masa tu. Selalu bergaduh dengan sekolah tu, mereka kat SMS tu semua baik-baik. Kami bukannya tak baik cuma sikit je nakal. Di sekolah kami penuh dengan besi dan kayu, itu yang susah. Sekarang ni anak aku pulak belajar kat SMS tu.

Setakat yang aku ingat nama-nama yang ada dalam gambar tu - sukri, sharudin, aban, khairul syam, zainal, riduan, khairul salleh, rano, md nor,ismail, hamid, boeng, komori, rosli, wak, monalito, malek, kamaruddin.... yang lain-lain tak ingat dan kalau jumpa sekarang ni pun comfirm tak kenal. Ada sapa-sapa boleh teka ke yang mana KAMATO?

Sunday, February 28, 2010

Tasik Permaisuri

Sudah menjadi lumrah, setiap kali menghantar Zahir balik asrama kami akan singgah di Taman Tasik Permaisuri. Biasanya kami singgah untuk menikmati keropok leko dan air kelapa seorang kakak yang menjaja di situ, memang sedap keropoknya. Setiap petang memang ramai keluarga bersantai di situ. Terdapat taman permainan yang cukup besar di situ menjadikan ianya satu tarikan keluarga untuk berehat.

30 tahun dulu kawasan ini belukar. Masa tu Bandar Tun Razak masih belum ada lagi, nama asalnya adalah Kampung Konggo. Tasik ini dah ada di situ, dikelilingi oleh semak samun dan belukar. Semasa kami kat asrama dulu, kami cukup seronok bila bekalan air terputus. Kebetulan pulak selalu kawasan tu tak ada air. Kalau tak ada air bermakna kami mempunyai lesen besar untuk mandi di tasik ini. Bagi kami yang datang dari kampong, berendam dalam tasik ni merupakan satu keseronokan. Biasanya kami akan menjinjing balik baldi berisi air, dan yang pastinya muka-muka macam minta sedekah terutama pelajar wanita akan menunggu air yang kami bawa. Masa tu muka-muka yang suka berendam air tasik tu la jadi raja. Ada yang sengaja tumpahkan air daripada bagi mereka-mereka yang menunggu.

Pernah kami ambik buah cempedak di kawasan tu masa tu. Kami anggap pokok tu tak bertuan sebab duduk dalam kawasan belukar. Tapi sampai kesudah buah tu tak mau masak. Semua tu tinggal kenangan, kawasan ni dah menjadi kawasan rekreasi dan antara tasik tercantik di Kuala Lumpur ini.

Saturday, February 27, 2010

Ibarat Sungai



Hidup ini ibarat sungai
akan sentiasa mengalir
penuh berliku.
Dunia ini
yang dusta sering menjadi benar
dan sering dipertahankan.
Kenyataan hanyalah
suatu imbasan dari impian
di dalam cermin hati dan naluri
Sesungguhnya,
kehidupan ini akan tamat jua
tetapi yang tinggal
ialah kepercayaan dan kejujuran
pada hati sebening air
yang mengalir di sungai yang tenang.

Rumah YS,KL

Maulidur Rasul

Sama-sama la kita menghidupkan sunnah baginda serta melaksanakan segala suruhan yang ditetapkan di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Sungguh mulianya pekertimu
Sinar bercahaya di wajahmu
Kaulah Nabi kekasih Allah
Kau jadi insan pilihan

Demi umat rela berkorban
Jiwa dan raga kau taruhkan
Demi Tuhan kau tempuhi
Dugaan dan cabaran

Ya Rasulullah

Tika mula kau menerima wahyu
Hatimu resah tiada menentu
Khadijah mengukir kata-kata
Bahwa kau Rasul buat seluruh umat
(Bahwa kau Nabi buat seluruh umat)

Bila kau hampir memejamkan mata
Lidahmu basah menyebut ummati
Kasih sayangmu tak bisa digambar
Hanya selawat pengikat kasih

Lirik : Putra Aiman

Friday, February 26, 2010

Salam Maulidur Rasul


Dalam kita menyambut sambutan Maulidur Rasul kita perlu mengenal salasilah baginda.

BIODATA RASULULLAH SAW
Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan 20 April 571 Masehi (dikenali sebagai Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW).
Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah. Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN
Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat
untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.

USIA 6 TAHUN

Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah).
Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN

Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab' Sirah' , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk member pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.

USIA 25 TAHUN

Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.
Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah.
Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.
Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar
Al-Siddiq.
Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN

Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12
Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
Khadijah Binti Khuwailid.
Saudah Binti Zam'ah.
Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
Zainab Binti Jahsy.
Maimunah Binti Harith.
Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW

Qasim
Abdullah
Ibrahim
Zainab
Ruqaiyah
Ummi Kalthum
Fatimah Al-Zahra '

ANAK TIRI RASULULLAH SAW
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

Nabi Muhammad SAW - Manusia agong

KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH.

Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua luka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.

Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:
- Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw..
- Aku melihat cahaya dari lidahnya.
- Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
- Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
- Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
- Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
- Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
- Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
- Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat..
- Wajahnya seperti bulan purnama.
- Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
- Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
- Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
- Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
- Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
- Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
- Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
- Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
- Janggutnya penuh dan tebal menawan.
- Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca
- Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
- Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
- Rambutnya sedikit ikal.
- Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
- Rambutnya terbelah di tengah.
- Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
- Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
- Seimbang antara kedua bahunya.
- Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.
- Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
- Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
- Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
- Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
- Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
- Warna putihnya lebih banyak.
- Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
- Warna kulitnya putih tapi sihat.
- Kulitnya putih lagi bercahaya.
- Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh.
- Badannya tidak gemuk.
- Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak.
- Perutnya tidak buncit.
- Badannya cenderung kepada tinggi, semasa berada di kalangan org ramai baginda kelihatan lebih tinggi drpd mereka.

KESIMPULANNYA :
Nabi Muhammad sa.w adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman. Baginda adalah semulia-mulia insan di dunia.

Wednesday, February 24, 2010

Bot Naga JPK

Satu, Dua, Tiga, Empat …….
Satu, Dua, Tiga, Empat …….
Satu, Dua, Tiga, Empat …….
Satu, Dua, Tiga, Empat …….
Sama-sama menjerit sambil berkayuh…

Hampir setiap petang kami berlatih mendayung bot panjang di Pusat Maritime Putrajaya (Pullman). Susah juga rupanya ramai-ramai kayuh bot panjang ni. Setiap pergerakan perlu bersatu. Setakat ni nampak gaya skill dah ada cuma stamina masih tak cukup. Sampai satu tahap semua lidah terjelir, tercungap-cungap. Walaubagaimanapun syabas JPK kerana mampu menyediakan dua pasukan untuk menyertai perlumbaan sempena Hari Wilayah Persekutuan yang akan diadakan pada 6 dan 7 Mac ini.

foto: Uyie

Sunday, February 21, 2010

Perkampungan Warisan

Telah acap kali aku mengunjungi Kota Kinabalu ini. Kebiasaanya aku aku terus ambik penerbangan balik bila dah tamat tugas. Namun begi tu baru ni penerbangan balik agak sibuk dan memaksa aku untuk stay sehari lagi. Kesempatan itu seorang rakan mengajak pergi perkampungan warisan. Tak pernah selama ini terfikir untuk ke sini. Sesungguhnya berada di sini betul-betul mengimbau kembali suasana kapung di awal 70an. Masa tu rumah-rumah masih beratap nipah dan rumbia. Letrik pun masih tiada lagi malah masih menggunakan air sumur sebagai punca minuman. Rindu sangat suasana sebegini.

Saturday, February 20, 2010

Rezeki di Musim Panas

Musim panas sejak beberapa hari ini menjadikan satu kawasan tadahan air di Reko Central kering. Keadaan ini menjadikan mereka-mereka berpesta menggagau ikan di kawasan itu. Seronok betul mereka bermain selut. Kecik-kecik dulu aku handal juga menggagau haruan dan keli kat lopak-lopak di tali air apabila musim kemarau begini, tapi sekarang ni mintak maaf dah hilang skill. Aku cuba melihat mereka dari dekat, satu peti besar penuh dengan ikan talapiah dan beberapa ekor ikan haruan sebesar betis. Memang lumayan, musim panas ni membawa rezeki pada mereka.

Friday, February 19, 2010

TIKL


Baru-baru ni semasa menghantar Zahir ke asramanya aku sempat singgah di sekolah lama ku, TIKL. Masa tu sekolah tu cuti CNY seminggu. Mulanya pengawal tak bagi aku masuk, tapi setelah maklumkan aku merupakan alumnai sekolah tersebut mereka bagi laluan. Ternyata banyak perubahan berbanding 30 tahun yang lepas.

Terlalu banyak kenangan pahit manis masa persekolahan dulu. Satu masa dulu sekolah ni memang terkenal dengan raging, malah pernah seorang pelajar meninggal di bilik dibilik air mungkin disebabkan raging. Aku mula menjejaki sekolah ini awal sekitar 80an. Sebelum mendaftar ada jiran maklumkan sekolah tu kuat raging. Aku tak kisah, ikut je. Hari pendaftaran aku datang sehari awal. Datang dengan arwah ayah, naik bas dari kampong sampai Pudu Raya. Dari Pudu Raya naik teksi sampai sekolah ni. Masa teksi sampai, dua orang senior turun berebut angkat beg aku naik asrama. Aku berlenggang je naik. Masa tu dalam hati aku kata, bagus-bagus semua senior ni, sapa kata dia orang teruk. Sebaik je sampai bilik, aku ingat arwah ayah tak sampai pun lagi pintu pagar depan, maka episod pengenalan pun bermula. Beg yang tadi mereka usung dicampak balik keluar. Salah sorang dari mereka memekik “Kau ingat aku ni kuli engkau”. Itulah episod salam pengenalan aku di sekolah ini. Selepas itu bermula la episod-episod seterusnya yang memang memaksa kekentalan diri untuk terus berjuang. Namun begitu semuanya menimbulkan kenangan manis dan tidak dinafikan buli-buli mereka itu kadang-kadang merapatkan lagi hubungan antara pelajar baru dan lama. Sebahagian besar mereka yang nakal-nakal itu berjaya dalam pelajaran dan berjaya dalam kehidupani. Kami masih berhubung sehingga kini.

Tuesday, February 16, 2010

Nenas berbuah dua kali

Kita biasa dengar pisang berbuah dua kali, tapi yang ni nenas. Di depan rumah aku ada tiga pasu bunga nenas. Aku tanam tahun lepas, bunganya berbentuk buah nenas dan tak pernah putus sepanjang tahun. Buahnya berbentuk seperti nenas biasa dan berjambul, cuma yang peliknya sekarang ni ada satu tangkai tu jambulnya pun keluar buah. Maka jadi la satu tangkai dua buah nenas yang berlapis.

Sunday, February 14, 2010

Malam Tahun Baru China


Malam minggu aku ke jalan Kuching, membantu Chef Manap membuat persiapan memasak untuk kenduri sorang kawan bagi majlis perkahwinan anak bongsunya. Yang nak di masaknya daging hitam, dalca, gulai nangka, kerabu umbut kelapa, sop tulang dan ayam goreng. Sempatla aku kacau sana sikit, kacau sini sikit. Potong sana sikit, potong sini sikit. Lepas jam 12 malam suasana kawasan situ dah jadi macam medan perang. Malam Tahun Baru China. Bunga api sana, bunga api sini. Meletup sana, meletup sini. Jam 1.30 pagi aku bertolak balik, masa tu yang dah naik dapur baru daging hitam. Yang lain akan dimasak esoknya selepas subuh.

Monday, February 08, 2010

Madu dan Dhab

Kami sampai setengah jam awal dalam satu majlis di USJ12 baru-baru ni, kesempatan itu aku guna untuk meninjau gerai-gerai yang ada. Masing-masing sedang sibut menyiapkan gerai masing-masing. Kebanyakan mereka menjual buku-buku agama dan produk makanan halal. Aku amat tertarik dengan salah satu gerai kerana bersama peniaganya ada seekor dhab atau biawak pasir. Pemilik gerai itu sedang sibuk menyusun barang niaganya iaitu berbagai jenis madu dari berbagai negara. Aku segera menyapa pemilik gerai itu

Hj datang dari mana?
Dari Ampang
Jauhnya Hj, selalu ke hj meniaga di sini?
Adalah juga sesekali, kalau ada program, imam panggil… saya datangla.
Haji jual apa?
Saya jual semua jenis madu, saya ambik madu dari timur tengah. Saya pun ada jual jugak berbagai madu asli dari negara kita.
Hj meniaga bergerak saja ke atau memang ada gerai tetap?
Memang saya ada gerai tetap tapi saya suka lagi meniaga bergerak begini, untung lebih sikit.
Hj full-time ke jual madu?
Saya dah full-time jual madu ni.
Jual madu bergerak macamni pun boleh hidup ye ji?
Alhamdullilah....
Biasanya berapa banyak jualan sehari?
Tenguk keadaan dan majlis yang diadakan, macam program di masjid Bangsar baru ni dalam setengah hari je jualan boleh mencecah tiga ribu ringgit.
Banyak tu ji (dalam hati aku kagum, jual madu pun boleh cecah RM3000 sehari).
Ke sebabkan haji ada penarik dhab ni.

Tak da la…ni suka-suka je bela
Haji ambik kat mana dhab ni?
(Sambil tu aku usap-usap leher, kepala dan belakang binatang tu, memang jinak)
Saya bawak dari Jourdan, saya memburu sendiri.
Habis, bawak balik macamana?
Letak je dalam beg kargo, scan pun bukan nampak.
Tak lemas ke binatang tu dalam beg?
Binatang ni memang susah nak mati, kalau kita sembelih pun kadang-kadang sampai 2 hari baru mati.
Hj bawak balik sekor je ke?
Saya bawak balik 3 ekor 5 tahun lepas, yang sekor dah jual RM 4000, yang sekor saya sembelih buat kapsul, tinggal sekor ni pun ada pak arab mintak nak beli, dia tawar RM1800 tapi saya tak mau jual…sayang sebab dah jinak.
Apa sebenarnya khasiat daging dhab ni ji?
Banyak khasiatnya, dia boleh cuci darah, buang semua toksit dan racun-racun dalam badan, sebab tu harganya mahal. Lagi satu dia cukup untuk menambah tenaga.
Okay ji, majlis dah nak mula, nanti kita sembang lagi.

Hadis mengatakan sembilan dari sepuluh rezeki dalam dunia ini adalah perniagaan dan terdapat juga hadis yang mengatakan semasa hayatnya Baginda Rasulullah tidak mengharamkan memakan daging dhab namun begitu Beliau tidak memakannya.

Monday, January 18, 2010

Mabuk kahwin

Alhamdullialah hujung minggu aku di beri kesempatan untuk mengiringi ustaz Rashidy, Sabtu subuh program Bicara Addin di Masjid Negeri Selangor. Ustaz Rashidy sendiri yang mengimamkan solat subuh pagi tu, memimpin tadarus dan seterusnya memberi kuliah dalam program tersebut. Alhamdullilah ramai yang hadir. Ahad selepas magrib ustaz pelawa ikut dia ke surau AnNur USJ4, untuk kuliah mingguan. Topik malam tu juga hebat “Benarkah Nabi Isa di salib”. Boleh tahan yang hadir.

Malam tu sebelum kami berangkat balik dari AnNur, kami didatangi oleh seseorang, orang kuat masjid. Dia minta ustaz datang rumahnya, katanya nak minta tolong sikit. Kami terus menuju ke rumahnya, apabila sampai kami diperkenalkan adik tuan rumah bersama isterinya yang telah pun menunggu di pintu pagar. Kami masuk ke rumah dan tak menduga pun rupanya makan malam telah tersedia. Sesudah makan tuan rumah menyampaikan hajat, katanya anak saudara dia tengah mabuk nak kawin dengan lelaki Amerika, nak mintak ustaz nasihatkan. Tuan rumah mintak adik dia bercerita masalahnya.

Makcik tu pun memulakan bicara. “Anak makcik ni umur dah 28 tahun. Sekarang bertugas sebagai executive di sebuah syarikat luar Negara yang beroperasi di Negara kita. Dari segi pendidikan ugama memang cukup. Dari kecik lagi makcik dah didik sepenuhnya. Cuma apabila anak makcik masuk UITM, perangai mula berubah. Mungkin pengaruh kawan-kawan. Apabila dah bekerja dia pun bertunang, tup-tup dia sendiri yang nak putuskan tunang. Makcik pun tak paham kenapa. Sekarang ni dia dah berkenan pulak dengan sorang laki Amerika. Laki tu memang selalu datang ke Malaysia sebab urusan kerja. Laki tu umur 50 tahun dan duda anak 3. Sekarang ni mereka dah buat keputusan nak kahwin dan duduk Amerika. Risau makcik, puas dah makcik bagi nasihat, macam-macam ikhtiar dah makcik buat, tapi langsung dia tak peduli. Ni la nak mintak ustaz pulak tolong nasihatkan dia.”

Kesian ustaz muda ni. Kerja di bahagian ancaman agama. Tugasnya hampir setiap hari menyelesaikan masalah umah yang terpesong dari ajaran islam. Malah hujah-hujahnya sering digeruni paderi-paderi Kristian kalau mereka berdialog. Beliau pernah berdialog dengan 3 orang paderi serentak di sebuah gereja di Jln Semenyih dan ternyata hujahnya tidak dapat disangkal oleh mereka. Tapi kali ni kena pulak selesai masalah gadis nak kawin dan lari dari keluarga pulak.

Berbalik kepada masalah makcik ni, siapa patut disalahkan? Kalau kita berada di tempat makcik ni mestila risau. Mana taknya, anak yang ditantang sejak kecil, telah dididik sehingga berjaya, tetapi akhirnya ingin meninggalkan keluarga kerana ingin berkahwin dengan pilihannya warga asing. Andaikata didikan agamanya tak kuat bagaimana beliau ingin memimpin suami yang baru masuk islam? Bagaimana kehidupan beliau di dalam komuniti bukan islam? Bagaimana kehidupan beliau dalam satu rumah bersama 3 orang anak bekas suaminya yang bukan islam? Bagaimana kalau anak-anak itu meminum alcohol di dalam rumah? Bagaimana kalau mereka memasak makanan tak halal? Amat sukar rasanya cubaan yang terpaksa beliau hadapi.

Wednesday, January 13, 2010

Isu Kalimah

Hujung minggu baru agak sedikit sibuk, pagi persiapan last minit hero nak ke asrama, tengahari hantar sepupu kahwin, petang ke PDKM. Kerana agak sibuk ke sana kemari sampai tak sedar handset habis bateri, tak sampai ke rumah pun. Bila aku on balik ada 4 miss call, nombor yang cukup aku kenal – Ustaz Rashidy. Belum pun sempat aku call balik, dia dah call;

Abang Din sihat?
Alhamdullillah sihat, ustaz sihat?
Alhamdullilah sihat….
Abang Din! Malam saya ada forum di An-Nur, surau Harun Din, nak ulas pasal isu kalimah Allah ni, abang Din datang ye….
Pukul berapa ustaz
Macam biasa la lepas magrib
Insyaallah saya datang
Insyaallah kita jump sana nanti…
Insyaallah, terima kasih ustaz bagitau saya

Oleh kerana mem out-sation, aku segera siapkan makanan yang perlu untuk anak teruna yang tinggal. Semuanya pasang siap. Aku sampai di An-Nur, azan dah berkumandang. Bila aku masuk dewan solat, Masyaallah, ramai nya jemaah…, hampir penuh dewan tu. Dalam hati aku rasa cukup bangga masyarakat Bangi begitu sensitive isu kalimah Allah ni. Ustaz Rashidy mengulas isu ini cukup detail, setiap hujahnya bersandarkan quran, hadis dan tafsir-tafsir ulama terkenal.

Di dalam menangani isu kalimah Allah ini, umat Islam seharusnya melengkapi diri dengan kefahaman ilmu yang jitu di samping menilai secara cermat kesan-kesan yang mendatang sekiranya tuntutan penggunaan kalimah Allah ini dibenarkan di Malaysia.
Bagi yang berminat untuk merungkai permasalahan ini mungkin boleh dapatkan risalah kecil Siri Dialog Bersama Paderi terbitan Tuan Sharifah Islamic Foundation yang berjudul Isu Kalimah Allah – Hukum Penggunaannya Bagi Bukan Islam. Buku ini ditulis dan disusun sendiri oleh Ustaz Rashidy Jamil Muhammmad Ar-Rashid.

Sunday, January 10, 2010

Ghatering PDKM

Tanggal 10 Jan 2010 telah tercipta satu sejarah, dari alam maya kea lam nyata, satu reality dan bukannya fantasi. Satu perhimpunan warga PDKM telah di adakan di Masjid Muadz Taman Setiawangsa. Perhimpunan ini mengumpulkan follower blog Pengalaman di Kota Mekah (PDKM) dari seluruh negara. PDKM adalah satu blog yang dimiliki oleh Saudara Azli yang sekarang bekerja di HOTEL AL SAFWAH ROYALE ORCHID terletak betul betul sekali di hadapan Masjidil Haram.

Aku mula mengenali blog PDKM kira-kira 10 bulan yang lepas. Sejak itu boleh dikatakan setiap aku akan buka blog ini. Kadang-kadang sehari sampai 3 – 4 kali. Setiap kali aku bukak internet aku akan singgah dulu di PDKM. Walau bagaimanapun mungkin aku tergolongan dalam kategori silent reader dalam PDKM kerana hanya sesekali masuk dalam forum berbanding follower yang lain. Keistimewaan Saudara Azli atau kami panggil CL ni rajin update blog. Boleh dikatakan setiap hari blog dia update, kadang-kadang sampai 3 entry dalam satu hari. Sekurang-kurangnya dengan membaca tulisan-tulisanya terubat sedikit rindu pada Baitullah.

Tuan punya blog
Sebahagian blogger PDKM yang hadir

Wednesday, January 06, 2010

Senja Indah

Suasana ini aku rakam semasa dalam perjalanan ke airport Kota Kinabalu. Aku berhenti sekejap untuk menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan ini, memang mengasyikan. Kerana kedamaian dan ketenangan itu mungkin menjadikan mereka begitu syik memancing dan lupa senja dah berlabuh.


nota
Kalau kita melihat laut dengan mata kepala, maka yang kita nampak adalah air yang luas dan membiru serta ombak yang tidak henti-henti memukul pantai. Apabila kia melihat dengan mata akal akan nampak ikan di dalamnya yang dapat ditangkap dan dijual. Namun begitu kalau kita melihat dengan mata hati pula akan nampaklah kehebatan Tuhan dan hikmah dalam ciptaan laut yang begitu luas dan dalam, yang siapa-siapa pun tidak tahu apa sajakah rahsia yang tersimpan di dasarnya. Terasa betapa kerdilnya kita di hadapan Tuhan.

Monday, January 04, 2010

Solat dan Warna Alam

Sekadar gambar hiasan

Berikut artikel sumbangan dari Saudara Saiful Bahri yang saya kira baik untuk kita kongsi bersama, terima kasih Sdr Saiful.

Apabila azan dilaungkan maka azan tersebut mampu menurunkan frekuensi persekitaran ke tahap theta yang paling rendah (deep theta). Apabila kita mengerja solat ketika ini dan ditambah dengan adanya wudhuk, maka frekuensi fikiran kita akan mampu turun sampai ke tahap theta ataupun sekurang-kurangnya alpha yang paling bawah (deep alpha). Ketika ini pastinya menjadi mudah untuk mencapai tahap khusyuk.

Deep theta + Alpha = theta atau deep alpha

Jika kita solat di tengah atau di akhir waktu, maka tenaga frekuensi azan ini telah berkurangan dan mungkin sudah habis. Maka agak sukar sedikit untuk mencapai tahap theta tersebut.

Jika kita bersolat di masjid atau surau secara berjemaah, maka lebih kuat frekuensi thetanya kerana dari masjid dan suraulah azan dilaungkan. Sebab itu kita lebih mudah mencapai tahap khusyuk jika bersolat di masjid atau surau di awal waktu. Maha Besar Allah yang menjadikan sesuatu itu tidak ada sia-sianya.

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam. Saya rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi.

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh. Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki. Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tida k dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

Disini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat diawal waktu. Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum. Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud. Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar s uda h mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (isyraq & dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor. Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman. Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan. Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak ?

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif. Rahsia warna oren ialah kreativiti. Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu .). Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita ;)

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar t ida k berada di luar rumah. Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam. Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la .) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita. Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan. Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak. Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan. Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam. Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta dimana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan. Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus. Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam. Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya. Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh. Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di'kurniakan' syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hambanya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukannya. Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya . :?

Wednesday, December 30, 2009

Aktiviti Cuti

Aku bercuti hari ni bertujuan menyelesaikan beberapa perkara. Aku bawak Zahir dan Zafran ke kampong melawat kebun. Aku ajar mereka cara membaja. Aku ceritakan pada mereka bagaimana susahnya Atok mengerjakan kebun dulu-dulu. Seronok benar mereka berjalan dari pokok ke pokok sambil menebar baja. Dulu kecil-kecil kebun ini tempat aku bermain. Seusia umur 10 tahun aku sudah membantu emak dan bapak menoreh getah dan memetik kopi. Tapi budak-budak sekarang dah berbeza. Ramai budak-budak di kampungku sekarang tak tahu nak kerja kebun walaupun mereka tinggal di kampong.Mereka lebih rela kerja kilang daripada memikul galah mengait kelapa sawit. Lantaran itu kebun-kebun sawit dikampung hamper keseluruhan diburuhkan kepada pekerja Indonesia. Agaknya sampai bilalah kita perlu mengharap pekerja asing. Walhal pendapatan mengerjakan kebun lebih lumayan berbanding pekerja pengeluaran di kilang.
Petang kami buat pemeriksaan gigi. Terkejut Zafran dia ingat cuma aku sorang buat pemeriksaan, rupanya dia pun jadi mangsa. Selepas itu sempat secawan kopi bersama rakan-rakan yang bertemu tanpa dirancang.
Malam aku menerima kunjungan tetamu istimewa. Ustaz Shaidy Jamil Muhamad Ar Rashid bertandang bersama buah tangan kiriman dari kampong. Sampai ke tengah malam kami bergebang. Seronok bersembang dengan ustaz ni. Setiap perkara dikaitkan dengan Al-Quran dan hadis. Ustaz mengatakan suasana dalam Negara agak merisaukan. Masalah social semakin meruncing. Siaran TV yang terlalu bangak hiburan juga secara tak langsung menyumbang masalah ini. Lebih merisaukan sekarang ini terdapat gejala individu yang melalukan ibadat macam biasa, pergi ke masjid untuk berjemaah tetapi jiwanya percaya kepada jesus. Mereka ini akan masuk jarum dengan cara yang paling halus.

Monday, December 28, 2009

Zahir


Abang dah ambik keputusan untuk masuk asrama penuh. Keputusannya dibuat atas kehendaknya tanpa sebarang tekanan atau paksaan. Kawan-kawan seangkatannya yang lain yang sama mohon ke sekolah tersebut takda seorang pun yang dapat. Aku ikut sahaja sebarang keputusannya.

Ramai yang bertanya macamana abang boleh dapat asrama memandangkan di seluruh negara yang dapat 5A UPSR lebih 50 ribu sedangkan tempat di asrama cuma 5 ribu sahaja. Aku cuma boleh jawab mungkin rezeki dia. Mungkin juga aktiviti kokorikulum memain peranan. Semasa sekolah beliau agak aktif. Beliau merupakan pemain ping pong hingga peringkat daerah juga aktif bola sepak di sekolah. Beliau juga pengerusi PBSM sekolah dan juga bendahari kelab pengawas sekolah. Dulu aku risau juga sebab dia terlalu banyak aktiviti luar, rupanya ada juga hikmahnya.

nota: cuti sekolah ni abang cukup aktif main PS dan internet

Thursday, December 24, 2009

Zahiruddin


Sebelum UPSR diumum, abang dah sampaikan hajat untuk mohon asrama penuh bila masuk tingkatan satu nanti, dia pun mohon secara on-line bersama kawan-kawan dia. Pilihan pertama dia S.M.Sains Selangor. Walau bagaimanapun apabila result UPSR dah keluar (5A) dia dah ubah fikiran tak mahu pulak masuk asrama penuh, maka uruskankan permohonan dia ke S.M.Jln 4. Sekarang ni kedua-dua permohonan telah pun berjaya. Terpulang pada abang nak pilih mana satu.

Sek. Men. Jalan 4 Bangi – Hanya beberapa km dari rumah. Antara sekolah tidak berasrama yang terbaik dalam negara. Berjaya mengkalkan prestasi terbaik setiap tahun dan hanya pelajar terpilih sahaja boleh masuk sekolah ini.

Sekolah Men. Sains Selangor – Antara sekolah berasrama yang terkenal, prestasi sekolah ini pun tidak boleh di pertikai. Nak melawat hujung minggu pun tak jauh, hanya setengah jam dari rumah.

Monday, December 14, 2009

Ustaz Rashidy

Uztaz Rashidy Jamil Muhammad Ar Rashid, siapa yang pernah sekali mendengar kuliahnya pasti akan terpesona dan akan terus cuba mengikuti kuliah-kuliahnya. Beliau berasal dari Kampung Buluh Terengganu. Membesar di sebuah keluarga yang susah.

Sebenarnya aku tak berapa mengenali sangat beliau sebelum ini, cuma sesekali terjumpa apabila aku balik mertua di Terengganu dan kebetulan beliau juga balik. Pada hal pejabat beliau dan pejabat ku hanyalah sepelaungan. Kisah bermula apabila aku cuti beraya, melalui kakak ipar beliau memaklumkan teringin untuk menemui aku apabila mengetahui aku bekerja tidak jauh dari pejabatnya. Aku amat terharu apabila orang alim sebegitu ingin menemui aku. Sejak itu aku mengikuti perkembanganya. Sejarah pendidikan beliau bermula dari sekolah Tahfiz. Selepas hafal 30 juzuk Al-Quran beliau bertugas sebagai imam jemputan di Kelantan. Selepas itu beliau berpeluang melanjutkan pelajaran diperingkat Sarjana Muda di Maahat Qiraat Shubra, Mesir. Kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana (Master) di UIA dalam bidang Usuludin. Telah menghasilkan beberapa karya penulisan yang merangkumi bidang Al-Quran dan Perbandingan Agama, dan sebahagian besar buku-bukunya terpaksa diulang cetak atas permintaan yang menggalakkan. Dan yang lebih membanggakan beliau mencetak sendiri buku-bukunya atas nama Tuan Sharifah Islamic Foundatian iaitu sempena nama nenda tercintanya Hajjah Tuan Sharifah bt Tuan Tengah. Beliau kini aktif menyampaikan kuliah di seluruh Negara, dan sebahagian besar dunianya dihambakan untuk kerja-kerja agama.

Hujung minggu baru-baru ini beliau mengajak aku mendengar kuliahnya di Masjid AnNur USJ 4. Aku pergi bersama-sama beliau. Memang selalu beliau menyampaikan kuliah di masjid ini, malah Ramadhan yang lepas beliau merupakan iman terawih jemputan di masjid ini. Ternyata yang hadir mengikuti kuliahnya bukan saja dari jemaah tempatan, tetapi juga dari luar. Dalam perjalanan balik beliau mengajak aku ke Saba restaurant di Cyberjaya, iaitu satu restaurant makanan Arab. Baru aku tahu rupa ini lah restaurant kegemaran beliau. Malam tu kami pekena nasi mandy kambing, memang mengancam. Secara tak langsung meranapkan diet ku malam itu.

Sebenarnya dalam diam aku amat kagum dan bangga dengan kejayaan ustaz ni. Kejayaan beliau adalah dari kesusahan beliau. Semasa kecilnya membesar sebagai kanak-kanak yang menjaja kuih dari rumah ke rumah. Tepat seperti yang Imam Syafie katakan; ‘Kejayaan itu biasanya terhasil dari kemiskinan’. Dalam usianya baru mencecah awal 30an, beliau telah memiliki segalanya. Ilmu agama penuh di dada, menghasilkan banyak buku, mampu memandu kereta berkuasa besar dan memiliki rumah berharga setengah juta ringgit di tengah Bandar Baru Bangi. Tetapi padanya material bukanlah ukuran pada satu kejayaan. Padanya kejayaan sebenar adalah dari sudut spiritual. Katanya juga berjaya menghayati kesusahan dan tak lupa pada masa silam itu adalah sebuah kejayaan. Pastinya akan timbul membantu sekadar mampu…ketika ada. Itupun seizinNya.

Maaf ustaz kerana menulis biodata ustaz untuk tatapan umum.

Nota: Berikut sebahagian ungkapan Ustaz Rashidy
Masa kecil-kecil dulu selepas sarapan pagi roti paun dan air milo, Ana ikut Cik tanam timun kat Tanjung. Kat sini juga la tempat Ana main wau masa kemarau. Sebelah tu ada pokok binjai tempat kami beramai-ramai tunggu binjai luruh. Kalau gatal-gatal badan Cik akan mandikan Ana dengan daun sukar. Sampai sekarang ni pun kalau balik kampong, Ana petik daun sukar, gosok-gosok dan cium baunya. Nak ulang-ulang kenangan itu. Saat begini teringat Ana pada kata-kata Syeikh Ibnu A’thoollah di dalam Al-Hikamnya: ‘Sebaik-baik saat dalam hidupmu, ialah ketika kamu menyedari kekurangan diri dan kembali kepada kerendahan dirimu’.

Sunday, December 13, 2009

Aktiviti hujung minggu

Hujung minggu ni hanya berkisar di Bangi. Tiada induksi hujung minggu, tidak pulak balik kapung tenguk sawit seperti kebiasaannya.
Pagi bawak anak bujang berenang di UKM Bangi, tengahari hadir dua jemputan kenduri di Bangi, petang bawak anak-anak joging di Tasik Cempaka Bangi dan malam macam biasa dengar ustaz berceloteh.
Komplek renang UKM ini dibuka kepada semua orang awam setiap hari. Bayaran yang dikenakan cukup murah. Kebiasaannya hujung minggu memang ramai. Zahir, Zafran kalau jumpa air tak ingat dunia. Jam 12 aku paksa mereka naik.
Kenduri di Bangi lama, di kawasan kampung yang dikelilingi pokok rambutan yang masak ranum. Melihat menu yang dihidang saja dah tau keluarga tu mesti keturunan jawa. Sungguh tak ku sangka rupanya di Bangi lama ramai masyarakat jawa. Memang makan sungguh-sungguh. Baliknya singgah satu lagi jemputan di Bandar baru Bangi, serorang tauke kedai makan. Menu yang dihidang bermacam-macam, maklumlah tauke restoran. Tapi sayang perut dah penuh.
Taman Tasik Cempaka ini merupakan satu-satunya kawasan riadah bagi masyarakat Bangi. Setiap petang kawasan ini ramai yang datang berjoging. Malah ramai juga yang datang memancing walaupun kawasan tu sebenarnya dilarang memancing.

Kemalangan

Aku sedang memandu bersama keluarga ke utara tanah air melalui lebuh raya utara selatan. Keadaan ketika hujan lebat. Panduan ku tidak la selaju mana dan ketika itu berada dilorong kiri. Tiba-tiba di km125 Pagoh sebuah BMW 5 series memotong dengan lajunya. Dengan tidak semena-mena kereta tersebut melanggar pembahagi jalan dan berpusing bebera kali. Kejadian itu begitu jelas di depan mata. Aku cuba memberhentikan kederaan seberapa yang boleh, tapi apakan daya, BMW tu masuk juga ke line aku, maka gedebus…… Kerosakan kereta yang aku alami tak la banyak mana, tapi perlu 4 angka juga nak perbaiki. Aku buat buat laporan di balai polis Yong Peng dan pemandu BMW tu telah disaman kerana cuai dan menyebabkan kemalangan. Beginila keadaan BMW tu