Saturday, March 27, 2010

Public Speaking

Pengucapan Awam adalah satu interaksi penghantaran mesej antara seorang pengucap dan sekumpulan pendengar. Ianya merupakan satu SENI.

Seni pegunkan pendengar - Intonasi suara serta gaya yang berkeyakinan antara faktor penting untuk mempengaruhi audience. Seluruh anggota badan termasuk mata dijadikan x-factor untuk bersama-sama mempengaruhi pendengar.

Seni mengubah hipotesis pendengar - Seorang pemidato yang hebat, mereka dapat mengubah pendirian seseorang untuk mempercayai mereka pula. Seni ini memerlukan kepada penelitian, bermain dengan struktur ayat, bahasa dan fakta.

Seni memujuk - Selalunya aspek pujukan digunakan pada penghujung ucapan dan biasanya dengan nada yang syahdu serta berkeyakinan. Jika teknik ini digunakan sepenuhnya, mampu membuatkan para penonton anda bangun memberi tepukan gemuruh.

Seni bahasa badan dan mimik muka
- Audience akan lebih mudah faham jika kombinasi hujah dan bahasa badan disepadukan bersama.

Seni gaya bersahaja - Tidak dinafikan untuk mengayampaikan ucapan dengan bersahaja tanpa gementar bukan mudah. Ia memerlukan latihan dan pengalaman. Wajah yang tenang, gaya yang bersahaja serta bercakap dengan spontan antara seni yang terdapat pada seorang yang pemidato yang hebat.

Seni mengawal suasana - Bagaimana hendak memukau penonton agar mereka memberi tumpuan dan faham apa yang diperbincangkan adalah perlu bagi seorang pemidato.

Seni menjawab soalan secara spontan - Memberi respon terhadap soalan secara spontan adalah satu seni yang perlu dimiliki oleh semua pembentang. Keyakinan semasa menjawab, memberi respon yang tepat serta tenang merupakan seni pada pengucapan awam.

TETAPI KENAPA APABILA MEREKA BERDEPAN DENGAN PENILAI SEMUA SENI INI HILANG, SEBALIKNYA GEMURUH YANG MENGUASAI

Tuesday, March 23, 2010

Siap Sedia

Keputusan telah dibuat, perjanjian telah dimeterai. Dari segi mental dan fizikal aku telah bersedia sepenuhnya. Samaada sebagai nakhoda atau sebagai hulubalang, insyaallah aku akan tetap berjuang. Ke mana pun arah dan tujuan, kata harus di kota. Aku sedia menunggu arahan
Mungkin juga ke Miri
Mungkin juga ke Bintulu
Mungkin juga ke Kota Baru
Mungkin juga ke Marang
Mungkin juga ke Batu Pahat
Atau mungkin juga kekal di Putrajaya
Doakan ku kawan

Saturday, March 20, 2010

Mesyuarat Kedai Kopi

Hampir 3 jam aku bersama sifu ku Prof Dr Wan Mohd Rashid di Shah Alam. Biasanya aku yang mengunjungi pejabat beliau di Batu Pahat atau sesekali beliau datang ke pejabat ku Putrajaya. Kali ni dia yang turun sini tapi perjumpaan kami dibuat di salah sebuah kedai mamak di Shah Alam. Seronok juga sesekali dapat berbincang di luar pejabat, sambil berbincang sambil minum. Seperti biasa setiap kali habis berbincang maka di kepala ini penuh dengan bebanan yang perlu di bereskan. Aku juga perlu membantu Prof Wan ni untuk syarahan perdananya bulan Mei ini. Nasihat Prof, biar apa pun terjadi jangan tolak tawaran yang datang.

Nota: Terima kasih pada rakan-rakan blogger atas nasihat dalam n3 sebelum ini, insyaallah saya akan buat keputusan sebaik mungkin

Thursday, March 18, 2010

Bahtera Kehidupan


Hampir 6 tahun aku berlayar bersama bahtera ini. Dalam masa itu jugalah aku menghambakan diri sepenuhnya untuk bahtera ini. Aku berdiri sebagai pejuang menyokong dan membenteras anasir-anasir bagi memastikan bahtera belayar menuju sasaran walaupun ada kalanya tersasar arah dan tujuan. Aku berdiri kukuh menyokong dasar-dasar dan prinsip perjuangan bahtera ini. Aku seronok dengan perjuangan ini sebagai hulubalang. Walau bagaimanapun masa telah merubah keadaan. Keadaan memaksa seperti tiada ruang untuk aku terus berbakti pada bahtera ini lagi. Perlukah aku pergi?

Perlukah aku pergi menjadi hulubalang di bahtera yang lain yang belayar di lautan lepas,

Atau pun haruskah aku pergi menjadi nakhoda di bahtera yang lain dan menjadi penentu arah dan tujuan,

Atau pun wajarkah aku terus kekal sebagai hulubalang di bahtera ini dengan ruang yang terhad.



Apa pandangan kawan-kawan?

Monday, March 15, 2010

Berbudi Pada Tanah

Yang aku ingat tanah kawasan ini telah melalui beberapa revolusi. Zaman aku kecik-kecik kawasan ni penuh dengan pokok kopi. Selepas tu tukar getah. Satu masa kawasan ni pernah terbiar. Usaha paman ku ini mendatangkan hasil yang lumayan. Ungkapan pertanian itu satu perniagaan boleh diterima. Berada di batas-batas kacang yang hijau merimbun ini memang mengasyikanMula berbungaKenduri menerima menantu di rumah Paman baru-baru ini tidak perlu pun beli sayur. Semuanya di kutip dari kebun termasuklah cili ini

Kelapa Pandan

Tengah cuaca panas, dapat pulak peluang meneguk air kelapa pandan yang manis dan harum. Pergh….. punyala puas Tuhan saja yang tau.

Kalau kat KL biasanya harga kelapa pandan ni RM 3.50 sebiji, tapi dalam perjalanan nak balik kampung aku ada sorang abang tu jual cuma RM1.80 sebiji. Tiap kali balik kampung aku akan singgah pekena kelapa pandan ni, biasanya sebiji masa pergi dan sebijik lagi masa balik. Aku pernah tanya kat abang yang jual tu sebab apa dia jual murah sangat. Katanya itu la cara dia bersedekah. Aku tanya berapa banyak boleh jual, dia kata dalam seminggu dia terpaksa bawak masuk dua lori kelapa pandan. Itu pun kadang-kadang tak cukup. Katanya lagi dia dah ada pelanggan tetap dan ada yang datang dari jauh semata-mata nak pekena kelapa pandan.

Walau pun dia jual tak mahal, tapi bayangkan kalau dah seminggu boleh jual dua lori, berapa banyak dia dapat. Agaknya itu la berkat berniaga sambil bersedekah.

Friday, March 12, 2010

Pokok Getah dan Ubi Kayu



"Mak tak menoreh hari ini?" aku bertanya pada emak yang tengah sibuk menghidang ubi kayu rebus dan sambal tumis.

"Tidak," jawab mak sepatah..

"Pokok getah basah. Macam mana mak nak menoreh," emak menambah.

"Hujan ke mak malam tadi?” aku bertanya balik.

"Hujan itu membawa rahmat," balasnya. "Kalau hujan tidak turun, bumi akan kering kontang. Tumbuh-tumbuhan akan mati" emak menambah.

"Tapi kalau hujan hari-hari macam ni kita susah kan mak?" aku bertanya.

"Takpa kita masih ada ubi kayu, kita masih ada sayur keliling rumah, kita makan la mana yang ada" jawab emak.

Emak begitu yakin kedatangan musim hujan bukan bermakna pintu rezekinya tertutup. Walaupun dia tidak boleh menoreh tapi dia masih boleh mencari rezeki dengan cara yang lain. Dia masih boleh mencari kopi, mencari pucuk paku, atau paling tidak mencari rebung untuk dibuat gulai. Dan kami anak-anaknya tidak pernah kebuluran, persekolahan tidak akan terbantut dan badan kami sihat walau pun hari-hari makan ubi kayu.

Itu cerita 40 tahun lepas. Kalau musim hujan ubi kayu la makan asasi kami. Sekarang ni nak makan ubi kayu pun dah susah. Kat kampong dah semakin kurang ubi kayu. Sekarang ni ubi kayu rebus dah masuk restoran besar-besar, agaknya dah jadi makanan orang-orang kaya.


Nota: Baru ni nelayan di Langkawi pun jamu PM dengan ubi rebus. Kabarnya PM makan sampai menjilat jari. Tak tau la mereka jamu PM ubi rebus tu simbolik atau memang itu makanan mereka.

Tuesday, March 09, 2010

Semut dan Gajah

Anda berkerja keras siang dan malam untuk mendapatkan apa yang anda inginkan, namun begitu apa yang anda inginkan semakin jauh. Anda berusaha untuk mencapai impian anda tapi hakikatnya impian itu semakin tidak kelihatan. Pernahkah anda merasa sedemikian? Kalau pernah anda sama seperti seekor semut yang duduk di atas seekor gajah. Semut berusaha sepenuhnya untuk berjalan menuju ke barat, namun begitu apabila gajah berjalan ke timur maka seperti la semut itu juga menghala ke timur. Untuk mencapai hasratnya semut harus memujuk gajah agar berjalan mengikut haluannya, ataupun kalau dah bersedia semut harus turun dari gajah dan berjalan sendiri menuju haluannya.Suka tenguk foto nukilan Teuku Jody Zulkarnaen ni

Monday, March 08, 2010

Pertandingan Bot Naga Putrajaya

Syabas JPK, walaupun pasukan baru ditubuhkan dan hanya berlatih seminggu tapi masih mampu mengalahkan 12 pasukan yang lain dan terpilih sebagai 6 pasukan terbaik bersaing di peringkat akhir. Laluan untuk sampai ke peringkat akhir memang begitu mencabar dan tidak dinafikan pasukan yang sampai peringkat akhir bukannya calang-calang, antaranya SMART dan Perbadanan Putrajaya (Johan tahun lepas). Walaupun tidak dinobatkan tiga pasukan terbaik tetapi berjaya menempatkan ke peringkat akhir pun sudah memadai kepada pasukan yang baru ditubuhkan dan kali pertama menyertai pertandingan. Kita akan buat persiapan rapi masa akan datang.Dua Pasukan Perahu Naga JPK

Saturday, March 06, 2010

Landak

Kau tau tak mana nak cari daging landak
Kau ni mimpi apa tiba-tiba nak makan daging landak
Ya la orang kata sedap, tapi aku tak pernah makan, tu yang aku teringin nak makan
Kalau kau nak makan daging landak tu kau pergi Sungai Panjang
Sebelah mana tu
Kau pergi hala Sungai Besar ikut Tanjung Karang, lepas Sg Dorani nanti jumpa la Sg Panjang. Kalau tak silap nama restoran tu Restoran Selera Rimba, kat situ bukan je landak tapi ada jugak ayam hutan, baung, rusa dan kijang
Bila kita nak pergi ni…..
Isk, isk…kalau aku pergi pun bini aku bukan nak makan…nanti la kita tenguk masa yang sesuai


Aku pun sebenarnya dah lama tak makan daging landak. Masa kecil dulu senang sangat nak tangkap landak ni. Untuk tangkap landak ni cuma perlu cari lorong dia berjalan, kemudian tahan perangkap. Umpan dia cuma kulit cempedak. Sekarang ni jangan harap, haiwan itu dah makin pupus. Haiwan ini dah termasuk dalam spesies haiwan buruan yang dilindungi Akta Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Daging landak ni sebenarnya lembut dan tidak mengandungi lemak, malah ianya tidak berserat. Bagi penggemar daging buruan, mereka sering mengatakan keenakan daging landak lebih lazat daripada daging kijang. Walaubagaimanapun dalam keluarga aku hanya arwah ayah dan aku saja yang boleh makan daging binatang buruan. Emak dan adik-adik memang takkan sentuh. Dulu masa kecik bila kami dapat tangkap landak ni sekor boleh di jual RM 20 hingga RM30 je. Sekarang ni di pasaran, daging landak boleh mencecah sehingga RM70 sekilo. Malah seekor landak hidup boleh dibeli dengan harga RM1,000 seekor.

Sebenarnya aku membesar dihujung kampong yang bersempadan dengan hutan. Keadaan itu menjadikan memburu merupakan sebahagian aktiviti arwah ayah. Aku pun seronok ikut dia. Masa aku umur 12 tahun arwah ayah dah ajar aku menembak, dia letak botol atas pagar dan suruh aku tembak. Katanya orang laki kena berani dan kena pandai memburu. Ayah buat pondok tinggi dalam kebun. Kami sering berjaga malam dalam pondok itu. Banyak babi kacau ubi kayu masa tu. Arwah ayah sayang sangat pokok tanamannya. Itulah sebahagian hasil untuk menyara kami. Secara tak langsung minat ayah memburu turun juga pada ku. Namun begitu selepas tingkatan 3 aku keluar dari kampong, aktiviti memburu begitu terbatas. Lepas keluar university aku ditugaskan di Penang, terus lenyap aktiviti memburu. Sesekali bila bercuti aku ikut arwah ayah cari ayam hutan. Aku bawak motor dalam kebun kelapa sawit, ayah duduk belakang sambil mata melilau melihat kelibat ayam. Kadang-kadang arwah ayah bawak motor, aku pulak duduk belakang pikul senapang. Ini semua cerita 30 tahun lepas, sekarang semua tinggal kenangan. Walau bagaimanapun aku yakin aku masih mampu membidik tepat macam arwah ayah.

Friday, March 05, 2010

Latihan Terakhir

Berikut beberapa gelagat peserta semasa latihan akhir Pertandingan Perahu Panjang Putrajaya (Foto: Uyie)
Jurulatih pening tepuk dahi, boleh menang ke macam ni......

Wednesday, March 03, 2010

Nostalgia Signboard TIKL


Aku baru terima gambar masa muda-muda dari sorang rakan yang di post melalui fesbuk. Terlalu nostalgia sangat gambar ni. Gambar zaman 30 tahun lepas. Masa ni kami freshie kat kat sekolah, selalulah kena buli. Masa ni kami kena buat sighboard sekolah, pikul 3 tiga kilometer dari sekolah sampai jalan luar dan dirikan di situ. Punyalah bangga masa tu dapat dirikan signboard sekolah. Tapi sayang signboard tu sekarang ni dah tak ada di tempat asal, kalau masih ada agaknya boleh hantar kat muzium. Sebelah tu signboard SMS Selangor, musuh kami masa tu. Selalu bergaduh dengan sekolah tu, mereka kat SMS tu semua baik-baik. Kami bukannya tak baik cuma sikit je nakal. Di sekolah kami penuh dengan besi dan kayu, itu yang susah. Sekarang ni anak aku pulak belajar kat SMS tu.

Setakat yang aku ingat nama-nama yang ada dalam gambar tu - sukri, sharudin, aban, khairul syam, zainal, riduan, khairul salleh, rano, md nor,ismail, hamid, boeng, komori, rosli, wak, monalito, malek, kamaruddin.... yang lain-lain tak ingat dan kalau jumpa sekarang ni pun comfirm tak kenal. Ada sapa-sapa boleh teka ke yang mana KAMATO?