Tuesday, August 12, 2014

Petronas Sudan

Petronas cukup terkenal di Sudan. Lebih dari 1000 orang rakyat Sudan bekerja dengan Petronas. Kebanyakan mereka di latih di Malaysia untuk menjadi pakar dalam berbagai bidang. Penduduk Sudan menyanjung tinggi Malaysia sebab Petronas. Pejabat Petronas di Sudan adalah antara komplek pejabat terbesar di bandar Kartoum. Petronas juga banyak menyumbang biasiswa untuk membangun tenaga kerja rakyat Sudan.
Kereta kuda masih digunakan untuk memunggah barang
Bro Mohamad adalah driver sepanjang lawatan di Sudan
Perbincangan dengan pegawai-pegawai Petronas di Khartoum

Sungai Nil

Sudah terlalu lama aku tak update blog ini, dah hamper lupa akan ujudnya blog ini. Aku berkesempatan mengunjungi Negara Sudan baru-baru ini. Kesempatan ini aku berpeluang menyusur Sungai Nil, satu sungai yang terpanjang di dunia. Masyarakat di Sudan percaya Nabi Musa dan Nabi Khidir bertemu di tepi sungai Nil di kota Khartoum, Sudan. Ini kerana telah diriwayatkan bahwa mereka bertemu di tempat bertemunya dua aliran air. Ibukota Khartoum, Sudan pula terkenal kerana tempat bertemunya dua buah aliran sungai besar iaitu Sungai Nil Putih dari Ethiopia dan Sungai Nil Biru dari Uganda yang kemudian bermuara ke Mesir. Disinilah, ribuan tahun yang lalu, dua hamba Allah bertemu untuk mempelajari salah satu rahsia ilmu Allah yang luar biasa tingginya, iaitu tentang kesabaran. Mereka adalah Nabi Musa sang Kalimullah dan Nabi Khidir, seorang misterius ‘penunggu pantai’ yang tidak terkenal. Ternyata Sungai Nil merupakan sumber air utama kepada masyarakat Sudan. Seluruh penduduk Sudan menggunakan air sungai Nil sebagai sumber air minuman. Ia juga sumber pengaliran pertanian di mana sepanjang sungai tanah cukup subur, tapi sayang tidak digunakan sepenuhnya. Berikut beberapa scene yang sempat saya rakam sepanjang Sungai Nil di Bandar Khartoum.

Thursday, February 14, 2013

Pulau Mabul, Kapalai, Mataking dan Sipadan adalah kepulauan di timur perairan Sabah. Kejernihan air dan keindahan pulau-pulau ini menjadi tarikan kepada penggemar aktiviti skuba untuk melihat kehidupan dasar lautan di kepulauan ini. Berikut adalah sebahagian kehidupan dasar laut di kepulauan ini. Akan aku catatkan kemudian kehidupan di atas pulau-pulau ini.

Sunday, January 06, 2013

Saiful Nang

Siapa yang tak kenal Saiful Nang. Beliau merupakan salah seorang jurugambar terbaik Asia (Mediacorp Singapore, 2010) dan juga dilabelkan di antara 20 individu usahawan kreatif paling berjaya di Malaysia(Dewan Ekonomi, 2010). Beliau yang merupakan pengasas kepada kumpulan jurugambar terbaik negara, CandidSyndrome juga disenaraikan dalam TOP 10 OF MALAYSIAN seganding dengan nama-nama besar lain seperti Datuk Jimmy Choo, Datuk Seri Anthony Fernandes, Datuk Lee CHong Wei, Datuk Nicole Anne David, Datuk Misbun Sidek dan ramai lagi (Snap.com) Dah dua kali aku berjumpa beliau, berdiskusi soal kehidupan dan profesionalisma dalam fotografi. Pertama kali aku jumpa beliau semasa aku mengadakan program kebajikan di sebuah rumah kebajikan bernama Rumah Pengasih Warga Prihatin di mana beliau juga merupakan seorang pengasas bersama rumah kebajikan ini. Kali kedua kami berjumpa apabila beliau sendiri mengunjungi pejabat aku. Dan baru ni aku terima pesanan ringkas darinya berbunyi “Salam, Teima kasih kerana membuka jalan yang dulu samar-samar pada kita. Insyaallah kami menyasarkan matlamat untuk mendapat tauliah untuk pusat latihanSaiful Nang Academy selewat-lewatnya bulan February. Harap En Kamato boleh bantu nasihat step by step jika kami tidak faham penerangan di internet. Terima kasih sekali lagi – Saiful Nang” Insyaallah akan aku bantu seberapa yang mampu. Pada masa ini beliau merupakan jurulatih utama dan Pengetua SNAP (Saiful Nang Academy of Photography) dan secara maya dan fizikal telahpun melatih lebih dari 30,000 jurugambar di Malaysia.
Dipetik dari blog beliau

Wednesday, January 02, 2013

Relax

Hampir 2 bulan aku tidak update blog ini. Rasanya sejak kebelakangan ni masa begitu terbatas. Hampir setiap minggu sepanjang bulan sebelas dan dua belas bertugas di luar kawasan. Hujung tahun ini banyak pulak aktiviti dari utara hinggala ke selatan tanah air. Aktiviti-aktiviti riadah pun dah lama tinggal. Kejayaan menawan puncak Kinabalu juga mungkin secara tidak langsung menghentikan sementara aktiviti riadah. Kalau 2 bulan lepas sebelum kami mendaki Kinabalu hampir setiap minggu training mendaki di Broga. Kejayaan berada di puncak Kinabalu seolah-olah seperti sudah klimak sehingga aktiviti riadah kebiasaan terberhenti seketika. Basikal pun dah berkarat, dah lama tak kayuh. Kelab menembak pun lama dah tak pergi, senjata dah lama tak berasap tapi ia tetap dijaga rapi. Rakan-rakan yang sering outing bagi mengasah bakat mengambil gambar pun dah lama tak buat aktiviti. Rumah pun dah kembali sunyi apabila anak-anak dah kembali ke asrama dan kolej masing-masing. Apa pun exercise perlu di buat semula sebelum badan semakin berkembang.

Sunday, November 11, 2012

Akhirnya Kinabalu Kami Tawan

Tanggal 8 November 2012 merupakan tarikh bersejarah kami 13 orang kumpulan SkillsMalaysia berkesempatan untuk mendaki Gunung Kinabalu. Ekspedesi ini di ketuai oleh En Mohamad bin Yaccob, Pengarah SLDN. Peserta terdiri daripada 9 lelaki dan 4 wanita. Ketika tiba di Taman Kinabalu sehari sebelum pendakian, rata-rata peserta meluahkan rasa bimbang, mampu atau tidak sampai ke puncak, lebih-lebih lagi kami hanya melakukan persiapan kecergasan ala kadar di samping keadaan cuaca ketika itu yang sering hujan.Satu lagi cabaran terpaksa kami hadapi adalah melawan suhu sejuk di kawasan ini.
Pemandangan Gunung Kinabalu dari jauh ini menguatkan semangat kami untuk mendaki. Ketika menginap di Kinabalu Park Resort di kawasan kaki gunung lagi, kesejukan kawasan tanah tinggi sudah pun menyapa. Tanpa sempat melakukan persiapan kecergasan untuk kali terakhir, hari pertama di sini dihabiskan dengan berehat semalaman di resort.
Sebahagian peserta sebelum memulakan pendakian. Biarpun hati gusar, pelbagai sarapan enak yang disajikan restoran di resort ini tetap dinikmati secukupnya. Selesai taklimat mengenai laluan pendakian oleh ketua jurupandu, peserta ekspedisi memulakan pendakian melalui laluan Pondok Timpohon. Sepanjang pendakian ke Laban Rata kami sempat berhenti di beberapa pondok untuk menghilangkan dahaga dan melapik perut dengan makanan yang dibekalkan. Kami terpaksa berpecah kepada empat kumpulan mengikut kelajuan dan kecerdasan masing-masing. Perjalanan kian mencabar apabila tiba di persimpangan kerana laluan seterusnya menunggu dengan sebahagian besar tangga tinggi dan curam. Badan pula mula keletihan selepas berjalan jauh, jadi lebih kerap singgah berehat di pondok yang berjarak setiap satu atau dua kilometer.
Persimpangan antara Mesilau dan Timpohon
Keadaan pokok-pokok pada ketinggian 2800 meter.
Bersama Meely, seorang pendaki solo dari Belgium. Rakan yang berstamina di antara kami tiba ke Laban Rata pada jam 1.30 petang manakala peserta terakhir tiba jam 7.00 malam. Laban Rata adalah tanah lapang menempatkan asrama dan jaraknya kira-kira 2.7 kilometer di bawah puncak.Sebahagian besar pendaki berkumpul di ruang restoran Laban Rata menikmati bufet yang disediakan sambil menikmati pemandangan mengasyikkan pada ketinggian kira-kira 3,200 meter dari aras laut. Ramai yang sibuk merakamkan gambar terutama menjelang senja yang mana warna langit berubah jingga. Seawal jam 2.30 pagi keesokannya, kami lengkap berpakaian tebal dan dengan lampu suluh di kepala meneruskan pendakian ke puncak. Dalam suasana gelap dan amat sejuk, kami memaksa kaki mendaki tangga kayu yang menjadi jalan penghubung kerana keadaan muka bumi menuju ke puncak dipenuhi batuan curam. Kira-kira 300 meter mendaki tangga, kami terpaksa memaut tali pula untuk memanjat curam batu. Mujur keadaan masih gelap. Jika cerah, mungkin ramai yang gayat dan tidak sanggup mendaki lagi.
Semakin menghampiri puncak, suhu semakin dingin, mungkin hampir mencecah 10 darjah Celsius. Kesejukan sebegini ditambah dengan oksigen yang kian menipis membuatkan pergerakan agak lemah. Apabila suria pagi menyinar, kelibat susunan batu di Low’s Peak sayup kelihatan dari jarak 700 meter. Melihat matahari terbit kira-kira jam 6 pagi sambil berdiri di puncak merupakan satu kenikmatan yang tidak terhingga. Jam 7 pagi, 12 pendaki akhirnya berada di puncak Kinabalu. Seorang rakan tidak dapat meneruskan pendakian kerana mengalami kekejangan otot ketika pendakian menggunakan tali. Hanya Tuhan yang tahu perasaan masing-masing apabila dapat berdiri di ketinggian 4095.2 meter dan menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan.
Akhirnya ku sampai jua
Hanya mereka yang berjaya tiba di puncak Kinabalu mampu menghargai pengalaman pendakian yang ditempuhi dan lebih nikmat lagi bila perjalanan lancar tanpa sebarang masalah. Itulah perasaan peserta Ekspedisi Skills Malaysia yang berjaya menawan puncak Kinabalu.
Pemandangan dari puncak sungguh mengasyikkan. Sesudah merakamkan foto kami memulakan perjalanan turun. Kalau ikutkan, tidak puas menatap pemandangan indah dan bersantai di kawasan batu yang landai di puncak, namun waktu tidak mengizinkan kerana kami perlu mengemas barang dan mendaftar keluar dari asrama di Laban Rata sebelum 10 pagi. Laluan turun ke Timpohon memerlukan pendaki lebih berjaga-jaga bagi mengelak tekanan atau kecederaan kaki yang bekerja keras ketika mendaki. Pun begitu, kami cuba untuk tidak berjalan terlalu perlahan dan mengelak berhenti terlalu kerap supaya sempat tiba di Timpohon sebelum hari gelap.

Saturday, November 03, 2012

Persiapan Ekpedisi Gunung Kinabalu

Enam minggu berturut-turut kami jadikan Bukit Broga sebagai latihan stamina sebelum misi Ekpedisi Gunung Kinabalu. Minggu ini merupakan minggu terakhir kami berlatih sekali lagi di Broga. Aku mengambil masa 25 minit untuk mendaki tanpa berhenti dari bawah sehingga puncak pertama.
Cuaca cukup cerah pagi ini, kelihatan awan berada di bawah puncak.
John yang hanya berkaki sebelah tidak menghadapi masalah untuk mendaki sehingga ke puncak dan beliau juga akan mendaki Gunung Kinabalu

Sunday, September 30, 2012

Zahir

Hari ni melawat Zahir di SMS Selangor. Katanya dia dapat straight A dalam percubaan PMR. Cuma 9 orang yang dapat straight A dalam kelasnya. Kebiasaannya peperiksaan percubaan sekolah asrama penuh ni memang susah.Kebetulan kelas dia adalah kelas pertama. Moga Zahir akan kekalkan prestasi untuk PMR sebenar.